Terlalu Kurus? Ini 5 Cara Menaikkan Berat Badan Dengan Selamat!
Bukan semua orang ingin menurunkan berat badan. Ada juga antara kita yang mencari cara menaikkan berat badan, lebih-lebih lagi jika mereka mempunyai BMI yang rendah.
Walaupun individu yang kurus selalunya sihat, mereka yang terlalu kurus pula berkemungkinan berhadapan dengan pelbagai jenis masalah kesihatan terutamanya malnutrisi.
Malah, wanita yang kurang berat badan juga berkemungkinan mempunyai masalah ketika hamil.
Bukan itu sahaja, mereka yang mempunyai kurang berat badan juga lebih mudah mengalami masalah rambut gugur, kulit kering, masalah kesuburan dan kesihatan oral yang lemah.
Dalam kes yang lebih serius, mereka juga mungkin mempunyai sistem imun yang lemah dan berisiko menghidap osteoporosis pada masa hadapan.
Namun, bukan mudah untuk menaikkan berat badan secara sihat.
Bagi mereka yang sedang mencari cara menaikkan berat badan, kami akan berikan langkah-langkah selamat untuk anda menambah berat badan, tidak kiralah apa pun jantina atau umur anda.
5 Cara menaikkan berat badan secara sihat
Sebenarnya, ada banyak cara untuk anda tambahkan berat badan secara sihat. Walaupun sukar, dengan pengambilan makanan yang betul dan senaman, anda boleh capai berat badan yang diingini.
Tetapi, mengapa anda perlu menambah berat badan? Kurang berat badan boleh menyebabkan pelbagai penyakit. Menurut NHS, anda mungkin bakal mempunyai masalah:
- Kekurangan nutrisi. Jika anda kurang berat badan, besar kemungkinan anda tidak mengambil makanan yang sihat. Oleh sebab itu, anda mungkin kekurangan nutrien yang membantu badan untuk berfungsi dengan baik.
- Sistem imun yang lemah. Sistem imun tidak dapat berfungsi secara 100% jika anda mempunyai berat badan yang rendah. Malah, anda juga lebih mudah jatuh sakit dan terkena jangkitan.
- Masalah kesuburan. Wanita yang kurang berat badan kadangkala mengalami masalah haid. Kitaran haid yang tidak teratur boleh menyebabkan wanita sukar untuk hamil.
Sebab itulah, kita perlu menambah berat badan supaya ia berada dalam julat yang sihat. Ada beberapa langkah yang boleh anda ambil sebagai cara menaikkan berat badan:
1. Tambah makanan yang kaya dengan nutrien
Jika anda mempunyai berat badan yang rendah, anda mungkin perlu tambah 500 kalori setiap hari.
Oleh sebab itu, anda perlu menambah bilangan masa makan, atau meningkatkan jumlah makanan yang diambil.
Cuba makan 5-6 kali sehari berbanding 2-3 kali. Pastikan saiz hidangan sederhana dan mampu dihabiskan.
Selain itu, anda juga boleh menambah makanan yang tinggi kalori dan kaya dengan lemak sihat seperti avokado, kekacang dan minyak sayuran.
Jika anda tidak mempunyai selera makan, anda boleh tambahkan snek yang kaya dengan kalori seperti makanan yang manis, biskut, keju, kekacang dan sayur-sayuran berserat.
Cara menaikkan berat badan 2: Cuba minum smoothies
Walaupun air berkarbonat mempunyai kalori yang tinggi, ia tidak membawa apa-apa manfaat terhadap kesihatan anda.
Jadi, tinggalkan diet soda, kopi atau minuman lain dan gantikannya dengan smoothies atau shakes yang diperbuat daripada susu dan buah-buahan.
Tidak suka susu lembu? Jangan risau, ada banyak lagi susu lain yang berasaskan kekacang yang dijual di pasaran.
Walaupun kalorinya lebih rendah, susu ini diperkaya dengan kalsium dan vitamin D, nutrisi yang sangat penting jika anda ingin menambah berat badan.
Anda juga boleh pilih jus buah atau sayuran yang bebas gula. Sebelum beli apa-apa produk, pastikan anda baca dulu label di belakangnya.
3. Makan lebih banyak snek sihat
Tambahkan kekacang, keju, buah-buahan kering dan avokado ke dalam diet harian anda. Makan snek sihat sebelum tidur, sebagai contoh, sandwich bersama mentega kacang dan jeli, atau sandwich ayam/hirisan daging bersama salad.
Kemudian, tambahkan keju atau telur hancur ke dalam sandwich anda untuk kalori tambahan.
Cara menaikkan berat badan 4: Bersenam!
Siapa kata orang yang ingin kurus sahaja perlu bersenam? Mereka yang ingin tambah berat badan juga perlu bersenam! Ia bukan sahaja boleh membantu anda membina otot, senaman juga boleh menambah selera makan anda.
Senaman, terutamanya senaman kekuatan (strength training), sangat penting untuk mereka yang ingin menambah jisim otot.
Walau bagaimanapun, jangan paksa diri bersenam terlalu kuat. Ingatlah, badan kita juga perlukan masa untuk sembuh.
Senaman angkat berat lebih berkesan untuk mereka yang ingin menambah berat badan. Jika anda sukakan senaman kardio, jangan lupa tambahkan senaman kekuatan sekali. Sebarang senaman yang dapat membina otot akan menambah berat badan anda.
5. Ubah gaya hidup anda
Jika sebelum ini, anda sering tidur lewat dan jarang bersenam, inilah masa terbaik untuk ubah gaya hidup anda.
Badan kita perlukan masa untuk berehat. Malah, tanpa rehat yang mencukupi, otot dan otak kita tidak dapat berfungsi dengan baik.
Untuk mengelakkan rasa lapar, pastikan anda ambil snek dengan kerap. Anda boleh makan sebelum dan selepas bersenam. Jika anda ingin menambah berat badan secara sihat, senaman merupakan cara yang terbaik untuk melakukannya.