Anemia: Punca, Gejala, dan Rawatan Yang Boleh Didapatkan
Anemia ialah keadaan perubatan yang melibatkan kekurangan sel darah merah atau hemoglobin dalam darah.
Hemoglobin berfungsi membawa oksigen dari paru-paru ke seluruh badan, dan kekurangannya menyebabkan keletihan, lemah, dan sesak nafas.
Dalam artikel ini, kita akan membincangkan punca, gejala, dan rawatan yang boleh dilakukan dalam menangani masalah anemia.
Punca anemia
Anemia boleh disebabkan oleh pelbagai faktor, termasuk kehilangan darah, pengeluaran sel darah merah yang tidak mencukupi, atau pemusnahan sel darah merah secara berlebihan.
Beberapa punca umum penyakit ini boleh juga terjadi oleh kerana kekurangan zat besi, kekurangan vitamin B12, penyakit kronik, dan keturunan.
1. Kekurangan zat besi
Kekurangan zat besi adalah punca anemia yang paling umum. Zat besi penting dalam pembentukan hemoglobin, dan kekurangannya menyebabkan anemia kekurangan zat besi.
Faktor yang boleh menyebabkan kekurangan zat besi termasuk diet yang tidak seimbang, kehilangan darah, dan penyerapan zat besi yang tidak mencukupi.
2. Kekurangan Vitamin B12
Vitamin B12 diperlukan untuk pembentukan sel darah merah yang sihat. Kekurangan vitamin B12 boleh menyebabkan anemia pernisiosa, di mana sel darah merah tidak dapat berkembang dengan sempurna.
Punca kekurangan vitamin B12 adalah disebabkan oleh diet yang tidak seimbang, masalah penyerapan, dan keadaan perubatan tertentu.
3. Penyakit kronik
Penyakit kronik seperti kanser, penyakit buah pinggang, dan artritis reumatoid boleh menyebabkan anemia kronik.
Dalam keadaan ini, badan tidak dapat menghasilkan sel darah merah dengan cukup. Ataupun sekiranya darah dihasilkan juga ia pasti tidak sempurna di mana sel ini tidak dapat berfungsi dengan baik.
4. Keturunan
Anemia hemolitik keturunan adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh masalah genetik yang mengganggu fungsi dan struktur hemoglobin.
Contoh anemia hemolitik keturunan termasuk anemia sel sabit dan talasemia.
Gejala anemia
Gejala penyakit ini boleh berbeza-beza mengikut jenis dan keparahannya. Gejala umum yang biasa ditemukan termasuk keletihan, kelemahan, pucat, jantung berdebar, sesak nafas, dan sakit kepala.
Gejala yang lebih teruk mungkin mengakibatkan masalah seperti:
- Penurunan fungsi jantung
- Masalah pertumbuhan dan perkembangan pada kanak-kanak
- Komplikasi kehamilan pada wanita
Pengesanan dan diagnosis anemia
Doktor akan mengambil sejarah perubatan dan melakukan pemeriksaan fizikal untuk mengesan tanda-tanda anemia.
Ujian darah, seperti ujian hitung darah lengkap (CBC) dan ujian zat besi, akan digunakan untuk mengukur tahap sel darah merah, hemoglobin, dan tahap zat besi dalam darah.
Doktor mungkin juga melakukan ujian tambahan seperti ujian vitamin B12, ujian fungsi buah pinggang, dan ujian genetik untuk mengenal pasti punca penyakit tersebut.
Rawatan anemia
Dari segi jenis rawatannya, ia bergantung pada punca, jenis, dan tahap keparahan yang dihadapi oleh pesakit. Berikut adalah beberapa pilihan rawatan yang umum dilakukan.
1. Pengambilan suplemen zat besi dan vitamin
Untuk anemia kekurangan zat besi atau vitamin B12, doktor akan menyarankan suplemen zat besi atau vitamin B12 untuk meningkatkan tahap zat besi dan vitamin dalam badan.
Ia mungkin juga disyorkan untuk mengubah diet denngan memasukkan lebih banyak sumber zat besi dan vitamin B12, seperti daging merah, ikan, dan produk tenusu.
2. Terapi hormon
Untuk pesakit yang ditahap kronik pula, doktor mungkin menyarankan terapi hormon seperti eritropoietin untuk merangsang pembentukan sel darah merah dalam tulang sum-sum.
3. Transfusi darah
Dalam kes lain yang lebih teruk atau jika rawatan sebelum ini dilihat tidak memberi sebarang kesan, rawatan transfusi darah mungkin diperlukan.
Rawatan jenis ini melibatkan pemberian darah yang disumbangkan kepada pesakit melalui saluran intravena.
4. Terapi genetik dan sel induk
Untuk anemia hemolitik keturunan seperti anemia sel sabit dan talasemia, terapi genetik dan transplantasi sel induk mungkin menjadi pilihan rawatan.
Terapi genetik melibatkan pengenalan gen yang normal ke dalam sel pesakit untuk membetulkan masalah genetik yang menyebabkan anemia, manakala transplantasi sel induk melibatkan penggantian sel darah merah yang rosak dengan sel darah merah yang sihat dari donor.
Pencegahan anemia
Mencegah anemia melibatkan beberap langkah proaktif untuk mengurangkan risiko kehilangan darah, memastikan diet yang seimbang, dan mengawal penyakit kronik.
Ini mungkin termasuk mengambil suplemen zat besi dan vitamin B12, menjalani pemeriksaan perubatan secara berkala, dan mematuhi rawatan yang ditetapkan untuk penyakit kronik yang ada.
Kesimpulan
Kesimpulannya, anemia adalah keadaan perubatan yang melibatkan kekurangan sel darah merah atau hemoglobin dalam darah.
Ia boleh disebabkan oleh pelbagai faktor, seperti kekurangan zat besi, kekurangan vitamin B12, penyakit kronik, dan keturunan. Gejalanya berlaku berbeza-beza, tetapi umumnya melibatkan keletihan, kelemahan, dan sesak nafas.
Selain itu, antara rawatan yang boleh dijalankan adalah seperti melibatkan pengambilan suplemen zat besi atau vitamin, terapi hormon, transfusi darah, atau terapi genetik dan sel induk.
Diharapkan semoga perkongsian kami mengenai artikel ini dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.
Rujukan:
- An Overview of Anemia. Very Well Health
- Anemia: Cause, Symptoms & Treatment. Clevaland Clinic
- Anemia Bagi Dewasa. My Health