Doa Naik Kenderaan: Bacaan Rumi & Adab Menaiki Kenderaan

Berita kes kemalangan jalan raya saban hari ditulis di dada akhbar bagaikan pisang goreng panas yang hangat diperkatakan.

Bahkan, musim perayaaan sudah menjadi seakan-akan badi yang membawa kenaikan mendadak kepada kes kemalangan maut.

Tentunya, ini memberikan satu gambaran buruk, dan mengerikan bagi setiap pengguna jalan raya di Malaysia.

Islam mengajarkan kepada kita untuk membaca doa naik kenderaan sebelum memulakan perjalanan bagi memohon perlindungan daripada melapetaka di sepanjang perjalanan atau menaiki kenderaan.

Justeru, konsep berdoa adalah amat penting untuk bersama kita hayati, amalkan dan munajatkan kepada Nya. Firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ عِندَ رَبِّكَ لَا يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِهِ وَيُسَبِّحُونَهُ وَلَهُ يَسْجُدُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya mereka (malaikat) yang ada di sisi Tuhanmu tidak bersikap angkuh (ingkar) daripada beribadat kepada Nya, dan mereka pula bertasbih bagi Nya, dan kepada Nyalah jua mereka sujud.” – (Surah al-A`raf, ayat 206)

Doa naik kenderaan

“Subhana alladhi sakh khara la na hadha wa ma kunna la hu muqrinin. Wa inna ila Rabbi na la munqalibuun”

Maksudnya: “Segala puji bagi Allah, Maha suci tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum ini tidak terdaya menguasainya.”

Doa keluar rumah

“Bismillahi, tawakkaltu ‘alallah. Laa haula wa laa quwwata illa billaah”

Maksudnya : “Dengan nama Allah, aku bertawakal kepada Allah. Tiada daya, dan kekuatan kecuali dengan Allah.”

Doa ketika bermusafir

“Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.. Subhaanal lazii sakh kharalana hazaa wa maa kuna la huu muq rinin wa inna iIaa Rabbina lamung qalibuun. Allahumma inna nas aluka fii safarinaa hazaal birra wattaqwaa, waminal amali maa tardhaa.

Allahumma hawwin ‘alainaa safara naa hazaa wa atwi anna bu’dah. Allahumma antas soohiibu fissa fari wal khalii fatu fil ahli. Allahumma innaa na ‘uuzubika min wa’thaa issa rar. Waka aa batil mang zhori wa suu ilmung qalabi fil maali wal ahli.”

Maksudnya: “Allah Maha Besar! Allah Maha Besar! Allah Maha Besar! Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya -“Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali!” Ya Allah! Kami mohon daripada Mu agar permusafiran kami ini di atas kebaikan dan ketaqwaan, dan dikira sebagai amalan yang Engkau redha.

Ya Allah kami mohon agar musafir ini menjadi ringan atas kami, Engkau lipatkanlah jaraknya (supaya menjadi pendek). Ya Allah! Engkaulah Peneman ketika musafir! Penjaga bagi ahli keluarga yang ditinggalkan! Ya Allah! Kami mohon agar engkau peliharalah kami daripada kesusahan ketika musafir, pemandangan yang mendukacitakan dan kepulangan yang buruk pada harta dan keluarga.” – (Hadis Riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud, dan lain-lain)

Adab naik kenderaan

1. Merancang perjalanan

Sesuatu perkara apabila dirancang sebelum dibuat adalah lebih baik hasilnya berbanding sesuatu yang tidak mempunyai perancangan sama sekali. Dengan melakuakan perancangan sebelum memulakan perjalanan, kita boleh menjimatkan masa, kos, dan lebih selesa sepanjang pemanduan.

2. Memulakan langkah dengan kaki kanan

Sesuatu yang baik, disunatkan untuk memulakan langkah dengan kaki kanan. Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW:

Maksudnya : “Daripada Aisyah RA berkata, Rasulullah S.A.W sangat menyukai mendahulukan yang kanan ketika memakai sandal, ketika menyisir rambut dan ketika bersuci, juga dalam setiap perkara yang baik-baik.” –  (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

3. Membaca bismillah

Kalimah “Bismillahirrahman nirrahim” membawa erti yang besar tentang kebesaran Allah SWT terhadap setiap makhluknya. Menyerahkan 100% penyerahan dirinya kepada Allah SWT setelah berusaha, dan berdoa.

4. Membaca doa menaiki kenderaan

Doa naik kenderaan dibaca bagi membawa kita mencari kebaikan, dan ketakwaan sepanjang perjalanan agar Allah SWT menghidarkan dari pemandangan buruk, kesusahan semasa dalam perjalanan, dan memudakan perjalanan.

5. Berhati-hati, dan berdisiplin

Jika kita memandu sendiri, maka patuhilah segala peraturan jalan raya yang telah ditetapkan. Namun sekiranya kita menggunakan kenderaan awam, pastikan kita melakukan kedua-duanya sekali iaitu mematuhi peraturan menaiki kenderaan awam, dan mengamalkan nilai-nilai murni apabila bertemu dengan penumpang lain.

6. Hormat-menghormati dengan memberikan keutamaan kepada orang yang memerlukan

Yang sihat mengalahlah dengan yang sakit. Yang mudah mengalahlah dengan yang tua. Sikap toleransi, dan hormat-menghormati dalam masyarakat seperti ini membolehkan kita membentuk sebuah komuniti yang tenteram, dan harmoni.

7. Tidak berebut-rebut semasa menaiki kenderaan

Beratur, dan tidak berebut-rebut semasa menaiki kenderaan khususnya kenderaan awam adalah nilai yang baik untuk diamalkan oleh semua orang.

8. Menjaga kebersihan, dan tidak merosakkan kenderaan awam

Harta benda awam seperti kenderaan awam merupakan milik setiap orang. Ia bukanlah hak kekal individu. Sebaliknya hanya pinjaman untuk digunakan dalam jangka masa yang lama.

Kelebihan dalam beradab semasa menaiki kenderaan

Banyak manfaatnya sekiranya kita beradab semasa menaiki kenderaan. Antara kelebihan tersebut adalah seperti:

  • Menanam rasa prihatin, dan toleransi
  • Disayangi oleh Allah, dan Rasul
  • Selamat tiba ke destinasi yang ingin ditujui
  • Disenangi oleh orang sekeliling

Kesimpulan

Perjalanan yang baik adalah perjalanan yang mempunyai niat yang jelas, tujuan yang baik, dan destinasi yang ingin ditujui itu juga mestilah bermanfaat serta mendatangkan kebaikan. Diharapkan dengan panduan doa menaiki kenderaan ini, kita boleh memperolehi kebaikan di sepanjang perjalanan.

Rujukan

  1. Doa Menaiki Kenderaan. Bidadari.my dari, https://bidadari.my/doa-naik-kenderaan/
  2. BAYAN LINNAS SIRI KE-99 : KAPAL TERBANG DAN KEPENTINGAN DOA MUSAFIR. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dari, https://muftiwp.gov.my/en/perkhidmatan/artikel-soal-jawab/771-bayan-linnas-siri-ke-99-kapal-terbang-dan-kepentingan-doa-musafir
SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Hannani Juhari
Hannani Juhari

Seorang Digital Nomad yang mempunyai passion dalam dunia penulisan kreatif. Pernah menulis untuk website theAsianparent Malaysia, Cari Destinasi, Bidadari dan Direct Lending. Menjadikan buku dan muzik sebagai terapi.

Articles: 113