Boleh Ke Isteri Menuntut Sesuatu Di Luar Kemampuan Suami? Ini Penjelasan Mufti
Isteri sememangnya mempunyai hak untuk menuntut nafkah dari suami namun bagaimana jika ia sesuatu yang di luar kemampuan suami untuk ditunaikan?
Dalam sesebuah kehidupan rumah tangga, suami bertanggungjawab untuk memberi nafkah kepada isteri dan keluarga mengikut kadar kemampuannya.
Justeru, isteri seharusnya tidak menuntut sesuatu perkara yang diluar kemampuan suami, sekiranya suami telah menunaikan hak-hak nafkah yang diwajibkan ke atasnya.
Islam menetapkan garis panduan yang jelas tentang nafkah dan tanggungjawab suami terhadap keluarganya. Islam tidak memberatkan seseorang melainkan dengan kemampuannya,
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, ini perincian hukum isteri menuntut sesuatu yang luar dari kemampuan suami.
SOALAN
Assalamualaikum wbt datuk. Boleh ke seorang isteri menuntut sesuatu yang diluar kemampuan suami untuk ditunaikan?
RINGKASAN JAWAPAN
Dalam sesebuah kehidupan rumahtangga, suami bertanggungjawab untuk memberi nafkah kepada isteri dan keluarga mengikut kadar kemampuannya. Justeru, isteri seharusnya tidak menuntut sesuatu perkara yang diluar kemampuan suami, sekiranya suami telah menunaikan hak-hak nafkah yang diwajibkan ke atasnya.
HURAIAN JAWAPAN
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkah Baginda hingga Hari Kesudahan.
Islam menetapkan garis panduan yang jelas tentang nafkah dan tanggungjawab suami terhadap keluarganya. Islam tidak memberatkan seseorang melainkan dengan kemampuannya. Dalam pemberian nafkah kepada keluarga, Islam menetapkan nafkah pasangan itu perlu dilihat mengikut kemampuan suami. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ ۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّهُ ۚ لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا مَا آتَاهَا ۚ سَيَجْعَلُ اللَّهُ بَعْدَ عُسْرٍ يُسْرًا
Maksudnya: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.”
Surah Talaq (7)
Di samping itu juga, isteri tidak seharusnya membebankan suami seperti menuntut sesuatu diluar kemampuannya, sehingga boleh mendatangkan kemudaratan terhadap hubungan antara suami isteri. Justeru, para isteri perlulah bersikap menuntut harta suaminya dengan cara yang paling baik iaitu sekadar untuk mencukupkan keperluan keluarga mereka. Perkara ini bersandarkan hadis Nabi SAW yang berpesan kepada Hind binti ‘Utbah R.Anha:
خُذِي مَا يَكْفِيكِ وَوَلَدَكِ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: “Ambillah apa yang untuk kamu dan anak-anakmu dengan cara yang makruf (cara yang baik).”
Riwayat Ahmad (24231)
Para ulama fiqh telah sepakat dalam pemberian nafkah terhadap isteri adalah wajib sekadar memenuhi keperluan asas dengan mengikut kemampuan suami, dan melihat kesesuaian tempat yang didiami oleh mereka. [Rujuk al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 40/279)
KESIMPULAN
Sebagai kesimpulan, dinyatakan bahawa setiap pasangan mempunyai hak dan tanggungjawab terhadap pasangan masing-masing. Pasangan suami isteri perlu saling memahami di antara satu sama yang lain, agar sesebuah kehidupan rumahtangga itu dapat dibina di atas landasan yang baik dengan mengikut acuan yang ditetapkan oleh syarak. Justeru, dalam perkara ini isteri tidak seharusnya membebankan suami dengan permintaan diluar kemampuannya, melainkan sekiranya suami seorang yang kaya dan memiliki harta yang lebih untuk menunaikan segala permintaannya.