Bersifat ‘Panas’, Jadi Bila Waktu Terbaik Makan Habbatussauda?

Habbatus Sauda

Habbatus sauda adalah merupakan salah satu herba popular yang mempunyai pelbagai kegunaan dan juga manfaat perubatan sejak beratus tahun dahulu. Ia juga dikenali sebagai jintan hitam atau nama saintifiknya, Nigella Sativa.

Habbatussauda ini boleh diambil oleh individu yang mempunyai penyakit mahupun individu yang sihat untuk mencegah penyakit. 

Waktu Terbaik Makan Habbatussauda

waktu terbaik makan habbatussauda

Waktu terbaik makan habbatussauda yang disarankan adalah sebelum tidur atau sejurus selepas bangun tidur. 

Manfaatnya adalah untuk membantu tubuh agar sentiasa bertenaga, membantu mengurangkan serta mengawal kadar kolesterol, meningkatkan jumlah susu ibu dan menjaga kesihatan tubuh secara menyeluruh.

Selain itu, ia juga boleh diambil sebelum dan selepas makan. Sekiranya anda ada mengambil ubat-ubatan hospital atau suplemen lain, pastikan anda menjarakkan pengambilan habbatussauda 2 jam sebelum atau selepas itu.

Pastikan juga anda meminum air secukupnya selepas pengambilan habbatussauda kerana ia didapati ‘bersifat panas’ dan menyebabkan rasa dahaga. 

Waktu terbaik makan habbatussauda adalah bergantung pada kesihatan diri masing-masing. Cara pengambilannya juga bergantung pada masalah kesihatan yang anda hadapi. Terdapat beberapa cara pengambilan habbatussauda yang anda boleh cuba. Antaranya ialah:-

Campurkan serbuk habbatussauda ke dalam air suam kemudian, letakkan satu sudu madu. Sekiranya anda tidak mempunyai habbatussauda dalam bentuk serbuk, anda boleh gorengkan 1 sudu kecil biji habbatussauda dan kisarkan sehingga menjadi serbuk. Manfaatnya adalah membantu melancarkan darah haid keluar serta mengurangkan masalah kencing tidak lawas.

Selain itu, anda boleh cuba campurkan satu sudu teh habbatussauda ke dalam susu segar (didihkan) dan jangan lupa masukkan satu sudu madu. Amalkan setiap kali sebelum melakukan hubungan suami isteri. Khasiat amalan ini adalah membantu kesihatan dan tenaga batin. 

Sekiranya anda mengalami sakit gigi, campurkan serbuk habbatussauda ke dalam air suam dan kacau hingga sebati. Gunakannya untuk berkumur-kumur.

Manakala, sekiranya anda mengalami sakit tekak dan demam, anda boleh ambil satu sudu kecil habbatus sauda dan campurkan satu sudu kecil perahan limau bersama satu sudu besar madu. Amalkan 2 atau tiga kali sehari sehingga demam/sakit tekak anda berkurangan. 

Satu sudu besar habbatussauda yang dicampur dengan satu sudu besar cuka juga sangat bermanfaat untuk masalah kecacingan. Ia dapat membunuh cacing-cacing yang ada dalam perut.

Khasiat Habbatussauda

1. Bersifat Antiradang & Antioksidan

Sifat antiradang habbatussauda menjadikannya sebagai salah satu ubat alternatif untuk merawat penyakit berkaitan keradangan seperti arthritis, kolitid ulseratif, asma dan sebagainya. 

2. Bersifat Antioksidan

Habbatussauda juga bersifat antioksidan yang mampu melawan radikal bebas dan melindungi kerosakan sel yang boleh menyebabkan penyakit kronik. 

3. Meningkatkan Fungsi Kognitif

Terdapat beberapa penyelidikan yang mendapati pengambilan habbatussauda dapat membantu meningkatkan daya ingatan dan juga fungsi kognitif. Secara tidak langsung ia juga boleh membantu mencegah penyakit Alzheimer. 

4. Bersifat Antimikrob

Ciri antimikrob yang terdapat pada habbatussauda juga berupaya untuk melawan jangkitan berpunca daripada bakteria tertentu. Terdaapat kajian yang mendapati, pengambilan habbatusauda boleh menghalang pertumbuhan bakteria  Staphylococcus aureus (MRSA). 

5. Bermanfaat Untuk Kecantikan

Habbatussauda juga sering digunakan untuk produk kecantikan dan juga kesihatan kulit. Kajian oleh Journal of Dermatology and Dermatologic Surgery mendapati ekstrak habbatussauda dapat membantu merawat jerawat, psoriasis serta menyembuhkan luka dengan cepat. 

Kesimpulan

Manfaat dan khasiat habbatussauda memang tidak dapat diragukan lagi. Walaubagaimanapun, pastikan anda dapatkan nasihat daripada pakar perubatan sekiranya perlu sebelum memulakan sebarang pengambilan. 

Sumber: https://www.purelyb.com/

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Admin (N)
Admin (N)
Articles: 161