Doa Pengantin Baru Bagi Pasangan Yang Baru Menikah (Rumi)
Setiap manusia di dunia ini Allah SWT jadikan berpasang-pasangan. Dan itulah fitrah manusia untuk saling melengkapi dengan cinta serta kasih sayang antara seorang lelaki dan wanita dengan ikatan sebuah perkahwinan yang sah atas ijab dan qabulnya. Sebagai saudara seIslam apabila mendengar seseorang itu mendirikan rumah tangga, maka kita digalakkan untuk membaca doa pengantin baru memohon agar diberikan keberkahan dalam melayari bahtera rumah tangga.
Konsep perkahwinan dalam Islam adalah akad yang menghalalkan antara lelaki dan wanita untuk hidup bersama-sama.
Allah SWT menciptakan manusia berpasang-pasangan seperti firman Nya yang bermaksud: “Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan pasangan semuanya baik daripada apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan daripada diri mereka mahupun daripada apa-apa yang mereka tidak ketahui.” – (Surah Yasin, ayat 36)
Allah SWT menjadikan setiap satu itu berpasang-pasangan di dunia ini agar ia saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Bayangkan jika kita hidup sendiri sahaja, sudah tentu rasa sepi dan sunyi itu melanda. Melihat rakan-rakan yang sudah berumah tangga dan mempunyai anak, pasti kita teringin juga rasa menjadi seorang suami atau isteri.
Kehidupan berpasangan akan melahirkan ketenangan yang hanya mampu dirasai bagi mereka yang telah pun berumah tangga. Bahkan, akan rasa lebih bersemangat untuk bekerja dan melakukan ibadah kepada Allah SWT.
Bagaimana Rasulullah SAW bertemu jodoh dengan Saidatina Khatijah, Saidatina Fatimah dengan Saidina Ali RA, dan Nabi Yusuf AS dengan Zulaikha, begitu indah kisah cinta mereka.
Doa Pengantin Baru 1
Barakallahu laka wa ‘alaika. Wajama’a bainakuma fii khair
Maksudnya: “Semoga Allah memberkati pernikahan ini bagimu, dan untukmu selanjutnya, serta mempertemukan kamu berdua dalam keadaan yang penuh kebajikan.”
Doa Pengantin Baru 2
Barakallahu likulli waahidin minnaa fii soohibihi
Maksudnya: “Semoga Allah memberkati setiap daripada kita pada temannya.”
Doa Pengantin Baru 3
Allahumma inni as aluka khairoha. Wa khairo Maa Jabaltaha ‘Alaihi. Wa a’uzububika min syarriha. Wa syarri maa jabaltaha ‘alaihi
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku mohon kepada Mu akan kebajikan dan kebaikan yang ada padanya, dan aku berlindung dengan Mu daripada hal kejahatannya dan kejahatan yang ada padanya.”
Kelebihan bernikah dan mendirikan rumah tangga
1. Mengikuti sunnah Rasul dan Nabi
Tugas para Rasul dan Nabi adalah sebagai pemimpin untuk membimbang manusia ke jalan yang benar. Oleh itu mencontohi sunnah Rasulullah SAW adalah galakkan yang amat baik untuk memperoleh pahala yang besar termasuk dalam suruhan untuk bernikah.
Dalam Surah Al-Ra’d, ayat 38 Allah SWT berfirman,
Maksudnya: “Demi sesungguhnya Kami (Allah) telah mengutuskan Rasul sebelum kamu dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan juga keturunan.”
2. Jiwa lebih tenang dan tenteram
Al-Baihaqi RA meriwayatkan daripada Rasulullah SAW,
Maksudnya: “Apabila telah berkahwin seseorang hamba itu, maka ia telah memenuhi separuh agamanya. Maka bertakwalah ia kepada Allah pada separuh yang belum disempurnakan lagi.”
Perkahwinan akan menjadikan kita lebih bahagia, hati lebih tenang, dan jiwa lebih tenteram dengan hadirnya seorang pasangan yang boleh dicurahkan segala kasih dan sayang.
Allah SWT berfirman dalam Surah Ar-Rum, ayat 21,
Maksudnya: “Dan antara tanda-tanda membuktikan kekuasaan dan rahmat Nya, bahawa ia telah menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra bersamanya, dan jadikanlah antara kamu perasaan cinta dan kasih sayang.”
3. Memperoleh rezeki yang berlimpah-ruah daripada Allah SWT
Tidak dinafikan membina sebuah rumah tangga memerlukan komitmen, tanggungjawab, dan amanah yang besar. Namun ini tidak bermakna kita boleh mengetepikan soal berkahwin lalu mencari harta bermati-matian untuk selama-lamanya.
Ingat, Allah SWT Maha Kaya dan Maha Pemurah, tidak akan Dia memberikan kita sesuatu tanpa bantuan dari Nya.
Nabi SAW juga ada bersabda dalam sebuah hadis,
Maksudnya: “Sesiapa yang meninggalkan berkahwin kerana takut miskin, maka dia bukanlah daripada golonganku.” – (Hadis Riwayat Abu Daud)
4. Melahirkan ramai zuriat
Setiap pasangan suami isteri mahu dikurniakan zuriat sebagai penguat ikatan cinta dan kasih sayang dalam rumah tangga. Anak adalah penyeri yang memberi sinar bahagia.
Dengan lahirnya ramai cahaya mata, maka akan terbentuklah juga sebuah generasi Islam yang akan memakmurkan dunia suatu hari nanti.
Daripda Ma’qal Bin Yasar, Rasulullah SAW bersabda,
Maksudnya: “Berkahwinlah kamu dengan wanita pengasih dan subur kerana aku akan berbangga dengan jumlah kamu yang ramai.” – (Hadis Riwayat Abu Daud)
5. Hidup lebih berdisipin
Setiap ahli dalam keluarga mempunyai tanggungjawab masing-masing bermula dari suami, isteri, ibu, bapa, dan anak-anak. Amanah dan tanggungjawab ini akan membentuk peribadi yang berdisiplin dan hidup yang lebih sistematik.
Kesimpulan
Jodoh itu sangat istimewa. Soal pasangan, jodoh, dan perkahwinan semuanya Allah sudah tetapkan sejak kita dalam rahim ibu lagi. Usah berputus asa untuk mendapatkan jodoh yang baik. Saat ini kita melihat pada diri kita yang bernoda dosa. Allah menyuruh kita untuk memperbaiki diri.
Memperbaiki diri kerana Allah bukan kerana manusia. Jika sandarannya Allah. Kelak jika kita sudah berubah kepada kebaikan. Lalu Allah hadirkan jodoh yang bukan di impikan. Maka saat itu keikhlasan dan redha akan hadir.
Rujukan
- Bayan Linnas Siri Ke-121: Nikah… Mencari Sakinah Rahmah dan Mawaddah. Mufti Wilayah Persekutuan
- Jangan Ucap Tahniah Saja Tapi Bacalah Doa Diajarkan Rasulullah Ini Untu Kebahagian Pengantin Baru. Kashoorga.com