Adakah Keputihan Dan Cecair Yang Keluar Dari Faraj Boleh Membatalkan Wudhuk?
Kadangkala sebagai wanita, kita berasa musykil apabila cecair atau angin yang keluar daripada faraj boleh menyebabkan wuduk kita terbatal ataupun tidak.
Namun ada juga satu kenyataan yang menyatakan bahawa perakara itu sah wudhuk dan kita boleh bersolat seperti biasa.
Unatuk mendapatkan penjelasan yang lebih mendalam, mari kita membaca ulasan yang dietrangkan oleh Mufti Wilayah Kuala Lumpur . Semoga bermanfaat.
SOALAN
Saya mengalami keputihan yang berterusan tanpa mengira waktu, ketika saya mendirikan solat keputihan akan tetap mengalir, adakah saya perlu membatalkan solat dan mengulangi wuduk semula?
Mohon pencerahan. Terima kasih
Jawapan:
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat
Sebagai mukadimah, perkara yang perlu diperhalusi ialah perbezaan kelembapan faraj dan keputihan:
Lembapan faraj (رطوبة الفرج) ialah cairan putih jernih yang diragukan sama ada sifatnya antara mazi dan peluh. (Lihat al-Majmu’, 2/570). Cecair ini keluar daripada kawasan faraj yang zahir apabila wanita duduk mencangkung. Kawasan faraj zahir yang sampai kepadanya had zakar ketika berjimak mengikut pendapat yang paling sahih ( Lihat Hasyiyah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib (1/108).
Keputihan ( الإفرازات/ رطوبة جوفية ) adalah cecair yang keluar daripada bahagian batin faraj seperti air mazi, air wadi dan sebagainya. Had batin faraj iaitu tempat yang tidak wajib dibasuh ketika istinjak (Lihat Hasyiyah Jamal (1/178). Hasil kajian beberapa wanita mendapati cecait keputihan menyerupai warna gam pekat yang berwarna putih atau hingus yang berwarna putih dan kadang-kadang bercampur warna kekuningan dan sedikit hijau. ( Lihat Tuhfah al-A‘izza (242))
Keputihan (leukorrhea) menurut kamus perubatan ialah pengeluaran lendiran putih atau kuning daripada faraj atau serviks.[1] Keputihan fisiologis merupakan petanda yang sangat normal kerana hampir setiap wanita melalui keadaan ini. Namun ciri-ciri keputihan berpenyakit adalah keluar lendir kental berwarna kelabu, kuning atau hijau berbau busuk dan menyebabkan kegatalan pada faraj atau dikenali keputihan patologi. Penyakit keputihan patologi adalah berpunca daripada jangkitan kuman (bakteria atau kulat) perlu dirawati [2].
Hukum keputihan
Berkata Imam Syafie dalam kitab al Umm:
كُلِّ مَا خَرَجَ مِنْ ذَكَرٍ مِنْ رُطُوبَةِ بَوْلٍ، أَوْ مَذْيٍ أَوْ وَدْيٍ أَوْ مَا لَا يُعْرَفُ، أَوْ يُعْرَفُ فَهُوَ نَجِسٌ كُلُّهُ مَا خَلَا الْمَنِي
“Setiap kencing, mazi, wadi atau sesuatu yang tidak diketahui atau diketahui yang keluar daripada kemaluan, maka semua hukumnya najis kecuali air mani ( Lihat al-Umm 1/72). Ini bermakna sekiranya cairan keputihan datang daripada dalam faraj selain mani, maka statusnya najis.
Keputihan adalah najis dan membatalkan wuduk kerana ia keluar daripada had batin faraj (tempat yang tidak wajib dibasuh ketika istinjak). Apabila cecair keluar daripada kawasan faraj yang tidak wajib dibasuh dinamakan ( رطوبة جوفية). (Lihat Hasyiyah Jamal (1/178), Lihat Hasyiyah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib (1/108).
Syeikh Muhammad Shalih Al-‘Utsaimin berpendapat,
Keputihan membatalkan wuduk seperti angin dan kencing yang keluar daripada dalam. Akan tetapi jika keputihan keluar terus-menerus, maka tidak membatalkan wuduk. Oleh itu, tidak mengambil wuduk melainkan setelah masuk waktu dan wuduk bagi setiap waktu dan amalan lain seperti membaca al-Quran (Lihat Majmu’ Fatawa Ibnu Utsaimin : (1/284 – 285)
Hukum lembapan faraj
Fuqaha mazhab syafie saling berselisih pendapat terhadap status hukum kelembapan faraj:
رُطُوبَةُ الْفَرْجِ مَاءٌ أَبْيَضُ مُتَرَدِّدٌ بَيْنَ الْمَذْيِ وَالْعَرَقِ فَلِهَذَا اُخْتُلِفَ فِيهَا ثُمَّ إنَّ الْمُصَنِّفَ رَحِمَهُ اللَّهُ رَجَّحَ هُنَا وَفِي التَّنْبِيهِ النَّجَاسَةَ وَرَجَّحَهُ أَيْضًا الْبَنْدَنِيجِيُّ: وَقَالَ الْبَغَوِيّ وَالرَّافِعِيُّ وَغَيْرُهُمَا الْأَصَحُّ الطَّهَارَةُ وقال صاحب الحاوى في باب ما يوجب الغسل نص الشافعي رحمه الله في بعض كتبه علي طهارة رطوبة الفرج
Lembapan faraj itu cairan keputihan yang meragukan antara cecair mazi atau peluh. Oleh itu, para ulama berbeza pendapat mengenai hukumnya. Kemudian, penulis (al-Syirazi) dalam kitab ini (al-Muhadzzab) dan kitab at-Tanbih, cenderung berpendapat bahawa hukumnya najis. Pendapat ini dipilih juga al-Bandaniji. :Telah berkata al-Baghawi dan al-Rafie yang paling sahih adalah suci. Pengarang kitab al-Hawi mengatakan dalam bab apa yang menyebabkan mandi wajib, Imam Syafie menegaskan dalam sebagian kitab-kitabnya bahawa lendir faraj wanita hukumnya adalah suci. “(Lihat al-Majmu Syarh al-Muhadzzab, (2/570).
al-Mawardi menjelaskan,
قوله وفي رطوبة فرج المرأة روايتان إحداهما هو طاهر وهو الصحيح من المذهب مطلقا
“Pendapat mengenai lendir daripada faraj wanita ada dua pendapat salah satunya adalah suci dan inilah yang shahih dalam mazhab kami secara mutlak. (Lihat al-Majmu Syarh al-Muhadzzab, 2/570)
Basahan atau kelembapan faraj yang disebabkan oleh cecair yang datang dari had zahir faraj wanita dihukumkan suci dan tidak membatalkan wuduk. Basahan ini disebabkan oleh lembapan peluh daripada had zahir faraj wanita dan tercapai zakar ketika jimak pendapat paling sahih adalah suci. (Lihat Hasyiyah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib (1/108). Hal ini lembapan keluar di kawasan faraj yang wajib dibasuh, maka tidak menajiskan zakar ketika berjimak kerana ia dihukumkan suci (Lihat Hasyiyah Jamal (1/178)
Muzakarah Tabung Haji membincangkan bahawa lembapan faraj terhasil daripada mukosa faraj (selaput lendir daripada lapisan kulit dalam) untuk mengelakkan kulit daripada melekat dan kering. Lembapan faraj tersebut tidak membatalkan wuduk kerana sama keadaannya dengan seseorang yang menjulurkan lidahnya, kemudian memasukkan kembali dan menelan air liur yang terdapat dalam lidahnya.[3] Sekiranya lembapan faraj membatalkan wuduk. Nescaya wuduk akan sentiasa batal pada setiap masa kerana basahan tidak terpisah daripada had zahir wanita.
Berbalik kepada soalan yang diajukan, wanita yang sentiasa keluar najis keputihan ketika melaksanakan solatnya tidak perlu mengulangi wuduknya kerana diluar kawalan selain dihukumkan seperti wanita istihadah. Namun, satu wuduk hanya sah untuk satu fardu solat dan beberapa amalan sunat
Panduan wanita keputihan ketika perlaksanaan ibadah
Sehubungan itu, wanita yang keluar keputihan berterusan hukumnya seperti wanita istihadah yang sentiasa dalam keadaan hadas daim al-hadath ( دائم الحدث). Maka, beberapa perkara yang perlu diambil perhatian oleh wanita yang mengalami keputihan berterusan seperti berikut :
- Membasuh faraj daripada najis keputihan
- Memakai tuala wanita seperti pantyliner dipermukaan faraj agar tidak mengalir keluar
- Mengambil wuduk setelah masuk waktu
- Wuduknya hanya sah untuk satu waktu solat fardu dan beberapa solat sunat [4]
Kaedah ini berdasarkan beberapa riwayat berikut
Fatimah binti Hubaisy datang menemui Rasulullah SAW untuk menceritakan tentang darah istihadahnya, Lalu Baginda bersabda :
ثم اغتسلي ثُمَّ يَتَوَضَّي لكل صلاة و وصَلِّي
Maksudnya : “ Mandilah, kemudian berwuduklah bagi setiap waktu solat dan solatlah
Hadis riwayat Abu Daud (298)
Bacaan tambahan : al Kafi # 347 Beza mani, Mazi dan Wadi
Penutup
Setelah meneliti dalil serta hujahan fuqaha, kami simpulkan bahawa hukum keputihan dan kelembapan faraj adalah berbeza seperti berikut :
1) Lembapan faraj keluar dari tempat yang diwajibkan basuh ketika istinjak iaitu yang jelas ketika duduk mencangkung (had zahir) adalah suci dan tidak membatalkan wuduk
2) Keputihan ialah cecair yang keluar daripada dalaman faraj (batin al-faraj) adalah najis dan membatalkan wuduk.
3) Keputihan yang keluar berterusan dihukumkan seperti wanita istihadah dan sah wuduk untuk satu solat fardu.
Akhir kalam, semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih dalam beragama. Ameen