Apa Itu Kalori, Cara Kira Dan Kepentingannya

Anda ingin turunkan berat badan dan capai berat badan yang ideal? 

Tahukah anda, untuk menurunkan berat badan anda tidak perlu bersusah payah diet sampai tak makan nasi berbulan-bulan atau lakukan senaman secara intensif setiap hari. 

Perkara utama yang anda perlu jaga ialah pengambilan kalori anda setiap hari agar tidak melebihi daripada sepatutnya yang boleh menyebabkan usaha anda untuk mendapatkan berat badan ideal gagal. 

Oleh itu, mari kita fahami apa itu kalori dan bagaimana pengambilan kalori yang betul dapat membantu menurunkan berat badan anda dengan efisien. 

Mari teruskan membaca. 

Apa Itu Kalori? 

Kalori adalah unit tenaga dan simbol unit yang digunakan ialah kilogram kalori (kcal). 

Dalam bahasa saintifiknya, ia didefinisikan sebagai jumlah haba (tenaga) yang diperlukan untuk menaikkan suhu satu kilogram air sebanyak satu darjah Celsius. 

Apa Itu Kalori, Cara Kira Dan Kepentingannya

Selain itu, kalori juga membawa maksud nilai yang menunjukkan jumlah tenaga yang diperoleh daripada makanan dan minuman. Jumlah tenaga ini bergantung pada porsi dan jenis makanan. Contohnya, satu keping roti canai akan berikan kita 301kcal tenaga.

Kalori juga digunakan dalam mengira anggaran tenaga yang diperlukan dan digunakan oleh badan, Basal Metabolic Rate (BMR). Ringkasnya, kalori juga merujuk kepada tenaga yang diperlukan badan untuk berfungsi dengan baik.

Keperluan Kalori Tubuh

Kita perlu mengetahui jumlah kalori yang diperlukan oleh badan sebelum melihat kalori yang ada pada makanan agar pengambilan kalori tidak berlebihan daripada apa yang diperlukan oleh badan. 

Ibaratnya, sebelum nak isi air dalam botol, kena lah tahu isipadu botol. Kalau tak nanti terlebih isi, tumpah lah kan. Begitu juga lah dengan pengambilan kalori tubuh kita. 

Untuk makluman anda, setiap individu mempunyai keperluan kalori yang berbeza. Kalori yang diperlukan tubuh bergantung kepada kadar metabolisme seseorang. 

Metabolisme pula bermaksud anggaran tenaga yang diperlukan oleh badan kita untuk menggerakkan sistem-sistem badan dan menjalani aktiviti harian.

Terdapat beberapa faktor dan punca yang mempengaruhi kadar metabolisme badan seperti umur, jantina, gaya hidup dan sebagainya. 

Oleh itu, untuk mendapatkan anggaran keperluan kalori yang diperlukan oleh badan kita, kita perlu mengambil kira faktor-faktor yang mempengaruhi metabolisme kita. 

Total Daily Energy Expenditure (TDEE)

Total Daily Energy Expenditure (TDEE) adalah merupakan kiraan yang menggabungkan Basal Metabolic Rate (BMR) iaitu tenaga yang diperlukan untuk fungsi sistem badan, anggaran aktiviti fizikal dan Thermic Effect of Food (TEF) iaitu tenaga yang diperlukan untuk penghadaman makanan.

TDEE = BMR + Aktiviti Fizikal + TEF

Untuk mengetahui kadar keperluan kalori anda, caranya adalah dengan mengetahui TDEE anda. Anda boleh gunakan aplikasi online untuk mengira TDEE anda dengan mudah. 

Sebagai contoh, sekiranya hasil pengiraan TDEE anda adalah 3300 kcal dalam sehari, bermakna berdasarkan kiraan jumlah kalori yang diperlukan oleh tubuh anda dalam satu hari sebanyak 3300 kcal bagi mengekalkan berat anda. 

Sekiranya anda ingin menurunkan berat badan, maka anda perlu kurangkan pengambilan kalori anda berdasarkan berat yang anda target. Walaubagaimanapun, anda tidak boleh mengikuti cara ini seratus peratus kerana tidak semua individu sesuai dengan cara ini. 

Apabila kita mengurangkan pengambilan kalori, secara tidak langsung metabolisme badan kita juga akan berkurangan selepas beberapa tempoh. Ini menjadikan kalori yang kita ambil bersamaan dengan metabolisme badan. Maka, berat tidak akan berhasil untuk turun lagi. 

Inilah kitaran diet pengurangan kalori.Oleh itu, jangan hanya obses dengan kiraan kalori. 

Kalori vs Nutrisi

Kita perlu ketahui walaupun makanan tersebut mempunyai nilai kalori yang sama, namun nutrisi dalam makanan tersebut mungkin berbeza. Sebagai contoh, reaksi badan pada 135 kcal pisang tidak sama dengan 135 kcal air coca-cola dan 135 kcal minyak zaitun.

Ini jelas membuktikan bahawa untuk mengekalkan berat badan ideal dan menurunkan berat badan, anda tidak boleh berpandukan pengambilan kalori semata-mata. 

Anda juga perlu mengambil kira kandungan nutrisi setiap makanan yang diambil setiap hari. 

Sumber: https://sihatologi.com/ms/kalori/ 

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Admin (N)
Admin (N)
Articles: 161