15 Adab Berjiran Yang Perlu Perlu Diamalkan Dalam Hidup Masyarakat Majmuk
Tiada ada satu pun manusia yang hidup sendiri. Sekiranya mereka hidup seorang diri di dalam rumah pastinya di kiri dan kanan kediaman itu ada jiran tetangga yang lain. Oleh yang demikian, apakah adab berjiran yang perlu kita tahu? Artikel pada kali ini akan membincangkan tentang tips bagaimana untuk memastikan keharmonian dalam hidup berjiran.
Dalil tentang adab berjiran dalam Islam
Jiran adalah orang yang tinggal berdekatan dengan rumah kita sama ada di kanan, di kiri, di depan, di tingkat atas, di tingkat bawah hingga 40 buah rumah di setiap penjuru.
Al-Quran dan Hadis ada membincangkan tentang tuntutan untuk menjaga adab dengan jiran tetangga. Firman Allah dalam Surah Al-Nisa, ayat 36:
وَاعْبُدُوا اللَّـهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنبِ وَابْنِ السَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۗ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ مُخْتَالًا فَخُورًا
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua. Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri.”
Bahkan, di antara hadis yang menceritakan akan kepentingan berlaku baik kepada jiran daripada Abi Syuraih RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda,
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُحْسِنْ إِلَى جَارِهِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya.” – (Hadis Riwayat Muslim)
Jenis-jenis adab berjiran dan kewajipannya
Dalam Islam, ada tiga jenis jiran dan hak-hak yang perlu diberikan kepada mereka. Setiap satunya berbeza-beza tetapi masih kita sebagai seorang manusia ada tanggungjawab sesama manusia.
Pertama: Jiran Muslim yang mempunyai hubungan persaudaraan
- Hak sebagai seorang Muslim
- Hak sebagai seorang kerabat
- Hak sebagai seorang jiran
Kedua: Jiran Muslim yang tidak mempunyai hubungan persaudaraan
- Hak sebagai seorang Muslim
- Hak sebagai seorang jiran
Ketiga: Jiran bukan Islam
- Hak sebagai seorang jiran sahaja
Adab berjiran
Terdapat banyak adab berjiran yang boleh kita amalkan dalam hidup bersama-sama. Antara adab tersebut adalah seperti:
1. Sentiasa berbuat baik dengan jiran
Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 36,
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.”
Berbuat baik di sini bukan sahaja dari segi perbuatan seperti memberikan buah tangan apabila balik kampung, atau bersopan santun semasa berbual tetapi juga dengan memberikan senyuman yang manis tanda kita hormati mereka.
2. Jangan sesekali menyakiti jiran baik dari segi perlakuan, percakapan, dan emosi
Rasulullah SAW pernah bersabda: “Demi Allah tidak beriman, demi Allah tidak beriman, demi Allah tidak beriman.”
Sahabat bertanya: “Siapakah (yang tidak beriman itu) ya Rasulullah?”
Rasulullah SAW menjawab : “Orang yang menyebabkan jirannya tidak merasa aman (selamat dan tenteram) lantaran kejahatannya.” – (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis yang lain dinyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda;
“Tidak masuk syurga, barangsiapa yang jirannya tidak merasa aman(selamat dan tenteram) lantaran kejahatannya.” – (Hadis Riwayat Muslim)
Seperti mana kita tidak mahu disakiti begitu jugalah orang lain mahukan. Jika kita selidik dari dapatan kajian individu yang mengalami tekanan dalam hidup salah satu faktornya kerana orang sekeliling.
3. Amalkan ziarah menziarahi
Dari Abu Hurairah RA beliau berkata, aku mendengar Rasulullah SSAW bersabda:
Maksudnya: “Hak seorang Muslim ke atas Muslim yang lain ada lima perkara, iaitu menjawab salam yang diberikan, menziarahi mereka yang sakit, mengiringi jenazah, memenuhi undangan, dan mendoakan orang bersin.” – (Hadis Bukhari dan Muslim)
Amalan ziarah menziarahi ketika hari perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri memang banyak diamalkan oleh jiran semasa Islam. Begitu juga jika ada sambutan hari jadi, kenduri kendara, atau majlis perkahwinan.
Dalam masa yang sama kita juga haruslah menziarahi jiran ketika sakit atau meninggal dunia. Dengan sikap suka ziarah menziarahi ini sudah tentu akan mengeratkan lagi tali silaturahim sesama jiran.
4. Tidak membuka aib sesama manusia
Allah SWT menutup aib manusia sehingga hari kiamat, maka tidak wajar kita sebagai seorang manusia sendiri mahu membuka aib tersebut.
Namun yang demikian, itulah yang terjadi pada manusia pada hari ini. Dosa-dosa yang dilakukan suka dipamerkan tanpa segan silu. Ada juga segelintir yang menjadikan aib saudaranya sebagai bahan mainan.
Di dalam satu hadis daripada Ibn Umar RA, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang Muslim, nescaya Allah akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya.” – (Hadis Riwayat Imam al-Tirmidhi)
5. Utamakan jiran yang paling terdekat dengan rumah
“Siapa yang dimaksudkan sebagai jiran menurut agama Islam?
“Imam Al-Nawawi RA menyatakan orang yang dianggap jiran tetangga ialah orang yang berada 40 buah rumah dari sudut kanan, kiri, depan dan belakang kediaman individu.
Yang paling terdekat itulah yang faham serba sedikit tentang keadaan kita. Dan mereka juga boleh membantu kita dengan segera apabila berlaku apa-apa.
6. Menjaga keselamatan rumah dan anak-anak jiran
Ini lebih kepada “common sense” sebagai manusia. Kebanyakkannya jiran tidak minta kita untuk berbuat demikian tetapi kita sebagai manusia yang harus berfikir rasionaliti perbuatan tersebut.
Ketika jiran pulang ke kampung, ambillah inisiatif untuk jaga keselamatan rumah mereka dari dimasuki perompak atau sebagainya. Bila kita nampak anak-anak jiran berkeliaran sehingga lewat malam bersama rakan-rakan, maka beritahu mereka untuk pulang ke rumah demi keselamatan sendiri.
7. Bantu apabila ditimpa kesusahan
Dalam Surah al-Maidah ayat 2, Allah berfirman yang bermaksud:
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”
Saudara mara kita jauh, rakan-rakan juga kebanyakkannya tinggal berjauhan dengan kita. Yang paling rapat ada cuma jiran kiri, kanan, depan, dan belakang. Oleh yang demikian, sikap bantu-membantu dalam hidup berjiran itu memang perlu untuk diamalkan kerana kita tidak tahu bila kita susah dan bila mereka pula yang susah.
8. Jangan ambil tahu sampai menjaga tepi kain orang
Ambil tahu kerana bimbang dan prihatin jangan sampai menjaga tepi kain orang lain. Dalam konteks ini pepatah menyurah kita agar sentiasa memasangkan had dalam kesibukan kita terlalu ambil tahu tentang urusan jiran khususnya hal rumah tangga mereka.
9. Sayangi jiran
Sayang seseorang sepenuh hati tidak mengharapkan balasan seperti mana kita mahu dia juga sayangi kita. Hormat mereka seperti mana kita mahu juga dihormati oleh mereka.
Jika baik yang kita tonjolkan, insha Allah mereka juga tidak segan dan malu untuk contohi.
Sayidina Anas RA pernah berkata, daripada Rasulullah SAW, baginda bersabda: “Tidak akan beriman seseorang di kalangan kamu (secara sempurna) sehingga dia menyayangi saudaranya seperti mana dia menyayangi dirinya sendiri.” – (Hadis Riwayat Imam Bukhari)
10. Sentiasa wujudkan kemesraan bersama
Kemesraan akan wujud apabila kita bersatu hati dengan jiran. Elakkan dari dengki-mendengki, kata-mengata, busuk hati, dan iri hati melihat kejayaan mereka.
Sebaliknya yang baik dari jiran kita jadikan contoh, manakala yang kurang baik kita hindarkan dari hidup.
11. Sentiasa nasihat menasihati dengan cara paling berhikmah
Nasihat jangan sampai mencerca, memberitahu jangan sampai mengata. Gunakan cara yang paling baik dan berhikmah dalam kita menegur seseorang agar mesej itu sampai untuk diambil pengajaran.
12. Tidak mudah terpengaruh dengan fitnah dan umpatan tentang perlakuan buruk jiran
Jauhi sikap suka berburuk sangka dengan jiran. Kunci dalam hidup berjiran adalah kita perlu ada rasa percaya dan saling memahami. Apabila datangnya sesuatu fitnah dan khabar buruk, jangan terus diambil sebagai satu hukuman untuk mereka.
Kerana jiran yang baik akan selidik terlebih dahulu sebelum menjatuhkan sesuatu syak wasangka kepada orang lain.
13. Mendoakan keselamatan dan kebahagiaan jiran
Sangat besar pahala orang yang sentiasa mendoakan keselamatan dan kebaikan orang lain tanpa pengetahuannya. Ini bertepatan dengan sebuah hadis:
Maksudnya: “Tidak ada seorang muslim pun yang mendoakan kebaikan bagi saudaranya (sesama muslim) tanpa sepengetahuannya, melainkan malaikat akan berkata, “Dan bagimu juga kebaikan yang sama.” – (Hadis Riwayat Muslim)
Memberikan kemudahan untuk jiran juga merupakan adab dalam berjiran. Ini selalu berlaku apabila kita melakukan renovation pada rumah. Perhatikan dengan saksama di mana hak rumah kita, dan di mana hak rumah jiran.
Jangan sesekali mendirikan bangunan atau tembok pada kawasan rumah jiran. Dalam kata lain tidak boleh jika kita menyempitkan perjalanan jiran menuju ke rumahnya.
15. Tidak menganggu ketenteraman jiran
Setiap orang diberikan 24 jam setiap hari, dan mempunyai pelbagai gaya hidup yang dilakukan. Ada orang kerja di siang hari, dan ada juga yang kerja di malam hari. Semua ini kita perlu ada rasa peduli untuk memastikan kita tidak tergolong dalam kelompok yang menganggu ketenteraman orang lain.
Tidak salah berhibur dalam rumah seperti berkaraoke, jamming, atau sebagainya. Tetapi ada hadnya yang perlu diambil tahu. Bukan bermakna rumah kita, ikut suka hati kita hendak lakukan apa sahaja.
Hikmah memelihara adab berjiran
- Kehidupan akan sentiasa damai dan harmoni
- Hidup bermasyarakat akan lebih diberkati oleh Allah SWT
- Dapat bersatu ke arah kemajuan dan kehidupan lebih berkualiti
- Sentiasa berasa selesa dan mendapat pembelaan
- Kemungkaran dapat dibasmi dengan lebih mudah dan cepat
Kesimpulan
Hidup berjiran memerlukan kita untuk sentiasa peduli dan pupuk nilai sabar dalam diri. Jika dua nilai murni ini tidak ada, maka haru birulah sesebuah komuniti masyarakat dalam sesebuah taman itu.
Rujukan
- Azim Jemadi, Faeizad Mohamad & Nurazmallail Marni. (2019). Konsep Kejiranan Menurut Perspektif Islam. Kertas kerja dibentangkan di Seminar Institusi Islam 2019
- 30 Adab Berjiran. Baharudinz Blog