Sering Sakit Belakang? Ini 7 Cara Untuk Hilangkannya Secara Semula Jadi

Sakit belakang merupakan masalah yang menghantui ramai orang. Tidak kiralah apa jua pekerjaan anda – guru, doktor, mekanik, dan sebagainya, sakit belakang merupakan sesuatu yang lazim, lebih-lebih lagi apabila usia telahpun lanjut.

Selain mengambil ubat, ada beberapa langkah yang boleh anda ambil untuk mengurangkan episod sakit belakang.

Walau bagaimanapun, gaya hidup sedentari merupakan punca utama sakit belakang pada zaman sekarang.

Jadi, perhatikan gaya hidup anda dan cuba cari punca sebenar yang menyebabkan anda sering sakit belakang.

Cara untuk mengurangkan sakit belakang

sakit belakang

Tidak dinafikan, terlalu banyak duduk dan kurang berdiri boleh menyebabkan tekanan pada kawasan belakang badan.

Selalunya, sakit ini akan baik dengan sendirinya dalam masa beberapa minggu. 

Namun, ada beberapa perkara yang anda boleh lakukan untuk mengurangkan kesakitan yang anda alami.

Tetapi, jika sakit tersebut berlangsung selama berbulan-bulan lamanya, anda perlu berjumpa doktor atau ahli fisioterapi untuk merawatnya.

Jangan biarkan masalah ini menghantui hidup anda.

Masalah ini boleh menyebabkan tekanan perasaan yang bakal menyebabkan anda terjerumus ke dalam lembah depresi.

Walaupun begitu, ada beberapa langkah yang boleh anda lakukan untuk mengurangkan sakit belakang. Antaranya adalah:

1. Pastikan anda sentiasa aktif

Jika anda mengalami masalah ini, terus bergerak dan lakukan aktiviti harian anda seperti biasa.

Walaupun sukar, sakit belakang itu lama-kelamaan akan reda.

Ambil ubat tahan sakit jika kesakitan yang dialami menghalang anda daripada melakukan kerja seperti biasa.

Kata orang, rehat yang mencukupi boleh membuatkan masalah ini menjadi lebih baik. Namun, kajian menunjukkan sebaliknya! 

Orang yang lebih aktif bergerak pula yang akan baik dengan lebih cepat!

2. Lakukan regangan dan senaman

sakit belakang

Senaman ringan serta regangan sudah lama terbukti dapat mengurangkan sakit belakang. Senaman ini juga boleh dilakukan di rumah seberapa kerap yang anda inginkan.

Tetapi, ingat ya! Lakukan senaman berimpak rendah yang tidak akan membebankan belakang anda.

Senaman ini boleh menguatkan lagi belakang anda dan membuatkan otot di kawasan tersebut berfungsi dengan lebih baik.

Walaupun begitu, jika anda risau, bercakaplah dengan doktor sebelum melakukan apa-apa senaman.

Doktor boleh mencadangkan beberapa senaman yang sesuai dengan kondisi anda.

3. Beli ubat tahan sakit untuk kawal sakit belakang

sakit belakang

Ubat anti radang bukan steroid (NSAID) seperti ibuprofen boleh mengurangkan masalah ini.

Ubat-ubatan jenis ini boleh dibeli daripada farmasi atau pasaraya berdekatan tanpa preskripsi.

Walau bagaimanapun, NSAID bukan untuk semua orang.

Oleh sebab itu, pastikan anda membaca panduan yang berada di dalam kotak sebelum mengambil ubat tersebut.

Dapatkan nasihat daripada ahli farmasi jika anda tidak pasti.

4. Gunakan pek ais atau pek panas

Cuba letakkan pek panas (seperti botol air panas) di kawasan belakang badan.

Kadangkala, kehangatan ini boleh menghilangkan rasa sakit yang dialami.

Pek ais juga dapat membantu untuk menghilangkan masalah ini buat seketika. Walau bagaimanapun, jangan letakkan ais terus pada kawasan kulit! 

Jika tidak, kulit anda mungkin akan melecur.

Balut dahulu pek ais tersebut di dalam kain sebelum meletakkannya pada kawasan kulit.

5. Gerakkan badan dengan cara yang betul

Elakkan sebarang pergerakan yang boleh menyakitkan belakang anda. Sebagai panduan:

  1. Berdiri dengan betul. Jangan bongkokkan badan. Postur yang baik boleh mengurangkan stres pada kawasan otot di belakang badan.
  2. Duduk dengan baik. Pilih kerusi yang mempunyai sokongan belakang yang baik. Pastikan anda merubah posisi dengan kerap, sekurang-kurangnya sekali setiap setengah jam.
  3. Angkat barang dengan betul. Elakkan mengangkat barang yang berat. Namun, jika terpaksa, cari seorang rakan untuk bantu anda mengangkat barang tersebut. 

6. Relaks dan kekal positif

Bawa bertenang dan cuba rileks.

Jika anda rasa susah hati, masalah ini boleh menjadi semakin teruk.

7. Berhenti merokok

Merokok bukan sahaja tidak baik untuk kesihatan, ia juga boleh menyebabkan anda lebih berisiko untuk mengalami sakit belakang.

Tahukah anda, nikotin boleh menyempitkan peredaran darah ke kawasan tulang belakang? Ini boleh menyebabkan tulang belakang menjadi retak.

Bukan itu sahaja, amalan merokok juga boleh menyebabkan nutrisi tidak sampai ke bahagian otot dan juga tendon di belakang badan.

Belakang badan yang lemah lebih berisiko untuk menyebabkan belakang menjadi sakit.

Jangan beli ubat sembarangan untuk rawat sakit belakang

sakit belakang

Disebabkan masalah ini sangat lazim berlaku, ada banyak ubat yang dijual untuk tujuan ini di pasaran.

Walau bagaimanapun, tidak ada sebarang bukti yang menunjukkan bahawa ubat-ubatan atau produk seperti kasut, sokongan belakang badan atau perabot tertentu boleh melegakan kesakitan yang anda alami.

Malah, buat masa ini, masih belum ada tilam yang boleh melegakan sakit belakang. Walaupun begitu, pilih tilam yang paling selesa untuk kegunaan anda.

Jika anda kerap mengalami masalah ini, dapatkan bantuan daripada doktor yang bertauliah. Mereka dapat membantu anda. 

Rujukan

  1. Mayo Clinic. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/back-pain/symptoms-causes/syc-20369906
  2. NHS. https://www.nhs.uk/conditions/back-pain/
  3. Medical News Today. https://www.medicalnewstoday.com/articles/172943
SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: