6 Simptom PCOS Yang Lazim, Wanita Perlu Peka!

Pernahkah anda dengar mengenai penyakit polycystic ovary syndrome? Tahukah anda apakah tanda atau simptom PCOS?

PCOS merupakan satu keadaan yang menyebabkan ovari menghasilkan terlalu banyak hormon androgen atau homon seks lelaki. Selalunya, hormon ini wujud dalam badan wanita dalam kuantiti yang sedikit.

Nama polycystic ovary syndrome itu sendiri sebenarnya menggambarkan keadaan ovari pesakit yang dipenuhi sista kecil. Pun begitu, ada wanita yang mempunya PCOS, namun tidak mempunyai sista pada ovari mereka.

Punca sebenar penyakit ini masih belum dikenalpasti sehingga hari ini. 

Walau bagaimanapun, dengan diagnosis awal beserta rawatan yang betul, komplikasi jangka masa panjang seperti diabetes dan juga sakit jantung dapat dikurangkan.

Apakah maksud PCOS?

simptom pcos

PCOS merupakan salah satu punca utama kemandulan dalam kalangan wanita. 

Di Amerika Syarikat, kondisi ini berlaku kepada 6% hingga 12% wanita di negara tersebut. Walau bagaimanapun, masih ramai wanita yang menghidap kondisi ini namun tidak pernah didiagnos.

Selalunya, wanita yang menghidap PCOS mempunyai masalah rintangan insulin. 

Ini bermaksud, badan mereka boleh menghasilkan insulin, namun tidak dapat menggunakannya dengan efektif.

Bukan itu sahaja, mereka juga mempunyai hormon androgen yang lebih banyak daripada biasa.

 Hormon seksual lelaki ini akan menghentikan proses ovulasi wanita dan menyebabkan mereka mengalami haid yang tidak teratur dan masalah jerawat.

Wanita yang menghidap PCOS juga boleh menghidap pelbagai masalah kesihatan yang serius, lebih-lebih lagi jika mereka mempunyai berat badan yang berlebihan atau obes. Sebagai contoh:

  1. Diabetes: Hampir separuh wanita dengan PCOS menghidap diabetes jenis dua apabila umur mereka mencecah 40 tahun.
  2. Diabetes gestasi: Mereka juga berisiko menghidap diabetes gestasi yang boleh menyebabkan risiko pada ibu dan juga anak dalam kandungan.
  3. Serangan jantung: Wanita dengan PCOS mempunyai risiko untuk mengalami serangan jantung yang lebih tinggi daripada orang lain.
  4. Tekanan darah tinggi: Masalah ini boleh merosakkan jantung, otak, dan juga buah pinggang wanita yang menghidap PCOS.
  5. Apnea tidur: Sejenis kondisi yang menyebabkan pernafasan terhenti ketika tidur dan meningkatkan risiko diabetes dan serangan jantung.
  6. Strok: Plak yang menghalang saluran darah boleh menyebabkan darah beku lalu mengakibatkan strok.

Selain itu, PCOS juga didapati berkait rapat dengan masalah mental seperti depresi dan kegelisahan. Walau bagaimanapun, puncanya masih belum diketahui.

Simptom PCOS

simptom pcos

Pesakit selalunya akan mula mengalami simptom PCOS ketika mereka berusia awal 20 tahun. Walau bagaimanapun, bukan semua wanita PCOS akan mengalami simptom yang sama.

Ada wanita yang mengalami masalah haid atau sukar untuk mengandung disebabkan PCOS.

Selain itu, antara simptom PCOS ialah:

  1. Haid yang tidak teratur atau tidak datang haid langsung.
  2. Sukar untuk mengandung kerana tidak boleh melakukan proses ovulasi.
  3. Banyak tumbuh bulu pada badan (hirsutism) – selalunya pada bahagian belakang badan, muka dan juga punggung.
  4. Mengalami pertambahan berat badan yang luar biasa.
  5. Keguguran rambut.
  6. Wajah yang berminyak atau masalah jerawat.

Wanita yang mengalami simptom PCOS di atas perlu berjumpa doktor dengan kadar segera untuk pemeriksaan lanjut.

Masalah kemandulan salah satu simptom PCOS

PCOS merupakan punca utama kemandulan dalam kalangan wanita. Malah, ramai wanita yang mendapati mereka menghidap PCOS setelah usaha mereka untuk mengandung idak berjaya.

Setiap kali haid, ovari wanita akan melepaskan telur (ovum) ke dalam uterus (rahim). Proses ini turut dikenali sebagai proses ovulasi dan hanya berlaku sebulan sekali.

Walau bagaimanapun, wanita yang menghidap PCOS tidak dapat melakukan proses ovulasi. Mereka juga sukar untuk datang haid atau mempunyai haid yang tidak teratur.

Bukan itu sahaja, wanita yang sangat jarang datang bulan (3 hingga 4 kali haid setahun) mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap kanser endometrial.

Pun begitu, risiko kanser ini sangat rendah dan boleh dikurangkan dengan pengambilan pil kontraseptif atau sistem intrauterine.

Adakah anda menghidap PCOS?

simptom pcos

Simptom PCOS kadangkala jelas, dan ada juga masanya ia samar-samar.

Malah, ramai wanita yang bertindak berjumpa doktor kulit untuk merawat masalah jerawat yang mereka alami tanpa mengetahui ia merupakan simptom PCOS.

Ada wanita yang akan mengalami satu sahaja simptom PCOS sepanjang hayat. Namun, ada juga wanita yang mengalami semua simptom.

Lazimnya, wanita akan didiagnosis dengan PCOS apabila mereka mengalami kesukaran untuk mengandung.

Walau bagaimanapun, mereka mungkin tidak perasan simptomnya telah bermula sejak mereka remaja.

Untuk menentukan sama ada anda menghidap PCOS ataupun tidak, doktor akan memeriksa sama ada anda mengidap simptom-simptom berikut:

  1. Haid yang tidak terataur atau tidak datang haid langsung.
  2. Kadar hormon seks lelaki yang lebih tinggi daripada biasa.
  3. Sista pada kawasan ovari.

Wanita yang mempunya sista pada kawasan ovari tidak semestinya menghidap PCOS. Malah, ramai wanita yang menghidap PCOS tidak mempunyai sebarang sista pada kawasan ovari mereka.

Jika anda rasa risau mengenai PCOS, berjumpalah doktor dengan kadar yang segera.

PCOS tidak boleh dirawat, namun ada ubat-ubatan yang dapat membantu anda untuk mengawal komplikasi yang disebabkan oleh PCOS.

Rujukan

  1. https://www.hopkinsmedicine.org/health/conditions-and-diseases/polycystic-ovary-syndrome-pcos
  2. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/pcos/symptoms-causes/syc-20353439
  3. https://www.cdc.gov/diabetes/basics/pcos.html
  4. https://www.nhs.uk/conditions/polycystic-ovary-syndrome-pcos/symptoms/
  5. https://www.healthline.com/health/polycystic-ovary-disease
SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: