Ulser Mulut : Punca Serta Kaedah Rawatan Untuk Kelegaan Segera

Ulser mulut boleh menyebabkan rasa tidak selesa, kesukaran untuk makan dan minum serta bercakap.

Bagi kes yang tidak serius, biasanya ia akan reda sendiri selepas beberapa minggu.

Namun, jika saiznya tumbuh terlalu besar, sangat sakit, dan sukar untuk sembuh, anda perlulah rujuk segera pada doktor.

Hal ini kerana ia boleh menjadi petanda bagi beberapa penyakit.

ulser mulut
Kredit Foto : revitalizingsmiles.com

Baca Juga : Ubat Sakit Gigi Yang Anda Boleh Cuba Sebagai Rawatan Sementara

Punca Terjadinya Ulser Mulut

Sehingga ke hari ini, tiada punca spesifik bagi masalah ulser.

Namun, terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan berlakunya ulser seperti :

  • Kecederaan mulut akibat rawatan pergigian, berus gigi terlalu kuat, kecederaan ketika bersenam atau tergigit tanpa sengaja.
  • Ubat gigi dan ubat kumur yang mengandungi sodium lauryl sulfate.
  • Sensitiviti makanan yang berpunca daripada makanan berasid seperti strawberi, buah-buahan sitrus, nanas serta makanan lain seperti coklat dan air kopi.
  • Kekurangan vitamin seperti B12, zink, folat dan zat besi.
  • Alahan kepada jangkitan bakteria
  • Pemakaian pendakap gigi
  • Perubahan hormon ketika datang bulan
  • Kekurangan tidur dan stres
  • Jangkitan bakteria, kulat atau virus

Ulser juga boleh menjadi petanda bagi beberapa jenis penyakit serius seperti :

  • Penyakit seliak iaitu kondisi yang menyebabkan badan tidak dapat menerima gluten.
  • Penyakit keradangan usus
  • Kencing manus
  • Penyakit Behcet
  • HIV atau AIDs

Tahap Ulser Mulut

Berdasarkan Healthline.com, terdapat 3 tahap ulser mulut yang boleh berlaku iaitu :

  • Minor – Ulser mulut jenis minor biasanya berbentuk bujur atau bulat kecil dan akan sembuh selepas  2 minggu tanpa parut.
  • Major – Ulser tahap ini bersaiz lebih besar dan dalam daripada jenis minor.

Ia juga tiada bentuk tertentu dan mengambil masa sehingga 6 minggu untuk pulih sepenuhnya.

Ulser major juga boleh menyebabkan parut jangka panjang.

  • Herpetiform – Ulser mulut herpetiform pula tumbuh kecil-kecil dengan jumlah yang banyak.

Ia biasanya berlaku di kalangan dewasa dan tiada bentuk spesifik.

Namun, ia biasanya akan sembuh dalam 1 atau 2 minggu.

Bila Perlu Berjumpa Doktor

Biasanya ulser yang tidak serius akan baik sendiri dalam sekitar 2 minggu.

Namun anda perlulah berjumpa doktor sekiranya anda mendapati simptom seperti :

  • Saiz ulser terlalu besar
  • Ulser baru tumbuh dalam mulut sebelum ulser lama sembuh
  • Ulser mulut melarat sehingga ke bibir
  •  Sakit yang tidak reda selepas makan ubat tahan sakit
  • Kesukaran untuk makan dan minum
  • Demam atau cirit birit ketika ulser mulut muncul
ulser mulut

Rawatan Bagi Ulser Mulut

Bagi ulser normal, ia tidak memerlukan rawatan.

Namun, sekiranya anda sering mengalami masalah ini dengan rasa sakit yang berlarutan, anda boleh cuba beberapa rawatan bagi meredakan sakit  seperti :

  • Kumur menggunakan air garam
  • Menyapu Milk of Magnesia pada kawasan bermasalah
  • Menggunakan gel sapuan benzocaine yang boleh didapati di farmasi seperti Bonjela.
  • Ambil supplemen seperti asid folik, vitamin B6, vitamin B12 dan zink
ulser mulut
Kredit Foto : mirror.co.uk

Tips Bagi Mengelakkan Ulser Mulut

Bagi mengelakkan masalah ulser, anda boleh amalkan beberapa tips seperti di bawah :

  • Elakkan makan makanan berasid seperti nanas, lemon, buah oren serta makanan pedas.
  • Makan makanan seimbang dan amalkan pengambilan makanan yang kaya dengan vitamin A,C, E serta buah-buahan dan sayur-sayuran.
  • Amalkan penjagaan kesihatan mulut dengan menggunakan flos dan memberus gigi selepas makan.
  • Dapatkan pemeriksaan gigi secara berkala.
  • Dapatkan rehat dan tidur secukupnya.
  • Jika anda memakai pendakap gigi, doktor akan memberikan wax untuk diletakkan pada kawasan yang dirasakan tajam.

Ulser mulut bukanlah perkara yang perlu dirisaukan.

Ia boleh reda sendiri atau dirawat di rumah dengan menggunakan kaedah seperti berkumur dengan air garam atau menyapu gel sapuan benzocaine.

 Namun sekiranya ia berlarutan sehingga beberapa minggu dan rasa sakit tidak reda, anda perlulah dapatkan rawatan doktor dengan segera.

Sumber :

What Causes Mouth Ulcers and How to Treat Them

https://www.healthline.com/health/mouth-ulcers

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Nazirah Hassan
Nazirah Hassan
Articles: 85