Cara Sujud Sajadah: Bacaan & Panduan Lengkap

Pernah atau tidak anda dengar tentang sujud sajadah? Mungkin barangkali anda pernah lakukannya? Artikel pada kali ini, akan berkongsi tentang panduan sujud sajadah yang lengkap.

Apakah sujud sajadah?

Setiap hari Jumaat pagi ketika waktu subuh, lazimnya para imam di Malaysia akan membaca surah as-Sajadah, dan surah al-Insan ketika mengimamkan solat subuh.

Bahkan di pertengahan ayat dari surah as-Sajadah itu nantinya, imam akan secara tiba-tiba bersujud tanpa melakukan rukuk terlebih dahulu.

Inilah yang dipanggil sebagai sujud sajadah atau tilawah. Tilawah bermaksud bacaan. Manakala sujud adalah perbuatan di mana dahi orang yang bersolat bersentuhan secara langsung dengan tempat sujudnya.

Secara umumnya, sujud sajadah merupakan sujud yang dilakukan apabila seseorang itu membaca ayat Sajadah dalam Al-Quran. Ia sebagai simbolik rasa penghambaan kita terhadap Allah SWT atas kebesaran Nya.

Dalil dalam Islam

Sujud jenis ini tergolong dalam ibadah yang disyariatkan dalam Islam. Oleh itu, terdapat beberapa dalil yang boleh menjadi rujukan bersama seperti:

Diriwayatkan dalam sebuah hadis daripada Abdullah Bin Umar RA bahawa beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى الله عَلَيهِ وَ سَلَّمَ يَقْرَأ عَلَيْنَا السُورَةَ فِيهَا السَجْدَةُ فَيَسْجُدَ وَ نَسْجُد

Maksudnya: “Pada satu ketika, Rasulullah SAW membacakan kepada kami satu surah yang mempunyai ayat Sajdah, maka Baginda SAW pun sujud lalu kami pun ikut sujud juga.” – (Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 2:556)

Dalam hadis yang lain pula, diriwayatkan daripada Zaid Ibn Thabit RA, bahawa beliau berkata:

قَرَأْتُ عَلَى النَبِيّ وَ النَجْم فَلَم يَسْجُد فِيهَا. وَ فِي رِوَايَةٍ : فَلَمْ يَسْجُدْ منَّا أَحَدٌ

Maksudnya: “Aku (Zaid Ibn Thabit RA) membacakan kepada Rasulullah SAW Surah al-Najm (yang mempunyai ayat sajdah di dalamnya), dan Baginda SAW tidak sujud padanya. Dalam riwayat yang lain pula: Maka kami pun ikut tidak sujud juga.” – (Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 2:554)

Hukum melakukannya dalam Islam

Hukum bagi sujud tilawah adalah sunat muakkad. Yang mana, sesiapa yang melakukannya akan mendapat pahala sunat, namun sekiranya tidak dilakukan maka tiada ganjaran pahala atau dosa yang diberikan kepada mereka. Sungguh pun begitu sudah pasti ibadah ini sangat digalakkan kepada semua umat Islam.

Ketika dalam solat berjemaah misalnya, sebagai makmum kita mestilah mengikut segala pergerakan imam. Sekiranya imam melakukan sujud sajadah dalam solatnya, maka makmum wajib untuk sujud juga. Begitu juga jika imam tidak melakukannya, maka makmum tidak perlu untuk sujud.

Ayat-ayat Al-Quran yang mengandungi tanda sajadah

Untuk mengenal ayat yang disunatkan untuk kita melakukan sujud sajadah adalah mempunyai simbol kubah masjid di hujung ayat tersebut. Dalam Al-Quran, ada 15 ayat yang perlu kita perhatikan iaitu:

  1. Surah Al-A’raaf, ayat 206
  2. Surah Ar-Ra’d, ayat 15
  3. Surah An-Nahl, ayat 50
  4. Surah Al-Isra’, ayat 109
  5. Surah Maryam, ayat 58
  6. Surah Al-Hajj, ayat 18
  7. Surah Al-Hajj, ayat 77
  8. Surah Al-Furqan, ayat 60
  9. Surah An-Naml, ayat 26
  10. Surah As-Sajdah, ayat 15
  11. Surah Saad, ayat 24
  12. Surah Fussilat, ayat 38
  13. Surah An-Najm, ayat 62
  14. Surah Al-Insyiqaq, ayat 21
  15. Surah Al-‘Alaq, ayat 19

Syarat sah sujud sajadah

Antara syarat sah sujud ini adalah seperti:

Cara melakukan sujud sajadah

Terdapat dua keadaan sujud sajadah berlaku iaitu sama ada ketika solat atau di luar solat.

1. Ketika di dalam solat

Pertamanya solat seperti biasa. Namun apabila tiba pada ayat sajadah dalam Al-Quran maka teruslah sujud, dan membaca doa sujud sajadah. Selesai membaca, berdiri semula dalam keadaan solat tanpa perlu mengangkat tangan. Teruskan dengan sambungan ayat Al-Quran yang dibaca tadi.

2. Ketika di luar solat

Situasi sujud sajadah berlaku di luar solat biasanya ketika seseorang itu sedang membaca Al-Quran. Apabila sampai sahaja pada ayat sajadah, maka angkatlah tangan sambil bertakbir dan terus sujud. Baca doa sujud sajadah. Setelah selesai, bangun daripada sujud, duduk, dan berikan salam seperti dalam solat.

Bacaan sujud sajadah

1. Doa pertama

Sajada wajhiya lillazi khalaqahu washawwarahu washaqqa sam’ahu wabasharahu bihawlihi waquwwatihi fatabaarakallahu ahsanul khaliqin”

Maksudnya: “Wajahku sujud kepada Tuhan yang menciptakannya dan membentuk rupanya serta mengurniakan pendengaran dan penglihatannya, Maha Suci Allah sebaik-baik Pencipta”

2. Doa kedua

Allahumma laka sajad tu wabika amantu walaka aslamtu sajada wajhiya lillazi khalaqahu washawwarahu washaqqa sam’ahu wabasharahu tabaarakallahu ahsanul khaliqin”

Maksudnya: “Ya Allah! Kepada Mu aku sujud, dengan Mu aku beriman, dan kerana Mu aku berserah. Wajahku sujud kepada Tuhan yang menciptakannya dan membentuk rupanya serta mengurniakan pendengaran dan penglihatannya, Maha Suci Allah sebaik-baik Pencipta.”

Kesimpulan

Perbuatan sujud melatih diri untuk sentiasa merendah diri dengan apa yang dimiliki di dunia ini. Sesungguhnya di atas sana, masih ada Allah SWT yang Maha Kaya, dan Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Rujukan

  1. Panduan Sujud Tilawah (2), Tata Cara Sujud Tilawah. Rumaysho
  2. Berdosakah Jika Sujud Pada Ayat Sajadah? AL-Mukhsin
SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Hannani Juhari
Hannani Juhari

Seorang Digital Nomad yang mempunyai passion dalam dunia penulisan kreatif. Pernah menulis untuk website theAsianparent Malaysia, Cari Destinasi, Bidadari dan Direct Lending. Menjadikan buku dan muzik sebagai terapi.

Articles: 113