10 Manfaat Buah Bidara Pada Kesihatan Tubuh

Buah bidara sudah menjadi ramuan sinonim dalam perubatan tradisional turun temurun.

Buah bersaiz kecil dengan kulit yang licin dan berkilat ini juga turut dikenali dengan nama lain seperti jujube, Indian jujube, Malay jujube dan Chinese apple.

 Buah dengan nama saintifik Ziziphus mauritiana ini sering tumbuh di iklim tropika terutamanya di Asia dan Asia Selatan.

Mungkin ramai yang tidak tahu sebenarnya buah bidara tinggi dengan khasiat yang penting untuk badan seperti vitamin C, serat, kalsium dan magnesium.

Baca Juga : Durian Belanda : Buah Berpotensi Tinggi Sebagai Penawar Penyakit

buah bidara
Kredit Foto : thediagnosa.com

Berdasarkan USDA, setiap 100 g buah bidara mampu membekalkan nutrisi seperti berikut :

Tenaga : 79 kcal

Protein : 1.2 g

Karbohidrat : 20.53 g

Serat : 10 g

Kalium : 250 mg

Vitamin C : 69 mg

Magnesium : 10 mg

Di samping itu, terdapat tiga khasiat semula jadi utama yang ditemui dalam buah ini :

Asid fenol : Komponen bioaktif yang bersifat antiradang, antikanser, antivirus serta mampu meningkatkan sistem pertahanan badan.

Flavanoid : Bersifat antioksida, antiradang serta berfungsi dalam mengaktifkan sistem enzim.

Tanin : Bersifat antioksida, antibakteria dan antivirus yang baik dalam meningkatkan sistem imun badan.

Tanin juga dikatakan dapat mengawal paras gula dan tekanan darah dalam badan.

Kredit Foto : ceriasihat.com

Manfaat Buah Bidara Pada Kesihatan

1. Sumber Antioksida Yang Baik

Komponen biokatif seperti flavonoid, asid fenol, tanin  serta vitamin C yang tinggi menjadikan buah ini sebagai sumber antioksida yang cukup baik.

 Diet yang tinggi antioksida juga dapat melindungi badan daripada keradangan serta risiko penyakit kronik seperti strok, Alzheimer dan Parkinson.  

2. Berpotensi Dalam Mencegah Kegemukan

Sebuah kajian yang dijalankan ke atas tikus makmal mendapati pengambilan ekstrak bidara secara konsisten dapat menggalakkan penurunan berat badan.

Di samping itu, kajian ini juga melihatkan penurunan jisim lemak pada tikus sehingga 72.84 %.

3. Menstabilkan Paras Gula Dalam Darah

Komponen saponin dan tanin dalam buah bidara didapati mampu bertindak sebagai pengawal kandungan gula dalam darah.

 Sebuah kajian dalam piring petri menunjukkan esktrak buah ini mampu meningkat penyerapan gula ke dalam sel dengan lebih berkesan.

Terdapat juga kajian yang membuktikan pengawalan paras gula yang lebih baik pada tikus diabetes yang diberi buah bidara.

buah bidara

4. Membantu Mengawal Tekanan Darah

Mineral penting yang terkandung dalam buah bidara seperti kalium didapati mampu mengawal tekanan darah dalam badan.

Kalium merupakan salah satu mikronutrisi yang penting dalam mengawal pengecutan otot termasuklah otot jantung yang dapat mencegah penyempitan salur darah.

Salur darah yang sihat serta pengecutan jantung secara normal sangat penting bagi memastikan tekanan darah berada pada paras normal.

5. Meningkatkan Fungsi Otak

 Sebuah kajian mendapati khasiat buah ini mampu merangsang aktiviti otak, melindungi otak daripada kerosakan sel saraf serta dapat meningkatkan fokus dan memori minda.

 Di samping itu, komponen antioksida yang cukup tinggi dalam buah ini juga dapat melindungi sel otak daripada kematian sel dan kecederaan pengoksidaan akibat aktiviti radikal bebas.

6. Baik Untuk Sistem Penghadaman dan Kesihatan Perut

Manfaat serat dalam buah bidara dapat memberikan kebaikan kepada sistem penghadaman dengan membantu melancarkan pergerakan usus serta mengelakkan masalah sembelit.

Sebuah kajian juga mendapati buah ini dapat mengurangkan keasidan perut dan penghasilan jus gastrik berlebihan yang boleh mengakibatkan keradangan dan kecederaan lapisan dinding perut.

Bukan itu sahaja, buah ini juga didapati dapat membunuh bakteria H. pylori yang menjadi punca bagi penyakit ulser perut dan kanser perut.

buah bidara
Kredit Foto : siraplimau.com

7. Membantu Mengatasi Insomnia

Perubatan tradisional Cina sudah mengamalkan penggunaan buah bidara sejak dahulu bagi mengatasi masalah sukar tidur atau insomnia.

 Kajian mendapati komponen flavonoid dan saponin yang ditemui dalam buah ini dapat memberikan kesan sedatif dan hipnotik yang menggalakkan tidur dan meningkatkan kualiti tidur.

8. Menguatkan Sistem Pertahanan Tubuh

Sebuah kajian telah membuktikan pengambilan ekstrak buah ini dapat merangsang pembahagian makrofaj, iaitu sejenis sel yang berfungsi dalam melindungi tubuh daripada serangan organisma yang berbahaya pada tubuh.

9. Mencegah Keradangan

Perubatan tradisional Cina juga sering amalkan penggunaan buah bidara bagi mencegah keradangan dalam tubuh.

 Sebuah kajian turut mendukung manfaat buah ini dengan penemuan komponen asid triperpena dalam buah bidara yang berupaya untuk menyekat keradangan dalam sel.

10. Berpotensi Sebagai Anti Kanser

Di samping bersifat antiradang, buah bidara juga mempunyai potensi tinggi sebagai sumber antikanser semulajadi.

Satu kajian mendapati penggunaan ekstrak buah ini mampu mencegah perkembangan sel kanser payudara secara berkesan.

 Dalam kajian ini, sifat anti kanser dalam buah bidara dikatakan berasal daripada komponen asid tripernik.

Dengan pelbagai manfaaat yang ditawarkan oleh buah bidara, ia sangat baik untuk diamalkan setiap hari.

Ia juga mampu membekalkan nutrisi dan mineral penting untuk badan seperti serat, vitamin C, kalium dan magnesium.

Potensinya yang cukup tinggi bagi meningkatkan kesihatan wajar diketengahkan lagi sebagai penawar bagi pelbagai penyakit seperti kanser, diabetes dan  gastrik.

 Sumber :

10 Khasiat Buah Bidara Yang Anda Perlu Tahu

rootofscience.com/blog/2021/kesihatan/pemakanan

11 Khasiat Buah Bidara Yang Anda Perlu Tahu

thediagnosa.com

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Nazirah Hassan
Nazirah Hassan
Articles: 85