Beli Peti Ais Daripada Orang Bukan Islam, Perlukah Disamak Atau Sertu?

Membeli barangan terpakai ataupun barang ‘seconhand’ sememangnya bukanlah suatu perkara yang janggal. Ramai yang memilih untuk membeli barangan terpakai atas alasan jauh lebih murah dan jimat lebih-lebih lagi barangan yang dijual masih lagi berkualiti dan tidak mempunyai sebarang kerosakan.

Namun, timbul persoalan sekiranya masyarakat yang beragama Islam memilih untuk membeli barangan terpakai daripada orang yang bukan muslim. Adakah perkara ini dibenarkan?

Menurut penulis tidak ada salahnya untuk membelibarangan terpakai daripada orang yang bukan muslim namun sekiranya barangan tersebut merupakan barangan yang berkaitan dengan perkara yang tidak dibenarkan oleh Islam, adakah ianya perlu disertu atau disamak terlebih dahulu?

Untuk mendapatkan kepastian yang sahih, mari kita telusuri penerangan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan bagi mendapatkan penjelasan ini.

Soalan

Assalamualaikum, saya ada persoalan mengenai membeli barangan elektrik seperti peti ais dan mesin basuh terpakai dari non-muslim dan dibeli dari rumah bukan dari kedai. Adakah saya perlu samak atau sertu terdahulu jika ada kemungkinan pengguna asal menyimpan daging khinzir dan arak. Jika ya, bagaimanakah caranya untuk samak alatan tersebut. sekian, terima kasih

Ringkasan Jawapan

Menggunakan barang yang dibeli daripada golongan non-muslim tidak wajib disamak atau disertu sekiranya tidak terdapat sebarang tanda yang membuktikan bahawa ia bernajis.

Selain itu, sunat untuk dibasuh sebelum menggunakannya dengan air yang bersih sahaja. Jika dengan basuhan tersebut boleh merosakkannya maka tidak perlu untuk membasuhnya agar terpelihara daripada kerosakan.

Huraian Jawapan

Islam menuntut umatnya supaya mengambil berat dalam aspek kebersihan dalam kehidupan. Namun dalam aspek ini juga mestilah berpandukan hukum-hakam yang telah ditetapkan syarak. Dalam aspek yang berkaitan ketidakpastian atau ragu-ragu dalam permasalahan najis, maka hendaklah berbalik kepada kaedah hukum asal bagi sesuatu barang itu adalah suci. Perkara ini seperti mana yang dinyatakan oleh sepotong hadis yang diriwayat oleh Abbdullah bin Zaid al-Mazini bahawa Nabi SAW bersabda:

‏ لاَ يَنْصَرِفْ حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَ رِيحًا ‏

Maksudnya: Janganlah seseorang itu beredar (keluar dari solatnya) sehingga mendengar bunyi atau menghidu bau (yang keluar dari duburnya)

Riwayat al-Bukhari (177)

Imam Badruddin al-‘Aini menyatakan bahawa hadis di atas merupakan jawapan Nabi SAW terhadap kemusykilan seorang lelaki yang syak terhadap solat sehingga ia memikirkannya ketika menunaikan solatnya.[1] Dalam menjelaskan hadis di atas, Syeikh Amin al-Harari menjelaskan bahawa (صوتًا) iaitu bunyi yang keluar daripada duburnya dan (أو يجد) bau yang dihidu oleh hidungnya.[2]

Selain itu, terdapat kaedah fiqh yang menjelaskan bahawa asal sesuatu barang itu adalah suci, kaedah ini seperti yang disebut oleh Imam al-San’ani di dalam karyanya Subul al-Salam:

أَنَّ الْأَصْلَ فِي الْأَعْيَانِ الطَّهَارَةُ

Maksudnya: Sesungguhnya hukum asal sesuatu barang itu adalah suci.[3]

Begitu juga, jika seseorang itu syak dan tidak dapat dipastikan sesuatu itu bernajis atau tidak maka hendaklah ia menghukum sesuatu itu tidak bernajis sehinggalah wujud bukti kenajisan itu. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyatakan:

الْأَصْل بَقَاء مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ

Maksudnya: hukum asal sesuatu barang itu kekal sepertimana keadaan sebelumnya.[4]

Imam Ibnu Nujaim dalam mensyarahkan kaedah ini menyatakan bahawa sekiranya ragu-ragu sama ada sesuatu itu bernajis atau tidak maka asalnya adalah suci dan tidak bernajis. Beliau menyebut di dalam karyanya:

شَكَّ فِي وُجُودِ النَّجَسِ فَالْأَصْلُ بَقَاءُ الطَّهَارَةِ

Maksudnya: Seseorang syak pada  menentukan adanya najis, maka hukum asalnya kekal suci[5]

Berdasarkan perbincangan di atas peralatan atau perkakas yang digunakan oleh non-muslim tidak perlu disertu sekiranya tidak yakin akan kenajisannya pun begitu ia sunat dibasuh hanya dengan menggunakan air bersih .[6]

Perkara ini jelas seperti yang dinyatakan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Tha’labah al-Khushani. Beliau bertanya kepada Nabi SAW perihal menggunakan bekas masakan jirannya yang merupakan seorang ahli kitab, lalu Baginda Nabi SAW menjawab:

إِنْ وَجَدْتُمْ غَيْرَهَا فَكُلُوا فِيهَا وَاشْرَبُوا وَإِنْ لَمْ تَجِدُوا غَيْرَهَا فَارْحَضُوهَا بِالْمَاءِ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا ‏

Maksudnya: Sekiranya kalian dapat menggunakan bekas selainnya maka makan dan minumlah dengannya. Jika tidak mendapati selainnya maka bersihlah ia dengan air lalu makan dan minumlah.

Riwayat Abu Daud (3839)

KESIMPULAN

Berdasarkan hujah di atas, dapat disimpulkan bahawa  tidak wajib disamak atau disertu barang yang dibeli daripada golongan non-muslim sekiranya tidak terdapat sebarang tanda yang membuktikan bahawa ia bernajis.

Walaubagaimanapun sunat untuk dibasuh sebelum menggunakannya dengan air yang bersih. Jika dengan basuhan tersebut boleh merosakkannya maka tidak perlu untuk membasuhnya agar terpelihara daripada kerosakan

Wallahu’alam

[1] Badruddin al-‘Aini, Abu Muhammad Mahmud bin Ahmad bin Musa. ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari, (Bairut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi t.t) 3/54

وَهُوَ جَوَاب للرجل الَّذِي شكى إِلَى النَّبِي صلى الله عَلَيْهِ وَسلم أَنه يجد الشَّيْء فِي الصَّلَاة، حَتَّى يخيل إِلَيْهِ

[2] Muhammad Amin bin Abdullah al-Urami al-‘Alawi al-Harari al-Syafi’e, al-Kaukab al-Wahhaj Syarh Sahih Muslim, (Riyadh: Dar-Minhaj, 1430H) 6/323

(حتى يسمع) أي إلى أن يسمع بأذنه (صوتًا) أي صوت الريح الخارج من دبره (أو يجد) أي يشم بأنفه (ريحًا) أي رائحة ما يخرج منه،

[3] Muhammad bin Ismail bin Salah bin Muhammad al-Hisni al-San’ani, Subul al-Salam (Dar Hadis t.t, t.t.t) 1/49

[4] Jalaluddin al-Suyuti, Abd al-Rahman bin Abi Bakr. Al-Ashbah wa al-Nazair li Suyuti, (Bairut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah 1411H) hlm.51

[5] Ibnu Nujaim al-Misry, Zainuddin bin Ibrahim bin Muhammad. Al-Ashbah wa al-Nazair ‘ala Mazhab Abi Hanifah al-Nu’man (Bairut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1419H) hlm. 49

[6] Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugha, Ali al-Syarbaji, Al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’e, (Damsyiq: Dar al-Qalam wa al-Nasyr wa al-Tauzi’ 1413H) 1/37

يجوز استعمال هذه الأواني، لما رواه البخاري (5161) عن أبي ثعلبه – رضي الله عنه – أن النبي – صلى الله عليه وسلم – قال: “فاغسلوها وكلوا فيها”. والأمر بغسلها للاستحباب لاحتمال تلوثها بسبب استعمال الكفار لها بخمر أو خنزير وغيرهما. ومثل الأواني استعمال ثيابهم ونحوه

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: