Intermittent Fasting Atau Diet IF, Apakah Maksudnya Dan Bagaimana Untuk Bermula?
Pernahkah anda dengar mengenai diet IF? Diet ini sangat popular dalam kalangan mereka yang ingin menguruskan berat badan namun tidak ada masa untuk bersenam atau terlalu sibuk di pejabat.
Kajian menunjukkan, berpuasa selang sehari mempunyai kesan yang hampir sama dengan diet kalori rendah. Oleh sebab itu, diet ini juga sangat berkesan untuk membantu menurunkan berat badan kerana ia dapat mengurangkan jumlah pengambilan kalori harian.
Adakah diet IF baik untuk kesihatan? Jawapannya ialah ya!
Dengan mengurangkan berat badan dan menjadi lebih aktif, anda mampu mengurangkan risiko penyakit yang berkait rapat dengan obesiti seperti diabetes, apnea tidur dan beberapa jenis kanser.
Jika anda ingin tahu lebih lanjut mengenai intermittent fasting, mari ikuti penjelasan kami dalam artikel di bawah.
Apa maksud diet IF?
Diet IF atau intermittent fasting merupakan sejenis diet yang memfokuskan pada waktu pemakanan dan bukannya apa yang dimakan. Secara ringkasnya, mereka yang melakukan diet IF perlulah berpuasa dalam tempoh masa tertentu.
Amalan berpuasa selama beberapa jam sehari boleh membantu badan membakar lebih banyak lemak. Malah, diet IF juga mempunyai banyak manfaat terhadap kesihatan kita.
Menurut Harvard University, antara cara intermittent fasting yang paling popular ialah:
- Berpuasa selang sehari. Makan secara normal pada 1 hari, dan berpuasa pada keesokkan harinya.
- Puasa 5:2. Makan secara normal 5 hari dan puasa 2 kali seminggu.
- 8 jam waktu makan. Makan seperti biasa namun hanya dalam masa 8 jam sahaja. Sebagai contoh, anda hanya boleh makan dari pukul 12 tengah hari sehingga 8 malam. Pada jam-jam seterusnya, anda haruslah berpuasa.
Intermittent fasting bukanlah bermaksud anda perlu berlapar. Namun, berpuasa adalah salah satu cara yang terbaik untuk mengurangkan pengambilan kalori harian.
Selain itu, diet IF juga sangat berkesan untuk memastikan badan dapat menyesuaikan diri dan tetap kenyang walaupun mengambil makanan dalam jumlah hidangan yang kecil.
Bukan itu sahaja, mereka yang berdisiplin semasa melakukan intermittent fasting juga dapat mengelakkan diri daripada mengambil terlalu banyak snek ketika bekerja atau pada waktu senggang.
Cara untuk melakukan intermittent fasting mungkin berbeza mengikut individu. Jika anda ingin bermula, pastikan anda pilih diet IF yang paling sesuai dengan gaya hidup anda.
Ada orang yang boleh berpuasa selama sehari, ada juga yang perlu berpuasa dalam tempoh yang lebih pendek. Jadi, pilihlah bentuk intermittent fasting yang anda mampu lakukan.
Kebaikan berpuasa untuk kesihatan
Menurut kajian, ada beberapa manfaat intermittent fasting terhadap kesihatan:
- Menguatkan fikiran dan memori. Kajian menunjukkan mereka yang melakukan IF mempunyai memori yang lebih kuat.
- Baik untuk kesihatan jantung. Diet IF dapat memastikan tekanan darah dalam julat yang normal.
- Mengelakkan diabetes dan obesiti. Menurut sebuah kajian yang dilakukan terhadap haiwan, intermittent fasting dapat mengelakkan obesiti dan diabetes.
- Meningkatkan prestasi senaman. Orang muda yang bersenam sambil melakukan IF didapati dapat menghilangkan lemak dan meningkatkan jisim otot.
Tip untuk kekal berdisipilin semasa melakukan diet IF
Intermittent fasting bukan sahaja dapat membantu anda menurunkan berat badan, ia juga boleh menjimatkan masa dan juga wang.
Walau bagaimanapun, diet IF mungkin sukar untuk dilakukan jika anda sudah biasa makan 3 kali sehari.
Untuk pemula, kami ada beberapa tip yang anda boleh amalkan:
- Pilih pelan yang sesuai. Mungkin pada awalnya, anda rasa bersemangat untuk berpuasa dalam tempoh yang panjang. Walau bagaimanapun, kami cadangkan agar anda mula secara perlahan-lahan dan berpuasa dalam satu tempoh masa yang anda selesa. Jangan sesekali berpuasa lebih dari 36 jam kerana ia boleh membawa mudarat.
- Pastikan anda minum air dengan mencukupi. Intermittent fasting tidak sama dengan puasa biasa. Anda masih boleh minum air seperti biasa. Namun, jangan minum air manis. Minum air kosong, kopi o atau teh tanpa gula.
- Sibukkan diri untuk elakkan diri daripada makan terlalu banyak snek. Gunakan masa yang terluang untuk lakukan sesuatu yang anda sukai seperti membaca, berjalan atau main permainan video. Apa sahaja asalkan anda tidak mengunyah!
- Pastikan makanan anda kaya dengan nutrien. Kajian menunjukkan, makanan yang kaya dengan protein lebih mengenyangkan.
- Anda akan masih rasa lapar. Jangan risau, rasa lapar ini merupakan sesuatu yang berlaku secara semula jadi. Namun, jika anda selalu lakukan intermittent fasting, anda akan belajar cara-cara untuk mengatasi kelaparan ini.