Cara Basuh Uri : Bahan-Bahan & Panduan Ringkas Untuk Si Bapa

Membasuh dan menanam uri atau plasenta adalah salah satu amalan yang biasa dilakukan selepas si ibu melahirkan anak. Ia juga sudah menjadi kelaziman buat semua umat Islam tatkala menimang cahaya mata.

Apakah cara basuh uri dan kaedah tanamannya? Buat yang pertama kali bergelar ibu bapa, mungkin mereka kurang pengalaman mengenai hal ini.

Ayuh ikuti perkongsian kami untuk ketahui dengan lebih lanjut.

Hukum Menanam Uri

Memetik perkongsian daripada Mufti Wilayah Persekutuan, beberapa hadis menjelaskan bahawa disunatkan menanam anggota yang terpisah daripada manusia yang hidup seperti kuku, rambut dan termasuklah uri.

Jadi penanaman uri adalah digalakkan memandangkan ia tidak bercanggah dengan syarak dan mempunyai hikmah seperti dapat menjaga persekitaran yang bersih.

Uri yang sudah bersih dan hilang bau darah juga dapat terhindar daripada serangan haiwan seperti kucing dan anjing.

Tanpa melengahkan masa, ayuh kita ikuti cara basuh uri yang ringkas.

Cara Basuh Uri : Bahan-Bahan Penting & Panduan Ringkas Untuk Si Bapa

Sebelum merancang untuk uruskan uri bayi yang diterima dari hospital, pastikan anda sediakan bahan-bahan ini :

  • Sarung tangan
  • Besen (tak wajib tapi memudahkan proses cucian)
  •  Asam jawa
  • Garam
  • Kain putih
  • Limau purut (untuk bantu hilangkan lagi bau darah)
cara basuh uri

Cara Basuh Uri Dengan Mudah

1.Buka bungkusan uri daripada hospital. (biasanya ia diletak dalam plastik yang dibungkus dalam kertas kalis air berwarna hijau).

2. Mulakan proses mencuci dengan membaca Bismillah. Anda boleh membasuhnya di bawah aliran air paip atau dalam besen berisi air garam. (Air garam dikatakan bagus untuk membantu membersihkan darah beku)

3. Basuh uri dan darah yang melekat padanya dengan garam, asam jawa serta limau (jika perlu) sehingga uri tidak lagi berlumuran dengan darah.

4. Seterusnya, gosokkan dan urut perlahan-lahan uri untuk mengeluarkan semua sisa darah, termasuklah pada tali uri. Boleh tambahkan lagi asam jawa atau limau purut untuk hilangkan bau hanyir darah.

5. Pastikan plastik dan kertas kalis air juga dibasuh sekiranya terkena darah untuk elakkan bau.

6. Bilas uri sehingga bersih. Jika gunakan besen, basuhkannya semula hingga hilang bau darah.

7. Setelah selesai basuh uri dan yakin baunya sudah berkurang, bungkus uri dengan kemas menggunakan kain putih.

cara basuh uri

8. Sekarang, tiba masanya untuk menanam uri. Anda disarankan untuk memilih tanah yang lembut bagi memudahkan proses menggali lubang.

9. Anda disarankan untuk korek lubang sekurang-kurangnya 0.5 meter atau 1.5 kaki. Lebih dalam lebih baik kerana ini dapat mengelakkan binatang liar daripada terbau uri atau plasenta yang ditanam.

10. Masukkan bungkusan uri yang sudah diikat rapi ke dalam lubang dengan bacaan Bismillah. Timbuskan dan ratakan permukaan tanah.

11. Untuk elakkan lubang daripada dikorek haiwan liar, tindihkan tempat uri ditaman dengan batu besar. Selesai.

Mudah bukan cara untuk basuh uri? Asalkan anda mempunyai bahan-bahan lengkap, pasti mudah untuk anda uruskannya. Semoga perkongsian ini dapat membantu para ibu bapa di luar sana. Selamat mencuba!

Sumber : Hello Doktor

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Nazirah Hassan
Nazirah Hassan
Articles: 85