Doa Pembuka Majlis Serta Adab Di Dalam Majlis

Artikel pada kali ini akan berkongsi kepada anda mengenai lafaz doa pembuka majlis juga adab-adab yang perlu dilakukan ketika di dalam majlis untuk panduan semua.

Islam menggalakkan untuk ke majlis ilmu

Tiada halangan kepada umat Islam untuk ke mana-mana majlis sekalipun yang penting ia tidak bertentang dengan syarak dan mempunyai tujuan yang baik. Namun Islam amat menggalakkan umatnya untuk ke majlis ilmu tidak kiralah ia di masjid, surau, sekolah, hatta di kedai kopi sekalipun sekiranya ada penyampaian ilmu yang bermanfaat kita disarankan untuk terlibat.

Doa pembuka majlis dibaca untuk memohon doa kepada Allah SWT supaya diberikan keberkatan di dalam majlis tersebut serta diampunkan semua orang yang hadir segala dosa-dosanya.

Himpunan doa pembuka majlis

Ini adalah panduan beberapa pilihan doa pembuka majlis yang diperoleh daripada sumber Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan diyakini kesahihannya.

Doa pembuka majlis 1

Segala kepujian dan kesyukuran dipersembahkan ke hadhrat Mu Ya Allah di atas limpah rahmah perlindungan kepada kami sekalian dengan aman tenteram, sihat wal’afiat dan selamat sejahtera. Kami memohon kepada Mu Ya Allah semoga diperkukuhkan perpaduan, dipereratkan persaudaraan dan diperkuatkan keazaman, hasrat dan cita-cita agar sentiasa mendapat keredhaan Mu Ya Allah.”

Kami juga memohon kasih sayang Mu Ya Allah agar jiwa dan kehidupan kami berada dalam aman di dunia agar kami dapat mengimarahkan bumi sepertimana yang Engkau perintahkan, maka daripada Engkaulah sahaja Ya Allah kami memohon bantuan dan pertolongan.

Kami dengan segala rendah diri memohon agar Engkau kurniakan kami dan hamba-hambaMu sekalian dengan taufik dan hidayah, sentiasa di bawah pimpinan dan petunjukMu Ya Allah, mudah-mudahan segala usaha dan amal yang kami tunaikan akan mendapat sepenuh kejayaan dalam keredhaan dan restu Mu di sepanjang zaman.

Berkatilah negara Malaysia ini dan rahmatilah di bawah perlindungan Mu sekalian yang bersangkutan dengannya semoga mendapat pertunjuk dari Mu ke jalan yang Engkau redhai serta dengan penuh kehormatan dan kesucian, di samping meninggikan syiar Mu dalam semua bidang.

Peliharakanlah kami dan negara kami daripada segala bala bencana. Jauhkanlah kami sekalian daripada segala ancaman dan pengkhianatan. Bersihkanlah negara kami dari segala anasir jahat. Pandulah kami semua ke jalan yang benar, adil dan saksama dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Kekalkanlah Ya Allah kebenaran, keadilan, perpaduan, ketenteraman dan kemakmuran dalam negara bertuah ini.

Doa pembuka majlis 2

Ya Allah, Ya Tuhan kami, Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, kami berhimpun pada hari ini berdoa memohon rahmat dan hidayah dari Mu.

Semoga dengan rahmat itu,
Engkau berikan petunjuk kepada kami, Engkau perkukuhkan perpaduan kami,
Engkau memperbaiki urusan Agama dan dunia kami.

Ya Allah, Ya Tuhan kami yang memiliki segala kekuasaan dan kemuliaan, kurniakanlah taufik dan hidayah Mu kepada kami, restuilah perancangan kami, bimbinglah kami dengan petunjuk Mu yang berterusan. Pimpinlah kami sekalian ke jalan yang lurus dan benar yang membawa kepada ketenteraman dan kesejahteraan. Hindarkanlah kami sekalian dari segala mala petaka dan sifatsifat yang keji. Selamatkanlah kami sekalian dari perselisihan yang boleh membawa perpecahan dan kebinasaan. Anugerahkanlah kepada kami kekuatan dan keupayaan untuk merangka strategi dan dasar negara bagi mencapai kecemerlangan dan kesejahteraan serta matlamat wawasan sebagaimana yang kami cita-citakan.

Ya Allah, Ya Tuhan kami, kami pohonkan limpah rahmat, taufik dan hidayah bagi pemimpin-pemimpin dan seluruh rakyat negara yang tercinta. Mantapkanlah semangat dan keazaman mereka dengan penuh kesabaran dan bertawakkal kepada Mu dalam memikul tanggungjawab memajukan negara supaya disanjung tinggi, bertaraf dunia dan disegani, di bawah ri’ayah Mu dan naungan Mu.

Doa pembuka majlis 3

Ya Allah Ya Tuhan kami, kami bersyukur tidak terhingga atas limpah kurnia Mu dan memohon keberkatan yang berterusan dalam setiap perancangan dan seterusnya mengambil keputusan sebagai panduan dalam mentadbirkan urusan negara kami Malaysia yang tercinta ini dengan kemas dan teratur. Semoga segala nikmat di bumi yang bertuah ini kami berjaya manfaatkannya sebagai meningkat dan memantapkan ekonomi negara kami.

Ya Allah, Ya Tuhan kami, kami memohon peliharakanlah hamba-hamba Mu dalam sihat wal’afiat dan aman sentosa sepanjang hayat.

Ya Allah, kami memohon limpah kurnia taufiq dan hidayah agar para pemimpin di segenap lapisan dan peringkat, pegawai-pegawai dalam semua tingkatan Persekutuan dan Negeri, serta seluruh rakyat Malaysia, seia sekata berganding bahu melaksanakan tanggungjawab dengan ikhlas dan penuh semangat, berkerjasama bermuafakat untuk memaju dan memakmurkan negara dan mempertahankan kesucian agama kami, membimbing rakyat kearah mencapai wawasan negara.

Doa pembuka majlis 4

Ya Allah kami memohon agar pertemuan mesyuarat ini dianugerahkan hidayah dan taufik agar urusan harian kami berjalan dengan lancar, beroleh kejayaan dan keberkatan.

Ya Allah, kami dipertanggungjawabkan dengan amanah yang berat, maka anugerahkanlah kepada kami keupayaan dan kemampuan untuk melaksanakan
amanah dan tanggungjawab tersebut.

Jadikanlah majlis ini sentiasa mendapat pertunjuk ke jalan yang diredhai serta hindarkanlah hati-hati kami dari sifat-sifat buruk yang boleh merosakkan
keharmonian dan perpaduan.

Selamatkanlah kami dan jadikanlah zaman ini zaman yang bertambah-tambah aman dan tenteram semoga negara kami terus maju lagi makmur dan rakyat dapat hidup bersatu, bantu-membantu di antara satu sama lain demi kesejahteraan bersama.

Doa pembuka majlis 5

Ya Allah Ya Tuhan kami, Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, kami berhimpun di majlis yang mulia dan bersejarah ini memohon rahmat dan hidayah dari sisi Mu.

Semoga dengan rahmat itu,
Engkau berikan hidayah dan petunjuk dan menyatukan pemikiran kami, Engkau perkukuhkan perpaduan kami, Engkau hindarkan fitnah dan pertelingkahan di kalangan kami, Engkau memperbaiki urusan agama dan dunia kami.

Ya Allah, kami memohon taufiq dan hidayahMu dalam setiap perkara dan restuilah perancangan dan pembangunan yang disusun dan diatur oleh kami dalam usaha memajukan negara kami. Bimbinglah para pemimpin kami yang memikul amanah dan tanggungjawab dalam pentadbiran negara kami dengan sinaran petunjuk Mu yang berterusan. Pimpinlah kami sekalian ke jalan yang lurus dan benar yang membawa kepada ketenteraman dan kesejahteraan. Hindarkanlah kami sekalian dari segala malapetaka dan sifat-sifat keji, hasad dengki, boros, dan semua sifat negatif. Ya Allah selamatkanlah kami sekalian dari perselisihan yang boleh membawa perpecahan dan kebinasaan. Anugerahkanlah kepada kami kekuatan dan keupayaan untuk merangka strategi dan dasar negara bagi mencapai kecemerlangan dan kesejahteraan serta matlamat wawasan sebagaimana yang kami cita-citakan.

Kami pohonkan limpah rahmat, taufiq dan hidayat bagi pemimpin kami di segenap lapisan dan seluruh rakyat negara yang tercinta. Mantapkanlah semangat dan keazaman mereka dengan penuh kesabaran dan bertawakkal kepada Mu dalam memikul tanggungjawab memajukan negara dan agama supaya disanjung tinggi dan disegani.

Doa pembuka majlis 6

Ya Allah, kami pohon perlindungan dari Mu dari segala hasutan syaitan mahu pun kejahatan insan, kami pohon keselamatan dan kesejahteraan agar hidup dalam aman dan tenteram, selamatkanlah kami dari segala keburukan, jauhkanlah kami dari segala bala, wabak mahu pun penyakit yang menyusahkan.

Ya Tuhan kami, Engkaulah yang Maha Mengetahui apa yang tersirat dalam hati dan sanubari kami, Engkaulah yang lebih mengetahui hajat dan tujuan kami pada saat ini, kami mengakui dengan penuh kesedaran dan keinsafan tentang kebesaran dan kekuasaan Mu Ya Allah. Lantaran itu kami menadah tangan di samping memohon keselamatan dan kesejahteraan yang berterusan, kami juga ingin melahirkan kesyukuran yang tidak terhingga atas nikmat keselamatan dan kesejahteraan yang telah Engkau kurniakan.

Ya Allah, Engkaulah yang lebih mengetahui tentang hati dan perasaan kami, kami yakin bahawa hanya kudrat dan iradat Mu sahaja yang dapat menyelamatkan kami dari segala rupa bentuk keburukan mahu pun bala bencana, hanya kekuasaan Mu jua yang telah menyelamatkan kami dari segala maksiat mahu pun wabak yang sedang melanda kami.

Ya Allah, kemurahan Mu kami pohonkan, ihsan Mu kami harapkan, Rahman dan Rahim Mu kami pinta, semoga kami sentiasa dilindungi dan dinaungi dengan sepenuh riayah dan pemeliharaan Mu, kami akui bahawa kami sentiasa terdedah kepada bahaya dan keburukan, lebih-lebih lagi manusia yang mempunyai hasad dengki di atas sedikit kelebihan yang dikurniakan kepada kami, justeru itu, kami pohonkan Ya Allah, Engkau peliharakanlah serta hindarkanlah kami daripada segala bahaya dan keburukan itu.

Sekiranya keburukan telah Engkau qadha ke atas kami, sekiranya kecelakaan telah Engkau tetapkan akan menimpa kami, maka dengan Rahman dan Rahim Mu Ya Allah kami pohonkan, hindarkanlah kami dari segala keburukan dan kecelakaan itu, agar dapat kami hidup lebih bererti dan lebih bermakna.

Menurut Jakim, sebaiknya doa didahului dengan bacaan dalam Bahasa Arab dan kemudiannya barulah dengan doa dalam bahasa lain. Di akhir doa pula jangan lupa untuk mengakhirinya dengan bacaan selawat dan Tahmid dalam Arab.

Adab-adab dalam majlis

  • Masuk melalui pintu hadapan.
  • Berjalan tegap jangan teragak-agak.
  • Mulakan dengan salam jika majlis belum bermula.
  • Tidak perlu memberi salam jika majlis sedang berlangsung. Lebih baik masuk secara senyap agar tidak menganggu majlis.
  • Cari tempat duduk yang berhampiran.
  • Ikuti agenda yang sudah ditetapkan.
  • Jangan banyak menoleh ke kiri, kanan, dan belakang.
  • Jangan berdiri di tengah-tengah kumpulan orang yang duduk.
  • Tutup telifon bimbit.
  • Tidak tidur.
  • Duduk dengan tenang dan sopan.
  • Sekiranya diberikan peluang untuk bercakap, hendaklah bercakap dengan sopan, teratur, dan tidak meninggi diri.
  • Apabila tiba giliran orang lain bercakap, hendaklah mendengar dengan teliti dan tekun.

Kesimpulan

Semoga dengan panduan doa pembuka majlis ini dapat membantu mana-mana individu yang bertugas untuk membaca doa sebelum majlis bermula.

Rujukan

  1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Hannani Juhari
Hannani Juhari

Seorang Digital Nomad yang mempunyai passion dalam dunia penulisan kreatif. Pernah menulis untuk website theAsianparent Malaysia, Cari Destinasi, Bidadari dan Direct Lending. Menjadikan buku dan muzik sebagai terapi.

Articles: 113