Asas Pertolongan Cemas Yang Perlu Diketahui, Siapa Tahu Berguna Kelak!

Maksud Asas Pertolongan Cemas/ Rawatan Kecemasan 

Pertolongan cemas atau rawatan kecemasan adalah merupakan rawatan atau bantuan awal yang diberikan kepada mangsa sebelum bantuan perubatan tiba. Bantuan awal ini biasanya diberikan oleh orang yang dilatih dan mempunyai pengetahuan asas perubatan. 

Sokongan ini mungkin dapat membantu mereka bertahan sehingga bantuan profesional tiba.

Adalah penting untuk setiap individu mengetahui asas pertolongan cemas kerana sesungguhnya malang tidak berbau. Kemahiran yang anda pelajari hari ini mungkin akan berguna pada masa hadapan.

Dalam kes-kes lain, tujuan pertolongan cemas adalah terdiri daripada penjagaan yang diberikan kepada seseorang yang mengalami kecederaan kecil.

Contohnya, tujuan pertolongan cemas sering sekali diperlukan untuk merawat luka terbakar kecil, luka, dan gigitan serangga.

Tujuan pertolongan atau rawatan kecemasan yang diberikan adalah untuk menyelamatkan nyawa mangsa, mengelakkan kecederaan menjadi lebih teruk, mengurangkan kesakitan yang dialami mangsa dan meningkatkan peluang untuk memulihkan keadaan mangsa. 

Mari teruskan membaca untuk mengetahui apakah asas pertolongan cemas yang anda perlu ketahui. 

3 Teknik Asas Pertolongan Cemas Ketika Situasi Kecemasan 

  1. Periksa Kawasan Kejadian

Sebelum memulakan bantuan, pastikan anda telah memeriksa kawasan kejadian terlebih dahulu. Hal ini adalah untuk memastikan kawasan tersebut selamat. Sekiranya kawasan tersebut tidak selamat, segera keluar dan dapatkan bantuan. 

Manakala, sekiranya kawasan tersebut selamat, nilai keadaan orang yang sakit atau cedera tanpa menggerakkan mereka (kecuali jika terpaksa).

  1. Hubungi Bantuan Perubatan / Talian Kecemasan

Segera hubungi talian kecemasan sekiranya mangsa dalam keadaan yang kritikal dan memerlukan rawatan. Perhatikan ‘vital sign’ mangsa sentiasa sehingga bantuan tiba. 

  1. Jaga Mangsa Sehingga Bantuan Tiba

Setelah memberikan bantuan awal, sila tunggu bantuan perubatan tiba. Peka dengan keadaan mangsa, cuba tenangkan, selimutkan dan lindungi mereka daripada perkara yang berbahaya. 

Garis Panduan Untuk Memberi Rawatan Kecemasan

  1.  Cuci tangan dengan air dan sabun sebelum memberikan rawatan
  2. Guna sarung tangan semasa memberi rawatan
  3. Jika terdapat luka, balut luka anda dengan pembalut kalis air sebelum memberi rawatan
  4. Berhati-hati agar tidak tercucuk jarum atau benda tajam
  5. Buang bahan-bahan yang telah kotor sebagai sisa biohazard

Peti Pertolongan Cemas

asas pertolongan cemas

Untuk memberi pertolongan cemas, anda perlu memiliki peti pertolongan cemas. Dalam peti tersebut akan mempunyai beberapa jenis ubatan dan bahan rawatan yang boleh digunakan untuk memberi rawatan awal. Berikut ialah contoh alatan yang perlu ada di dalam peti pertolongan cemas;-

  • Safety Pin: Menetapkan kedudukan kain anduh
  • Cotton buds: Mencuci luka pada kawasan sukar
  • Roller bandage: Menstabilkan kecederaan /kepatahan / untuk membalut luka dan juga kecederaan ringan seperti terseliuh
  • Alcohol Prep Pads: Mencuci sebarang bendasing / kekotoran pada luka sebelum membalut
  • Analgesic Cream: Melegakan kesakitan otot dan lenguh pada otot kaki dan tangan
  • Gauze: Melakukan pencucian / pembebat luka, membuat balutan / memberi tekanan pada pendarahan dan menstabilkan kepatahan
  • Adhesive Tape: Melekatkan balutan dan pembebat
  • Gunting: Memotong
  • Crepe/Elastic Bandage: Menstabilkan kecederaan/kepatahan/untuk membalut luka dan juga kecederaan ringan seperti terseliuh
  • Sarung tangan: Melindungi diri daripada sebarang cecair badan / sumber jangkitan
  • Elastoplast: Menetapkan kedudukan pembebat dan memberi tekanan pada luka pendarahan
  • Sterile Eye Pad: Melindungi mata yang tercedera / terkena bendasing
  • Kain Anduh: Mengampu bahagian yang cedera / patah, balut luka / pendarahan dikhuatiri ada kepatahan tulang
  • Acriflavine (Ubat Kuning): Untuk antiseptik dan mempercepatkan penyembuhan luka

NOTA: Anda juga boleh meletakkan kelengkapan dan ubat-ubatan lain bersesuaian terutamanya sekiranya mempunyai ahli keluarga yang menghidapi penyakit tertentu. Peti tersebut boleh dibawah kemana-mana sahaja ketika anda sedang bersama keluarga. 

Sekiranya ada bayi kecil, kit anda perlu ada termometer bayi dan acetaminophen bayi atau ibuprofen.

Kesimpulan 

Mengetahui asas pertolongan cemas adalah amat penting bagi membantu memberi rawatan yang diperlukan secepat mungkin. Setiap saat adalah berharga untuk nyawa seseorang. Siapa tahu dengan pengetahuan ini anda mungkin menyelamatkan orang lain. 

Apa yang penting, anda perlu bertenang ketika berada di dalam situasi kecemasan agar dapat berperanan dengan lebih baik. 

Pastikan juga anda mengambil langkah-langkah keselamatan untuk melindungi diri semasa memberikan pertolongan cemas. 

Sumber: hellodoktor.com

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Admin (N)
Admin (N)
Articles: 161