Cara Makan Vitamin C 1000mg Dengan Betul, Jangan Terlebih Dos Pula!
Anda sedang mencari cara makan vitamin C 1000mg dengan betul? Jangan risau, dalam artikel kali ini, kami akan mengupas lebih lanjut mengenai cara pengambilan yang betul serta kebaikan vitamin C untuk badan.
Tidak dinafikan, vitamin C sangat penting untuk kesihatan kita. Ia membantu memperbaiki dan mengekalkan kekuatan tulang, kulit dan salur darah. Selain daripada pengambilan suplemen, anda juga boleh dapatkan vitamin C daripada makanan.
Vitamin C juga dikenali sebagai L-ascorbic acid, ascorbic acid, dan L-ascorbate.
Mengapa kita perlu mengambil vitamin C?
Sebelum kita kupas lebih lanjut mengenai cara makan vitamin C 1000mg dengan betul, mari ketahui mengapa kita perlu makan vitamin C setiap hari.
Vitamin C amat penting untuk kulit yang sihat. Ia dikatakan dapat memperlahankan penuaan dan membuatkan kulit lebih lembut dan pejal.
Vitamin C juga dapat mengurangkan risiko beberapa jenis kanser, terutamanya kanser mulut, esofagus, perut, colon dan juga paru-paru.
Walau bagaimanapun, lebih banyak kajian yang perlu dijalankan untuk mengenal pasti sama ada manfaat di atas datangnya daripada pengambilan vitamin C semata-mata.
Namun, manfaat vitamin C yang sering dicanang-canang ialah keupayaannya untuk meningkatkan daya tahan badan. Individu yang mengambil banyak vitamin C selalunya lebih ‘kebal’ terhadap jangkitan dan mempunyai sistem imun badan yang sihat.
Kekurangan vitamin C akan menyebabkan sejenis penyakit yang dikenali sebagai skurvi. Skurvi merupakan sejenis penyakit yang menyebabkan kulit menjadi rapuh dan gusi berdarah. Penghidapnya juga akan rasa letih dan penat sepanjang hari.
Cara makan vitamin C 1000mg dengan betul
Pasti ramai yang tertanya-tanya, apakah cara makan vitamin C 1000mg dengan betul?
Tahukah anda, terlalu banyak mengambil vitamin C boleh menyebabkan cirit-birit, loya, kebpung perut, muntah-muntah dan pedih ulu hati?
Jumlah maksimum pengambilan vitamin C untuk orang dewasa adalah sekitar 2000 mg.
Individu yang menghidap penyakit kronik seperti penyakit hati, gout atau buah pinggang digalakkan untuk tidak mengambil lebih daripada 1000 mg vitamin C setiap hari.
Menurut Mayo Clinic, kita digalakkan untuk mengambil sekitar 70 hingga 100 mg vitamin C setiap hari.
Malah, jika anda mampu mengambilnya daripada pemakanan, 70 mg vitamin C setiap hari mungkin sudah mencukupi.
Jika anda mempunyai pemakanan yang sihat, anda tidak perlu makan suplemen vitamin C. Malah, pakar juga bersetuju bahawa pengambilan vitamin C dalam dos yang terlalu tinggi mungkin tidak dapat memberi manfaat terhadap kesihatan anda.
Untuk mendapatkan vitamin C yang mencukupi daripada makanan, and cuma perlu kenal pasti makanan apa yang mengandungi banyak vitamin C.
Sebagai contoh, buah-buahan sitrus, brokoli, ubi keledek, dan kubis bunga adalah antara makanan yang kaya dengan vitamin C
Jika anda beli suplemen, cara makan vitamin c 1000mg dengan betul adalah dengan mengikut rekomendasi pada pembungkusnya. Selalunya, anda akan diminta mengambil 1 tablet sehari.
Tahukah anda?
Ramai yang percaya bahawa pengambilan vitamin C dapat mengubat masalah demam, namun kenyataan ini masih belum disokong oleh mana-mana kajian.
Namun, pengambilan 200 mg vitamin C sehari mungkin bermanfaat untuk mereka yang:
- Sering melakukan aktiviti fizikal yang ekstrem.
- Terdedah dengan cuaca sejuk.
- Mempunyai tahap vitamin C yang rendah disebabkan merokok.
Selain itu, anda juga perlu tahu bahawa:
- Vitamin C dapat meningkatkan penyerapan zat besi bukan hem (non-heme iron), zat besi yang boleh didapati dalam makanan seperti sayur dan buah. Anda boleh meningkatkan penyerapan zat besi dalam badan dengan mengambil jus buah atau jus sayur.
- Vitamin C boleh dimusnahkan oleh haba dan cahaya. Oleh sebab itu, vitamin ini boleh terlerai jika didedahkan pada suhu yang panas. Jadi, anda tidak boleh biar vitamin C terdedah pada cahaya matahari dalam satu tempoh masa yang panjang.
- Sama jugalah jika anda minum suplemen vitamin C. Anda tidak boleh biarkannya lama-lama pada suhu persekitaran. Jika boleh, minum secepat mungkin.
- Buah yang sedang masak selalunya mengandungi vitamin C yang paling banyak.