Info

Dietitian Ini Berkongsi 5 Tips Memilih Ayam Segar

Tugas dietitian hakikinya diketahui ramai, adalah memberi rawatan terapi diet kepada pesakit yang memerlukan.

Namun, aspek perkhidmatan makanan tak dapat dilupakan kerana makanan menjadi salah satu sisi penting di dalam perawatan pesakit di hospital.

Sejak beberapa bulan yang lalu, saya mula ditugaskan menyelia perkhidmatan makanan di dapur hospital. Salah satu tugasan adalah memeriksa bekalan makanan mentah yang sampai.

Antaranya adalah ayam.

Setiap pagi bekalan ayam segar akan tiba ke dapur kami dan penyelia bertugas harus memastikan bekalan mentah yang sampai memenuhi spesifikasi yang ditetapkan.

Dietitian harus memantau untuk memastikan pembekal memenuhi spesifikasi yang diberikan dan menolak sekiranya bekalan tidak seperti yang diminta.

Ayam mesti segar. Tidak beku dan tidak ada bau. Dan baru disembelih pastinya.

Memastikan ayam itu elok untuk diterima pihak kami adalah satu ilmu baru yang saya tidak arif. Selalu saya main tunjuk saja ayam di pasar. Tak kisah samada ayam betul segar atau tidak. Ilmu memilih ayam ini saya belajar daripada Chef saya di dapur dan daripada penyelia perkhidmatan makanan.

Mujur ada mereka yang rajin turunkan ilmu. Kalau tidak, sampai ke tua pun tak pandai pilih ayam. Saya kongsikan lima tips memilih ayam segar.

1. Warna Ayam

Lihat pada warna kulit dan isi ayam. Ayam yang kulitnya berwarna putih kemerah-merahan adalah ayam yang segar. Jika ayam itu pucat, kebiru-biruan, ayam itu biasanya telah diletakkan formalin dan di sejuk bekukan. Biasanya kami akan tolak ayam sedemikian.

2. Tekstur Ayam

Ayam yang segar, apabila ditarik kepaknya ke belakang akan kembali ke posisi asal. Tetapi jika ia tidak segar, kepaknya akan terkulai layu di tasik madu pastinya.

Sama juga dengan kakinya. Jika ditarik kembali ke posisi asal, ia adalah segar. Boleh diterima untuk penggunaan di dapur hospital. Lihat pula pada isi. Isi yang segar apabila ditekan terasa empuk dan akan kembali ke bentuk asal.

Sekiranya ditekan isinya tenggelam, ayam itu ayam lama. Ayam yang kenyal biasanya diletakkan formalin. Manakala ayam yang kelihatan bengkak biasanya telah disuntik air supaya nampak lebih besar dan segar.

3. Darah Ayam

Apabila ayam yang dibeli kelihatan mempunyai banyak darahnya atau cecair berdarah. Biasanya ia adalah ayam yang telah dibekukan dan dicairkan semula.

Ayam segar tidak mempunyai air berdarah yang banyak. Darahnya juga lebih pekat dan berlendir.

4. Bau Ayam

Ayam yang segar tidak akan mempunyai bau yang busuk atau hanyir. Sejauh satu kilometer pun boleh bau sekiranya ayam itu tidak segar.

Elakkan membeli ayam yang berbau hanyir. Dikhuatiri terkena keracunan makanan pula.

5. Lalat

Sekiranya ada lalat yang mengurung atau hinggap pada ayam, biasanya ayam ini tidak lagi segar. Berpindah ke penjual yang lain dan elakkan membeli pada penjual yang dihurung lalat.

Usahakan membeli ayam yang segar berbanding ayam yang sejuk beku. Semoga tips ini dapat membantu kalian memilih ayam yang segar. Selamat memilih ayam segar.

***

Tips memilih ayam segar ini dikongsikan oleh puan Ruqayyah Muhd, Dietitian USM di Facebook beliau.

Comments

Leave a Reply