Punca Darah Haid Berketul & Kaedah Rawatan Yang Para Wanita Perlu Ambil Tahu
Secara majoriti, wanita baligh yang subur akan menyingkirkan lapisan rahim pada setiap 28 hingga 35 hari kitaran haid.
Darah haid berketul boleh terjadi kepada mana-mana wanita setiap kali datang bulan.
Ia adalah perkara normal dan jarang menyebabkan komplikasi.
Lapisan rahim yang juga dikenali sebagai endometrium ini tumbuh dan menebal sepanjang bulan sebagai tindakbalas badan pada hormon estrogen. Ia berfungsi untuk menyokong telur yang disenyawakan.
Jika kehamilan tidak berlaku, hormon akan memberi isyarat supaya lapisan tersebut gugur. Proses inilah yang kita kenali sebagai haid.
Lapisan rahim yang gugur ketika seseorang wanita datang haid mengandungi elemen seperti :
- Darah
- Lendiran
- Tisu
Elemen-elemen ini dikeluarkan dari rahim melalui serviks kemudian terus ke faraj.
Punca Darah Haid Berketul
Dalam kebanyakan kes, darah haid berketul bukanlah perkara yang perlu dirisaukan.
Biasanya aliran haid yang berat dipengaruhi oleh faktor fizikal dan keseimbangan hormon.
Namun, terdapat beberapa keadaan di mana ia boleh menjadi indikasi kepada masalah dalaman wanita.
Antara punca darah haid berketul adalah seperti berikut :
1. Obstruksi Rahim
Rahim membengkak atau membesar boleh memberi tekanan berlebihan pada dinding rahim sekaligus meningkatkan pendarahan ketika datang bulan.
Tidak hanya itu, keadaan ini juga boleh menyebabkan gangguan keupayaan rahim untuk berkontraksi.
Rahim yang tidak berkontraksi dengan betul akan menggumpalkan darah di dalam rongga rahim.
Obstruksi rahim juga boleh mengakibatkan masalah kesihatan lain seperti :
- Fibroid
- Endometriosis
- Adenomiosis
- Tumor barah
2. Fibroid
Fibroid merupakan ketumbuhan yang berlaku di dinding rahim yang bukan bersifat kanser.
Selain menyebabkan aliran haid yang berat, fibroid juga boleh menyebabkan :
- Pendarahan haid yang tidak teratur
- Sakit pada bahagian bawah belakang
- Sakit semasa melakukan hubungan seks
- Perut kelihatan besar
- Masalah kesuburan
Meskipun puncanya tidak diketahui dengan jelas, namun 80% daripada wanita dipercayai cenderung untuk alami fibroid ketika usia mencecah 50 tahun.
3. Endometriosis
Endometriosis pula berlaku apabila lapisan rahim tumbuh di luar rahim dan memasuki saluran pembiakan.
Pesakit endometriosis boleh menunjukkan beberapa gejala ketika haid antaranya :
- Senggugut yang teruk
- Loya dan muntah-muntah
- Cirit-birit
- Ketidakselesaan ketika melakukan hubungan intim.
- Risiko kemandulan
- Sakit pada bahagian pelvis.
- Pendarahan yang tidak normal.
4. Adenomiosis
Adenomiosis pula merupakan masalah kesihatan yang berlaku apabila lapisan rahim menebal tanpa sebab yang diketahui.
Namun penyakit ini sering terkait dengan pesakit yang tergolong dalam kategori di bawah :
- Berusia antara 40 hingga 50 tahun
- Pernah menjalani pembedahan pada rahim seperti caesarean.
- Pernah melahirkan anak
- Obesiti
Ini akan menyebabkan ukuran rahim menjadi 2 hingga 3 kali ganda lebih besar.
Pesakit adenomiosis boleh tunjukkan beberapa gejala seperti berikut :
- Sakit pada bahagian pinggang
- Pendarahan yang banyak serta berpanjangan ketika haid
- Senggugut ketika datang bulan
- Sakit ketika melakukan hubungan intim
5. Ketidakseimbangan Hormon
Lapisan rahim memerlukan tahap hormon estrogen dan progesteron yang stabil untuk dinding rahim menebal dengan betul.
Sekiranya keseimbangan hormon terganggu, seorang wanita berisiko untuk alami masalah haid seperti aliran berat atau haid tak teratur.
Ketidakseimbangan hormon boleh berpunca daripada salah satu keadaan berikut :
- Perimenopause
- Menopause
- Stres
- Pertambahan atau penurunan berat badan ketara.
Diagnosis Serta Kaedah Rawatan Darah Haid Berketul
Bagi memudahkan pesakit mendapat rawatan secara berkesan, doktor perlu ambil kenalpasti keadaan pesakit dengan tepat iaitu dengan :
- Mengenalpasti gejala yang dialami
- Melakukan pemeriksaan fizikal
- Melakukan ujian darah.
Sekiranya pesakit mempunyai risiko anemia atau kehilangan darah yang banyak, maka doktor akan turut menyarankan pengambilan suplemen zat besi.
Memetik Hellodoktor, pakar perubatan juga boleh menyarankan kaedah rawatan lain mengikut kesesuaian antaranya :
- Penggunaan peranti intrauterin (IUD)
- Pil perancang
- ubat hormon
Di samping itu, pesakit juga boleh praktikkan beberapa amalan di rumah seperti :
- Pastikan badan kekal hidrat dengan mengambil air secukupnya setiap hari
- Elakkan pengambilan aspirin yang boleh mengundang pendarahan teruk ketika haid
- Amalkan pemakanan sihat serta diperkaya zat besi
- Lakukan aktiviti fizikal secara berkala untuk kawal berat badan
Pada kebanyakan masa, darah haid berketul adalah perkara normal yang berlaku pada kebanyakan wanita ketika datang bulan.
Namun, jika anda mengalami beberapa gejala yang berkait dengan masalah dalaman wanita, anda perlulah rujuk pada doktor.
Jangan berlengah untuk dapatkan rawatan kerana ia mungkin menjadi petanda bagi masalah dalaman yang lebih serius.
Sumber : Doctoroncall