Fakta Tentang Darah Nifas (Postpartum Bleeding) Yang Anda Perlu Tahu

Darah nifas adalah darah yang keluar selepas seorang wanita melahirkan anak.

Adakah ia sama dengan darah haid dan apakah komplikasi pendarahan yang perlu diperhatikan selepas melahirkan anak?

Artikel ini akan mengupas tentang darah nifas secara lebih terperinci untuk persediaan ibu bagi menyambut bayi yang akan dilahirkan.

Ketika seorang wanita mengandung, pelbagai perubahan fizikal terjadi pada tubuh badan.

Namun, perubahan itu juga akan berterusan selepas melahirkan anak. Badan ibu mengandung memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya.

Ini bermaksud, ia adalah perkara normal apabila para ibu menunjukkan beberapa simptom beberapa minggu selepas bersalin.

Antara simptom umum yang berlaku ialah keluarnya darah nifas. Juga dikenali sebagai pospartum bleeding, darah nifas boleh keluar biasanya selama 40 hari atau maksimum 60 hari.

Baca Juga : Bengkak Susu : Punca, Simptom dan Cara Atasi (Breast Engorgement)

Kredit Foto : siraplimau.com

Mengapa Darah Nifas Keluar ?

Memetik Healthline, darah yang keluar dari vagina selepas wanita melahirkan anak juga dikenal dengan lochia dalam istilah perubatan.

Sama seperti pendarahan yang berlaku ketika wanita datang haid, darah nifas mengandungi :

  • Darah
  • Sebahagian daripada lapisan dinding rahim (uterine lining)
  • Mukus
  • Sel darah putih

Pada awalnya, kebanyakan daripada lochia yang keluar terdiri daripada darah. selepas beberapa minggu, lochia akan dilihat mengandungi lebih banyak mukus berbanding darah.

Seperti darah haid, pendarahan selepas bersalin juga berlaku disebabkan oleh hakisan dan pemulihan dinding rahim.

Darah Nifas selepas Bersalin Secara Normal

Bagi wanita yang bersalin secara normal, darah yang keluar biasanya kelihatan merah pekat atau merah terang. Darah merah terang (Lochia Rubra) ini juga biasanya dialirkan dengan cukup banyak sehingga hari keempat.

Bau dan warnanya juga dilihat mirip dengan darah yang keluar ketika haid. Selain darah, mungkin terdapat darah beku akan turut keluar dengan saiz yang pelbagai.

Sekitar hari keempat hingga hari ketujuh kelahiran, darah yang keluar biasanya berwarna coklat atau merah jambu (Lochia Serosa). Saiz darah beku yang keluar juga lebih kecil atau berhenti keluar.

Menjelang hari keduabelas, darah yang keluar biasanya akan keluar berwarna putih atau kuning (Lochia Alba).

Biasanya dalam 3 ke 6 minggu, darah sepatutnya sudah berhenti.

Kredit Foto : Facebook Klinik Dr Asmah Kuala Ketil

Darah Nifas Selepas Bersalin Secara Pembedahan (Caesarean)

Sekiranya ibu bersalin dengan prosedur C-section, darah nifas biasanya tidak keluar sebanyak ibu yang bersalin secara normal.

Namun, warna darah serta tempoh darah keluar adalah lebih kurang sama jika dibandingkan antara kedua-dua prosedur bersalin.

darah nifas

Apa Yang Para Ibu Perlu Lakukan ?

Pada mulanya, pendarahan mungkin agak banyak sehingga para ibu perlu gunakan tuala wanita dari hospital. Jururawat juga mungkin akan sediakan tuala wanita dengan ekstra serapan bagi menampung darah yang banyak.

Apabila pendarahan sudah semakin sedikit, para ibu boleh beralih kepada penggunaan tuala wanita yang biasa digunakan ketika datang haid.

Pastikan tuala wanita diganti selalu bagi mengelakkan jangkitan kuman. Para ibu juga tidak dibenarkan untuk guna tampon tanpa kebenaran doktor.

Para ibu juga boleh beralih kepada penggunaan panty liner apabila aliran darah menjadi semakin ringan.

Punca Aliran Darah Nifas Meningkat

Biasanya pendarahan adalah konsistem dan akan berhenti selepas beberapa minggu bersalin.

Namun, terdapat beberapa punca yang boleh menyebabkan aliran darah meningkat secara sementara seperti :

  • Baru bangun dari tidur
  • Ibu menyusukan anak. Ketika itu, hormon oxytocin dirembeskan dan merangsang pengecutan rahim dan menggalakkan pemulihan rahim.
  • Senaman
  • Meneran ketika buang air kecil atau besar
darah nifas

Bila Perlu Berjumpa Doktor

Sekiranya darah mengalir sangat banyak sehingga perlu bertukar tuala wanita hospital kurang dari sejam dan tidak berkurang selepas beberapa hari, ibu bersalin perlulah berjumpa dengan doktor.

Para ibu juga perlu berikan perhatian kepada beberapa simptom seperti :

  •  Petanda jangkitan seperti bau darah yang tidak menyenangkan
  • Demam dengan suhu 38°C dan badan menggigil
  • Darah yang kekal berwarna merah dan aliran banyak pada minggu kedua
  • Pening atau rasa nak pitam
  • Jantung berdegup kencang atau tidak teratur

Menimang cahaya mata merupakan fasa perubahan hidup yang mencabar. Ibu yang melahirkan anak pertama pasti perlukan masa dan sokongan dari suami untuk pulih dengan baik selepas bersalin secara luaran dan dalaman.

Di samping mengurus bayi, kesihatan dan pemulihan ibu bersalin juga perlu diutamakan agar ibu dapat kembali bertenaga dan dapat berada di sisi bayi.

Sekiranya para ibu masih tidak rasa sihat dari segi fizikal mahupun mental, jangan berlengah untuk dapatkan rawatan daripada doktor.  

Sumber :

Is Postpartum Bleeding Normal?

https://www.healthline.com/health/pregnancy/is-postpartum-bleeding-normal

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Nazirah Hassan
Nazirah Hassan
Articles: 85