Karbohidrat: Mengapa Anda Perlu Mengambilnya Setiap Hari?

Pasti semua orang pernah dengar mengenai karbohidrat. Karbohidrat atau karbo merupakan sejenis zat yang amat diperlukan oleh badan. Ia membekalkan badan kita dengan tenaga yang diperlukan sepanjang hari.

Badan kita akan menguraikan karbohidrat kepada glukosa. Glukosa atau gula darah merupakan sumber utama tenaga badan. Ia boleh digunakan serta merta atau disimpan di dalam otot dan hati untuk kegunaan akan datang.

Namun, apa maksud sebenar karbo dan benarkah ia boleh menyebabkan kegemukan? Bagi mereka yang ingin tahu lebih lanjut, jom baca artikel yang kami sediakan di bawah mengenai karbohidrat.

Apa itu karbohidrat?

karbohidrat

Karbohidrat boleh ditemui di dalam pelbagai jenis makanan – sihat atau tidak sihat.

Ia terkandung dalam nasi, spageti, roti, kekacang, susu, kentang, biskut, makanan ringan dan juga kek. Bukan itu sahaja, karbohidrat juga mempunyai banyak bentuk seperti gula, serat dan kanji.

Makanan yang kaya dengan karbohidrat merupakan sebahagian daripada diet yang sihat. Karbo dapat membekalkan badan dengan glukosa yang sangat penting untuk menghasilkan tenaga.

Walau bagaimanapun, bukan semua karbo bermanfaat untuk badan. Ada beberapa jenis karbo yang berkualiti. Oleh sebab itu, ada sesetengah karbohidrat yang lebih berkhasiat dan bernutrisi berbanding yang lain.

Sumber karbo yang paling sihat ialah sayur-sayuran, kekacang dan bijirin penuh. Ia mempunyai banyak vitamin, mineral, serat dan mengandungi banyak fitokimia yang bermanfaat.

Contoh karbo yang tidak sihat pula ialah roti, manisan, air berkarbonat dan makanan lain yang diproses. Makanan ini boleh menyebabkan peningkatan berat badan dan juga penyakit seperti diabetes dan tekanan darah tinggi.

Berapa banyak karbo yang kita perlukan setiap hari?

karbohidrat

Jika anda mengambil sebanyak 2000 kalori sehari, 45-65% daripadanya perlulah berasal daripada karbohidrat.

Sebagai anggaran, jumlah ini adalah sebanyak 900 hingga 1300 kalori, sekitar 225 hingga 325 gram karbo sehari.

Anda boleh mendapatkan informasi mengenai kandungan karbohidrat dalam sesuatu makanan di belakang pek pembungkus.

Informasi ini bukan sahaja meliputi bilangan karbihidrat sahaja, ia juga dapat memberikan informasi mengenai kandungan serat dan juga gula.

Jenis-jenis karbohidrat

Menurut MedlinePlus, ada 3 jenis karbohidrat yang utama:

  1. Gula. Gula merupakan bentuk karbo yang paling mudah. Ia terbentuk secara semula jadi di dalam beberapa jenis makanan seperti buah, sayuran dan produk tenusu.
  2. Kanji. Kanji merupakan karbohidrat kompleks yang diperbuat daripada rantaian gula. Ia boleh ditemui di dalam buah, sayur, bijirin penuh dan juga kekacang.
  3. Serat. Serat juga merupakan karbohidrat kompleks, sama seperti kanji. Badan kita tidak boleh menguraikan serat. Namun, makanan yang kaya dengan serat dapat membuatkan anda lebih kenyang dan kurang makan. Malah, ia juga dapat mengurangkan sembelit.

Karbo jenis apa yang perlu saya ambil?

karbohidrat

Semua orang perlu mengambil karbo untuk tenaga. Walau bagaimanapun, anda perlulah mengambil karbo yang sihat dan berkualiti untuk memastikan badan sentiasa sihat:

  • Pilih bijirin penuh. Ketika mengambil karbo, anda perlulah pilih bijirin penuh seperti roti, beras perang dan oat. Makanan jenis ini mengandungi banyak nutrisi seperti vitamin, mineral dan serat yang sangat diperlukan oleh badan.
  • Ambil makanan yang kaya dengan serat. Makanan ini dapat memastikan sistem pencernaan anda kekal sihat.
  • Elakkan makanan yang kaya dengan gula. Makanan ini mengandungi banyak kalori namun nutrisi yang sangat rendah. Pengambilan gula yang terlalu banyak boleh menyebabkan pelbagai penyakit, salah satunya ialah diabetes. Malah, anda juga boleh mengalami penambahan berat badan disebabkan pengambilan karbo yang berlebihan.

Ada orang yang mengurangkan pengambilan karbohidrat harian untuk menurunkan berat badan. Antara diet yang popular ialah diet Atkins dan diet keto.

Walau bagaimanapun, diet jenis ini mungkin sukar untuk diikuti. Malah, ada juga beberapa jenis diet yang menggalakkan pengambilan lemak dan minyak. Kedua-dua jenis makanan ini boleh meningkatkan risiko penyakit jantung.

Sebelum anda melakukan sebarang diet, bercakaplah dengan doktor sebelum mencuba diet baharu, terutamanya jika mempunyai penyakit tertentu.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: