Rimas dengan masalah kahak? Tahukah anda, kahak merupakan sejenis lendir yang dihasilkan di dalam paru-paru dan sistem respiratori badan? Malah, masalah kahak akan menjadi semakin teruk jika anda jatuh sakit atau menghidap penyakit tertentu. Jadi, apakah cara hilangkan kahak dalam masa yang singkat?

Untuk pengetahuan anda, badan kita akan menghasilkan mukus sebagai lapisan perlindungan pada sesetengah kawasan seperti di permukaan paru-paru, di dalam hidung dan di saluran pernafasan.

Mukus ini jugalah yang membantu mengekalkan kelembapan pada kawasan ini. Malah, lendiran yang terhasil ini juga dapat melindungi badan daripada jangkitan virus dan bakteria.

Tambah lagi, menurut Dr. Shawn Nasseri, pakar telinga, hidung dan tekak di Beverly Hills, California, mukus mempunyai fungsi penting untuk melindungi paru-paru daripada sebarang kecederaan.

Walau bagaimanapun, penghasilan mukus yang terlalu banyak akan menyebabkan penghasilan kahak. Pada masa yang sama, anda juga akan rasa sakit tekak, sering batuk dan mengalami simptom lain yang boleh menyebabkan ketidakselesaan.

Jadi, apakah cara hilangkan kahak yang terbaik? Jika anda diganggu masalah kahak yang berlebihan, jom ikuti tip kami untuk mengurangkannya dalam masa yang singkat.

8 Cara hilangkan kahak dengan berkesan

Jika anda mempunyai masalah kahak, cuba tip yang kami berikan di bawah. Menurut Cleaveland Clinic, tip ini sangat berkesan untuk menghilangkan masalah kahak dan dapat memberikan anda kelegaan pantas.

1. Minum lebih banyak air

Jika anda mempunyai masalah kahak, cuba minum lebih banyak air untuk kurangkan masalah ini. Kemudian, kurangkan minuman yang boleh menyebabkan dehidrasi seperti teh, kopi dan alkohol.

Tetapi, berapa banyak air yang perlu anda minum setiap hari? Sebagai panduan, minum air sehingga urin anda menjadi jernih. Jika air kencing anda berwarna kuning pekat, kurangkan minuman bergula dan tambah lebih banyak air masak dalam diet anda.

2. Gunakan pelembap udara

Pelembap udara atau humidifier dapat membantu melembapkan saluran pernafasan dan mengurangkan penghasilan kahak.

Cuba beli pelembap udara yang mempunyai fungsi penyejuk. Jangan lupa, cuci penapis pelembap udara anda dengan kerap supaya ia tidak akan membuatkan masalah kahak anda menjadi lebih serius!

3. Berkumur dengan air garam

Cuba kumur dengan air garam untuk mengurangkan masalah tekak gatal. Tambahkan 1 sudu air garam dalam 1 sudu gelas air suam. Kemudian, kumur seperti biasa.

4. Cara hilangkan kahak 4: Makan ubat-ubatan dari farmasi

Ada banyak ubat-ubatan yang dapat mengurangkan masalah sakit tekak dan kahak yang dijual secara over-the-counter.

Jika anda tidak pasti ubat yang manakah bersesuaian dengan anda, tanya pada ahli farmasi yang bertugas. Mereka dapat membantu.

5. Tinggikan kepala pada waktu malam

Gunakan lebih banyak bantal daripada biasa untuk tinggikan kepala dan dada ketika tidur. Ini akan memudahkan kahak daripada berkumpul di belakang tekak.

Malah, jika anda mempunyai masalah hidung tersumbat dan batuk yang teruk pada waktu malam, cara ini juga mungkin berkesan untuk mengurangkannya.

6. Elakkan bahan atau makanan yang boleh menyebabkan gatal

Kadangkala, hidung anda menjadi gatal disebabkan bahan-bahan yang terampai di persekitaran kita. Sebagai contoh, asap, debu dan debunga boleh menyebabkan hidung anda gatal dan tekak berkahak.

Sebagai cara hilangkan kahak, cuba jauhkan diri daripada bahan atau makanan yang boleh menyebabkan anda rasa gatal. Pakai pelitup muka ketika keluar rumah untuk kurangkan pendedahan terhadap alergen ini.

7. Cara hilangkan kahak 7: Lakukan latihan pernafasan

Latihan pernafasan dapat membantu meningkatkan tahap oksigen dalam badan dan fungsi paru-paru.

Malah, dengan melakukan latihan pernafasan, anda dapat melatih diri untuk bernafas dengan cara yang betul. Secara tidak langsung, ia juga dapat mengurangkan kahak dan simptom lain.

8. Dapatkan rawatan yang sewajarnya untuk merawat alahan

Jika anda mempunyai simptom yang seakan-akan alahan – gatal hidung, hidung berair, gatal mata dan kahak yang berlebihan, pastikan anda berjumpa doktor secepat mungkin.

Alahan mungkin adalah punca masalah kahak yang anda alami. Dengan rawatan dan pengambilan ubat-ubatan yang betul, anda dapat mengurangkan simptom yang dialami pada masa hadapan.

Malah, anda juga dapat menjalani hidup dengan lebih selesa dan tidur lebih lena pada waktu malam.

Adakah kahak berlebihan tanda penyakit?

Jika kahak yang dihasilkan membuatkan anda rasa tidak selesa, anda mungkin akan rasa risau kerana ia mungkin adalah tanda masalah yang lebih serius.

Namun, jika anda hanya mempunyai masalah kahak, anda tidak perlu runsing kerana ia boleh sembuh dengan sendirinya.

Walau bagaimanapun, jika kahak ini berlaku dengan simptom lain seperti demam, hidung berdarah, berpeluh di waktu malam, atau menggigil, jumpa doktor dengan kadar yang segera.

Sama jugalah jika anda telah mencuba kebanyakkan tip atau cara hilangkan kahak yang kami senaraikan di atas, namun tidak berkesan.Pemeriksaan daripada pakar dapat menentukan penyakit sebenar yang anda alami.

Leave a comment

Your email address will not be published.