Disleksia : Faktor Risiko, Ciri-Ciri dan Cara Membantu
Setiap kanak-kanak mempunyai tahap perkembangan yang berbeza-beza. Mungkin sesetengahnya cepat belajar, sesetengahnya pula lambat bercakap.
Namun, terdapat juga sesetengah kanak-kanak yang sukar untuk faham ejaan dan kira-kira walaupun diajar berkali-kali.
Seseorang itu boleh terlihat normal dari segi fizikal dan pergaulan, namun mereka menghadapi kesukaran untuk membaca, mengira dan menulis.
Baca Juga : Stres: Tanda, Simptom, Kesannya Pada Kesihatan & Ujian Saringan DASS
Apa Itu Disleksia ?
Disleksia merupakan gangguan pembelajaran yang melibatkan kesukaran untuk membaca kerana tidak dapat mengaitkan sebutan dengan perkataan.
Sering disebut sebagai reading disability, disleksia menjejaskan kawasan otak yang memproses pemahaman bahasa.
Mereka juga tidak dapat mengenalpasti tulisan dan angka sepantas kanak-kanak biasa.
Disebabkan kesukaran mereka untuk membaca dan mengira, mereka jadi mudah bosan dan sukar tumpukan perhatian pada pelajaran.
Oleh itu, mereka lebih gemar bermain dan tidak berminat untuk belajar.
Disebabkan itu, kanak-kanak disleksia juga sering dilabel sebagai nakal dan malas oleh sesetengah guru.
Secara amnya, masalah ini boleh dikenalpasti sejak dari kecil. Namun, ia juga boleh berlanjutan sehingga seseorang meningkat dewasa.
Faktor Risiko
Masalah ini cenderung untuk diwarisi dari keluarga. Faktor persekitaran juga boleh menyumbang kepada masalah ini.
Antara faktor risiko yang boleh menyebabkan disleksia adalah :
- Sejarah keluarga yang memiliki masalah pembelajaran
- Bayi yang dilahirkan pramatang
- Pendedahan kandungan kepada bahan seperti dadah, tembakau, alkohol atau jangkitan yang boleh menjejaskan perkembangan janin.
Ciri-Ciri Disleksia
Memetik MyHealth, pesakit boleh menunjukkan beberapa ciri-ciri sejak di bangku sekolah. Antara ciri-ciri awal disleksia yang boleh dikenal pasti ialah :
- Tidak mampu menguasai pembelajaran menulis, mengira dan membaca.
- Cenderung untuk membaca huruf dan nombor secara terbalik seperti. ” b dan d”, nombor 6 dengan 9 dan sebagainya.
- Keliru dengan konsep masa seperti semalam, hari ini dan esok.
- Sukar untuk faham, ingat dan mengikut arahan.
- Sukar untuk lakukan aktiviti harian tertentu seperti mengikat tali kasut, membutang baju dan mengira duit.
Kondisi Yang Berkait Dengan Disleksia
Sesetengah individu yang alami disleksia juga boleh alami kondisi lain seperti :
Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD)
Individu yang didiagnos dengan ADHD mengalami masalah tumpuan dan sukar fokus di samping sering berkelakuan terlalu hyper.
Autisme
Individu dengan autisme pula mempunyai masalah perkembangan otak, sukar untuk bersosial dan sering mengulang perkataan serta perbuatan.
Masalah Yang Mungkin Dialami Orang Disleksia
Ketidakmampuan mereka dalam pembelajaran asas boleh mendedahkan mereka kepada masalah seperti :
- Sering merasa rendah diri sehingga boleh membentuk personaliti yang negatif.
- Masalah tingkah laku
- Gangguan emosi seperti kemurungan
- Tercicir dari pembelajaran sekolah
Cara Membantu Kanak-Kanak Dengan Disleksia
Mereka perlulah dibantu sebaiknya agar mereka dapat mengikuti pembelajaran seperti kanak-kanak biasa. Antara strategi yang boleh diambil bagi membantu mereka ialah :
- Berikan sokongan kepada kanak-kanak serta ibu bapa mereka.
- Rawat ganggguan lain yang terkait seperti ADHD.
- Tingkatkan potensi pembelajaran dengan pendekatan yang lebih berkesan seperti :
- Terapi pertuturan
- Latihan pendengaran melalui penggunaan komputer
- Latihan deria
- Latihan penulisan nombor dan perkataan
- Daftarkan kanak-kanak ke sekolah yang mempunyai Program Pendidikan Khas Integrasi khusus untuk pelajar disleksia.
- Dapatkan sokongan daripada Persatuan Disleksia Malaysia
Peranan Ibu Bapa dan Guru
Semakin cepat masalah ini dikenal pasti, semakin mudah untuk kanak-kanak dibimbing. Oleh itu para ibu bapa dan guru perlulah mengambil berat akan perkembangan pembelajaran kanak-kanak di sekolah.
Keistimewaan Orang Disleksia
Walaupun mereka alami kesukaran ketika memasuki alam persekolahan, tahap IQ dan kecerdasan mereka tidak terjejas malahan mungkin lebih tinggi daripada orang normal.
Kanak-kanak dengan disleksia tidak sepatutnya dilabel sebagai bodoh atau lembap.
Sebaliknya, mereka memerlukan pendekatan pelajaran yang berbeza dan boleh dibantu dengan cara tertentu supaya mereka dapat menunjukkan prestasi setanding kanak-kanak biasa.
Mereka juga boleh berfikir dengan lebih kreatif dan boleh menunjukkan potensi yang mengejutkan jika diberi galakan dan sokongan.
Seperti orang lain, mereka juga berpotensi tinggi dan boleh menguasai bidang yang digemari. Contoh tokoh hebat yang turut didiagnos disleksia adalah Albert Einstein dan Steve Jobs.
Ibu bapa juga diharap dapat bersabar dan jangan patah semangat ketika membimbing anak-anak ini dan jangan sesekali merendahkan mereka.
Para guru juga seharusnya memberi bimbingan yang baik serta memantau perkembangan anak-anak murid agar tidak keciciran dalam kelas.
Disebabkan keunikan mereka dalam cara berfikir, kanak-kanak disleksia perlulah diberikan bantuan khusus untuk mereka fahami tulisan dan kira-kira dengan lebih baik.
Mereka tidaklah cacat mental tetapi mereka mempunyai cara berfikir yang berbeza berbanding orang lain.
Sumber :
Disleksia
http://www.myhealth.gov.my/disleksia/
Apa Itu Dyslexia ?
http://www.dyslexiamalaysia.org/dyslexia/apa-itu-dyslexia
Dyslexia
https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/dyslexia/symptoms-causes/syc-20353552