Cirit-Birit: Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentangnya

Cirit birit merupakan satu masalah yang lazim dan berlaku kepada hampir semua orang. Jika anda mempunyai masalah cirit-birit, tinja akan menjadi berair dan cair. Pada masa yang sama, anda juga akan rasa sakit perut dan juga loya.

Masalah ini bukanlah sesuatu yang serius, namun ia boleh menyebabkan komplikasi yang mendatangkan bahaya terhadap kesihatan.

Selalunya, cirit-birit akan berlarutan selama 2-3 hari. Ia akan membuatkan anda rasa tidak selesa dan terlalu sakit untuk bekerja.

Ada juga individu yang mengalami masalah ini lebih kerap daripada orang lain disebabkan penyakit tertentu, terutamanya bagi mereka yang menghidap sindrom usus rengsa (IBS).

Cirit birit akan hilang dengan sendirinya dalam masa beberapa hari. Namun, jika ia tidak sembuh-sembuh, anda perlu berjumpa doktor secepat mungkin. Ini mungkin menandakan masalah yang lebih serius.

Cirit-birit juga boleh dikategorikan kepada dua bahagian:

  1. Cirit-birit jangka pendek (akut). Ia berlaku selama 1-2 hari dan akan sembuh dengan sendirinya. Masalah ini mungkin berlaku disebabkan pengambilan makanan atau minuman yang dicemari bakteria.
  2. Cirit-birit jangka panjang (kronik). Ini merupakan cirit-birit yang serius dan berlarutan selama berminggu-minggu. Ia mungkin disebabkan penyakit tertentu atau jangkitan parasit.

Apakah yang menyebabkan cirit-birit?

cirit birit

Menurut Hopkins Medicine, antara punca lazim masalah cirit birit ialah:

  1. Keracunan makanan disebabkan bakteria.
  2. Jangkitan virus seperti flu, norovirus atau rotavirus. Rotavirus merupakan punca lazim cirit birit dalam kalangan kanak-kanak.
  3. Parasit, satu organisme kecil yang boleh ditemui di dalam air atau makanan.
  4. Pengambilan ubat-ubatan seperti antibiotik, ubat kanser atau antasid.
  5. Intoleransi makanan atau sensitiviti.
  6. Penyakit yang mempengaruhi perut atau usus kecil seperti penyakit Crohn.
  7. Masalah usus besar seperti IBS.
  8. Baru lepas melalui pembedahan. Kadangkala, pembedahan boleh menyebabkan cirit-birit.

Kadangkala, cirit-birit boleh berlaku tanpa sebab. Jika ia hilang dalam beberapa hari, selalunya anda tidak perlukan rawatan susulan.

Siapa boleh menghidap cirit birit?

Semua orang boleh menghidap cirit-birit. Malah, ia bukanlah sesuatu yang luar kebiasaan untuk mengalami cirit-birit beberapa kali setahun. Ia juga bukanlah sesuatu yang perlu dirisaukan.

Namun, cirit-birit boleh menjadi serius jika ia berlaku kepada beberapa golongan. Sebagai contoh:

  1. Orang muda, terutamanya kanak-kanak.
  2. Orang tua.
  3. Mereka yang mempunyai penyakit tertentu.

Untuk mereka yang tergolong dalam kumpulan di atas, cirit-birit juga boleh berlaku disebabkan masalah kesihatan lain.

Apakah simptom-simptomnya?

cirit birit

Mereka yang mengalami cirit birit akan mengalami simptom tertentu mengikut keseriusan serta punca cirit-birit tersebut.

Apabila mengalami cirit-birit, anda mungkin akan mengalami sesetengah atau semua simptom di bawah:

  1. Tinja yang berair.
  2. Perut kembung
  3. Loya dan rasa nak muntah.

Jika anda mempunyai cirit birit yang teruk, anda akan alami simptom seperti:

  1. Demam.
  2. Penurunan berat badan.
  3. Rasa sakit yang teruk.
  4. Muntah-muntah.

Cirit-birit yang teruk boleh menyebabkan pelbagai komplikasi. Jika anda mempunyai simtom ini, berjumpalah doktor secepat mungkin untuk mendapatkan rawatan.

Apakah cara terbaik untuk merawatnya?

Dalam kebanyakkan kes, anda boleh merawat cirit-birit sendiri di rumah. Cari ubat yang mengandungi bismuth subsalicylate yang dapat melegakan masalah cirit birit dengan pantas.

Walau bagaimanapun, ubat yang dibeli di farmasi kadangkala tidak dapat melegakan cirit birit, lebih-lebih lagi jika ia berlaku disebabkan jangkitan atau parasit.

Jika ini yang berlaku, anda perlu berjumpa doktor untuk mendapatkan diagnosis yang bertepatan.

Antara rawatan yang mungkin diberikan oleh doktor ialah:

  1. Antibiotik. Ubat ini dapat merawat cirit-birit yang berpunca daripada jangkitan bakteria atau parasit.
  2. Pemberian ubat untuk merawat penyakit tertentu. Cirit-birit juga boleh menjadi tanda penyakit tertentu seperti IBS atau pertumbuhan ulser.
  3. Probiotik. Gabungan bakteria baik atau probiotik boleh digunakan untuk memastikan bakteria dalam perut dalam keadaan yang sihat. Walau bagaimanapun, bercakap dulu dengan doktor sebelum mengambil apa-apa jenis probiotik.  

Bolehkah saya ambil ubat di farmasi untuk merawat cirit-birit?

cirit birit

Ya, anda boleh ambil ubat di farmasi. Walau bagaimanapun, pastikan anda mendapatkan konsultasi daripada ahli farmasi yang bertugas.

Ikut arahan yang tertulis di pek ubat sebelum makan. Kadangkala, dos yang diperlukan oleh kanak-kanak berbeza dengan orang dewasa. Namun, jika anak anda menghidap cirit-birit, lebih baik jika anda berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan.

Jangan lupa, minum banyak air untuk menggantikan cecair yang hilang akibat dehidrasi.

Orang dewasa yang menghidap cirit-birit perlulah minum air kosong, air buah atau air isotonik. Elakkan minuman yang mengandungi kafein seperti teh atau kopi.

Kemudian, cuba makan makanan yang tawar dan lembut seperti roti, bubur atau oat.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: