Digigit Kutu Babi, Apa Yang Perlu Dilakukan?

Kutu babi, atau turut dikenali sebagai sengkenit, cengkenit, tempiras, capak atau pirah merupakan nama bagi sejenis araknid dalam kumpulan Ixodidae.

Kutu babi merupakan sejenis parasit yang hidup dengan menyedut darah pada manusia atau haiwan lain. Ia mempunyai 8 kaki dan berwarna hitam atau coklat kemerah-merahan.

Selalunya, kutu babi sebesar hujung pin. Namun, setelah menghisap darah, badannya boleh membesar sehingga saiz sebiji guli!

Gigitan kutu selalunya tidak berbahaya dan tidak akan menyebabkan sebarang simptom. Namun, ia boleh mecetuskan reaksi alergi.

Malah, ada beberapa jenis kutu yang boleh menyebarkan penyakit kepada manusia melalui gigitannya. Dalam sesetengah kes, ia boleh membawa maut!

Dimakah kutu babi selalunya menggigit manusia?

Kutu Babi

Kutu sukakan tempat yang panas dan lembap. Menurut CDC, apabila kutu melekat pada badan manusia, ia akan bergerak ke:

  1. Ketiak
  2. Kelengkang
  3. Rambut
  4. Belakang lutut
  5. Di dalam pusat
  6. Di sekeliling pinggang
  7. Dalam dan luar telinga

Walau bagaimanapun, kutu tidak selalunya berpindah. Oleh sebab itu, pastikan anda periksa seluruh badan dengan rapi.

Apabila kutu menemui kawasan yang disukainya, ia akan menggigit dan membenamkan diri ke dalam kulit untuk menghisap darah.

Berbeza dengan serangga lain yang menggigit, kutu akan melekat pada kulit. Oleh sebab itu, jika anda digigit kutu, besar kemungkinan anda akan menjumpainya pada kawasan kulit.

Tanda anda digigit kutu

Gigitan kuku tidak berbahaya dan jarang sekali menyebabkan sebarang simptom. Namun, jika anda alah terhadap kutu, besar kemungkinan anda akan mengalami:

  1. Rasa sakit pada kawasan gigitan.
  2. Munculnya ruam pada kawasan kulit.
  3. Pedih pada kawasan gigitan.
  4. Kulit melepuh.
  5. Sesak nafas, jika anda mempunyai alahan yang teruk.

Digigit kutu babi? Bagaimana cara merawatnya?

Kutu Babi

Jika anda digigit kutu, pastikan anda membuangnya dengan cara yang betul. Gunakan penyepit atau tweezer dan sepit kutu sedekat mungkin dengan kulit.

Tarik kutu secara perlahan-lahan secara menegak. Jangan pulas atau tekan kutu tersebut. Kemudian, elakkan diri daripada memegang kutu tersebut dengan tangan.

Jangan sesekali gunakan jeli petroleum atau mancis panas untuk membuang kutu babi. 

Tindakan ini bukan sahaja berbahaya, ia juga boleh menyebabkan kecederaan yang lebih teruk pada kulit anda. Malah, ada risiko untuk kutu tersebut terbenam lebih dalam!

Selepas membuang kutu babi, basuh tangan dan tempat gigitan. Gunakan air suam, alkohol atau skrub iodin.

Adakah gigitan kutu akan membuatkan saya jatuh sakit?

Anda mungkin tidak akan jatuh sakit jika kutu tersebut hanya merayap pada badan. Namun, jika serangga ini menggigit, ia boleh menyebarkan kuman ke dalam darah.

Namun, jika anda jumpa satu kutu pada badan, besar kemungkinan ada kutu lain pada badan anda.

Oleh sebab itu, periksa badan anda terutamanya pada kawasan ketiak, kelengkang dan rambut.

Bergantung kepada jenis kutu, ia perlu melekat pada badan dalam tempoh masa tertentu sebelum ia boleh menjangkiti anda.

Malah, risiko anda untuk dijangkiti penyakit Lyme amat rendah jika kutu tersebut berada pada badan anda kurang daripada 24 jam.

Perlukah saya berjumpa doktor?

Selalunya, gigitan kutu babi tidak akan mendatangkan sebarang masalah.

Namun, jika kutu babi tersebut tidak dapat dikeluarkan sepenuhnya, lebih besarlah risiko untuk anda mengalami jangkitan. Malah, kulit juga akan menjadi gatal-gatal.

Jika anda mengalami ruam disebabkan gigitan kutu babi, ini menandakan penyakit Lyme. Ruam ini akan muncul dalam masa 3 hingga 14 hari dan berbentuk bull’s eye.

Berhubung dengan doktor secepat mungkin walaupun ruam yang dialami sudah sembuh kerana anda masih lagi berisiko menghidap penyakit Lyme.

Selain ruam, penghidap penyakit Lyme juga akan mengalami simptom lain seperti demam, menggigil, letih, sakit otot dan sendi serta pening kepala.

Jika kawasan gigitan berubah warna atau rasa sakit, ini bermaksud kawasan gigitan telah dijangkitit bakteria.

Cara mengelakkan gigitan kutu babi

Kutu Babi

Ada beberapa langkah yang boleh anda ambil untuk mengelakkan diri daripada digigit kutu. Antaranya ialah:

  1. Pakai baju yang menutup kulit jika anda keluar. Masukkan baju ke dalam seluar dan pakai stokin di luar seluar.
  2. Gunakan penghalau serangga pada kulit dan baju. Produk yang mengandungi DEET adalah yang terbaik.
  3. Lalu di kawasan yang sepatutnya. Elakkan kawasan bersemak jika anda pergi mendaki atau melakukan apa-apa aktiviti luar.
  4. Pakai baju yang berwarna cerah supaya kutu dapat dilihat dengan lebih mudah.
  5. Selepas anak-anak main di luar, periksa kulit dan rambut mereka, terutamanya pada kulit kepala, belakang telinga, sekeliling leher dan bawah ketiak.

Rujukan

  1. Karten, M. M., & Guide, S. (n.d.). First Aid: Tick Bites (for Parents) – Nemours KidsHealth. Kids Health. Retrieved January 21, 2022, from https://kidshealth.org/en/parents/tick-bites-sheet.html
  2. Symptoms of Lyme disease. (n.d.). NHS. Retrieved January 21, 2022, from https://www.nhs.uk/conditions/lyme-disease/
  3. Tick bites: First aid. (n.d.). Mayo Clinic. Retrieved January 21, 2022, from https://www.mayoclinic.org/first-aid/first-aid-tick-bites/basics/art-20056671
  4. Tick Bites: Symptoms, Treatments, Pictures, and Prevention. (n.d.). Healthline. Retrieved January 21, 2022, from https://www.healthline.com/health/tick-bites#symptoms
  5. Ticks | Ticks. (n.d.). CDC. Retrieved January 21, 2022, from https://www.cdc.gov/ticks/index.html
SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: