Cara Merawat Buasir Mengikut Saranan Doktor

Apa Itu Buasir?

Sebelum mengetahui cara merawat buasir, mari kita baca dulu apa itu buasir.

Menurut portal MyHEALTH, buasir adalah keadaan di mana salur darah yang terletak di bahagian bawah dubur dan rektum mengalami keradangan, membesar dan membengkak. Terdapat dua kategori buasir iaitu, buasir dalaman atau buasir luaran.

Buasir dalaman adalah apabila berlaku pembengkakan di salur darah vena bahagian lapisan dalam rektum. Manakala, buasir luaran pula adalah pembengkakan yang berlaku di bahagian bawah kulit luar dubur. Kedua-duanya mempunyai gejala yang berbeza. 

Pesakit yang mengalami buasir dalaman akan  mengalami pendarahan setiap kali selepas membuang najis.  Walaubagaimanapun, pesakit tidak merasa sakit ketika membuang air besar.

cara merawat buasir

Selain itu,  ada juga pesakit yang merasakan seperti terdapat sesuatu yang terkeluar daripada dubur selepas membuang air besar. Unjuran yang terkeluar tersebut boleh jadi hilang ataupun perlu ditolak balik ke dalam dubur. 

Untuk pesakit yang mengalami buasir luaran pula, biasanya  mereka akan mengadu sakit,  gatal dan mengalami pendarahan ketika membuang air besar. Tahap kesakitan adalah bergantung individu.  Biasanya pesakit akan merasa sakit tidak tertahan, pedih dan tidak selesa. 

Punca & Cara Merawat Buasir

Buasir sering terjadi kepada individu yang telah berumur 30 tahun ke atas. Wanita mengandung juga mempunyai risiko yang tinggi untuk terkena buasir. 

Secara umumnya, punca  buasir terjadi adalah disebabkan oleh penambahan tekanan kepada saluran darah di rektum dan dubur yang boleh menyebabkan keradangan dan pembengkakan.

Selain itu, tindakan meneran terlalu kuat apabila membuang air besar, sembelit, mengangkat berat, berdiri terlalu lama (individu yang bersaiz besar), perubahan hormon bagi wanita mengandung, penekanan di bahagian dubur akibat janin membesar dan sebagainya antara faktor terjadinya buasir.

Cara merawat buasir dan mengurangkan gejalanya mengikut saranan doktor seperti yang dijelaskan di portal MyHEALTH adalah dengan; 

  1. Mandi menggunakan air suam atau dikenali sebagai mandi sitz. Rendam kawasan pinggang ke dubur anda dengan air suam. Tindakan ini dapat membantu mengurangkan sakit dan juga gatal di bahagian dubur anda. Anda juga boleh menambahkan sedikit garam Epsom ke dalam air mandi tersebut.
  2. Gunakan ais untuk menyurutkan bengkak. Balut pek ais tersebut menggunakan kain atau tuala dan duduk diatasnya selama 20 minit. 
  3. Duduk di atas besen yang berisi air garam. 
  4. Makan ubat penahan sakit seperti paracetamol, ibuprofen, aspirin. 
  5. Sapukan krim khusus untuk merawat buasir (jangan guna berlebihan, boleh menyebabkan masalah kulit).
  6. Lap dubur anda menggunakan tisu basah atau tuala lembap. 
cara merawat buasir

Langkah Pencegahan Buasir

  • Jangan meneran terlalu kuat apabila najis anda keras. 
  • Elakkan dudui mencangkung di tandas dalam tempoh yang lama. 
  • Banyakkan makan makanan yang membantu pencernaan anda seperti buah-buahan dan sayuran. 
  • Minum banyak air untuk mengelakkan sembelit. 
  • Ambil suplemen untuk melembutkan najis sekiranya perlu. Anda juga boleh dapatkan cecair pelembut najis yang dijual di farmasi. 
  • Bersenam dan kekal aktif agar sistem pencernaan anda berfungsi dengan baik. 

Dapatkan rawatan di hospital

Sekiranya berterusan atau anda mengalami kesakitan yang luar biasa, sila dapatkan rawatan di hospital. Jangan bertangguh kerana ia mungkin boleh mengakibatkan komplikasi lain.

Seperkara lagi, sekiranya anda mahu mencuba petua yang didapati melalui internet, pastikan anda mendapatkan nasihat dan pandangan daripada pakar perubatan terlebih dahulu sebelum mencuba. 

Sumber: http://www.myhealth.gov.my/

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Admin (N)
Admin (N)
Articles: 161