Ubat Selesema dan Panduan Pengambilan Ubat Selesema

Ubat selesema perlulah diambil bagi mengurangkan gejala selesema seperti bersin, hidung gatal dan berair.

Selesema merupakan tindak balas sistem pertahanan badan bagi mencegah jangkitan kuman.

Anda juga boleh diserang selesema akibat alahan daripada habuk, asap, wangian, bulu haiwan dan debunga.

Di samping itu, badan juga lebih mudah dijangkiti bakteria atau virus ketika sistem imun lemah atau apabila terdedah kepada cuaca yang terlalu panas atau sejuk.

Baca Juga : Cara Hilangkan Batuk Secara Berkesan Dari Rumah

ubat selesema
Kredit Foto : nymetroparents.com

Simptom Selesema

Memetik portal MyHealth, petanda awal bagi selesema ialah apabila kerongkong mula sakit dan terasa kering, badan berasa lemah dan seram sejuk.

Pesakit juga boleh alami simptom lain seperti :

Hidung berair  : Pada awalnya, cecair jernih akan keluar, kemudian mukus atau hingus yang lebih pekat dan likat akan terhasil.

Hidung Tersumbat : Hal ini berlaku apabila salur darah bengkak dan keradangan.

 Keadaan ini akan menyebabkan saluran hidung sempit dan mukus terhasil sehingga pesakit mula bersin.

Batuk : Pada fasa awal, batuk biasanya kering.

Apabila jangkitan semakin teruk, batuk akan turut disertai dengan penghasilan kahak.

ubat selesema

Sakit Telinga : Pesakit boleh alami gejala ini apabila mukus terhasil di belakang gegendang telinga.

Simptom ini juga boleh menyebabkan deria pendengaran, rasa dan bau sedikit terganggu.

Sakit Kepala : Gejala ini berlaku akibat keradangan pada saluran hidung dan sinus.

Jenis Ubat Selesema

Bagi mengatasi selesema, anda boleh dapatkan pelbagai ubat-ubatan yang dijual di farmasi berdekatan.

Beberapa jenis ubat juga boleh dibeli di farmasi tanpa preskripsi daripada doktor.

Antara ubat selesema yang anda boleh dapatkan daripada ahli farmasi ialah :

1. Antihistamin

Ubat ini dapat mengurangkan simptom selesema seperti bersin, kegatalan dan hidung berair.

Ubat ini terdapat dalam beberapa generasi.

 Ubat dengan nama chlorpeniramine merupakan ubat generasi pertama dan boleh menyebabkan mengantuk.

 Satu lagi ubat generasi pertama iaitu diphenhydramine pula diberikan kepada pesakit yang juga mempunyai gejala batuk.

Ubat antihistamin generasi kedua seperti loratadine dan cetrizine pula biasanya tidak menyebabkan batuk.

Contoh ubat : Loratadine, chlorphreniramine dan brompheniramine.

2. Dekongestan Untuk Melegakan Hidung Tersumbat

Ubat ini membantu membuka laluan dan melegakan hidung yang tersumbat akibat penghasilan mukus. Ini dapat membantu melancarkan aliran pernafasan.

Contoh ubat : Pseudoephedrine, phenylephrine dan oxymetazoline.

3. Agen Mukolitik

Ubat ini membantu mencairkan mukus bagi melancarkan pengeluaran mukus.

Contoh ubat : Bromhexine

4. Ubat Gabungan

Terdapat juga kombinasi dua ubat dalam satu dan ia didapati lebih berkesan berbanding ubat tunggal.

Contoh Ubat : Clarinase ( gabungan antihistamin dan dekongestan)

Tips Mencegah Selesema

  • Jaga kebersihan diri dengan kerap membasuh tangan
  • Tutup mulut ketika bersin dan batuk dan lap hidung menggunakan tisu pakai buang dan jangan dibuang merata-rata selepas digunakan.
  • Elakkan tempat sesak dengan orang.
  • Berhenti merokok dan amalkan pemakanan seimbang.
  • Pastikan badan kekal hidrat dengan minum sekurang-kurang 8 gelas air kosong sehari.
ubat selesema

Panduan Pengambilan Ubat Selesema

1. Baca dan Fahami Cara Penggunaan

Anda perlulah membaca label sebelum mula mengambil ubat.

Pastikan anda faham cara penggunaan, jangka masa pengambilan, kesan terapi serta kesan sampingan.

 Hal ini kerana kebanyakan produk rawatan selesema di pasaran mengandungi bahan aktif sama ada tunggal atau kombinasi dengan fungsi yang sama walaupun jenamanya berbeza.

Pengambilan dos secara berganda tidak akan membantu dalam rawatan penyakit malah ia meningkatkan risiko kesan sampingan pada pesakit.

ubat selesema

2. Kenalpasti Kesan Sampingan Ubat

Untuk memilih produk, anda juga perlu mengambil kira kesan sampingan yang mungkin berlaku apabila anda mengambilnya.

 Oleh itu, anda tidak boleh bergantung kepada bacaan di internet sahaja.

Anda perlulah dapatkan nasihat daripada pengamal perubatan bertauliah dari farmasi atau klinik berdekatan.

Contohnya, ubat-ubatan seperti antihistamin boleh memberikan kesan sampingan mengantuk.

Ketikan mengambil ubat selesema ini, pesakit perlulah berehat dan elakkan pengendalian mesin atau kenderaan selepas mengambil ubat tersebut.

Bagi mendapatkan ubat yang terbaik, anda boleh meminta saranan daripada ahli farmasi.

Sekiranya anda turut alami gejala lain seperti demam, batu dan sengal-sengal badan, anda juga perlu berehat secukupnya dan makan makanan berkhasiat bagi membantu anda kembali pulih.

 Jika pengambilan ubat selesema tidak berkesan dalam meredakan gejala, anda perlulah dapatkan rawatan daripada doktor.

Sumber :

Ubat Selsema dan Cara untuk hilangkan Selsema

thediagnosa.com

Selesema dan batuk

myhealth.gov.my/selesema-dan-batuk

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Nazirah Hassan
Nazirah Hassan
Articles: 85