Doa Tidur: Sebelum dan Selepas Serta Adab Yang Perlu Diamalkan

Islam agama yang syumul iaitu mempunyai ajaran yang menyeluruh dalam sistem hidup manusia. Umat Islam dibekalkan dengan peraturan yang meliputi semua perkara dari sebesar-besar permasalahan hinggalah sekecil-kecilnya.

Malah untuk tidur juga kita telah diberikan panduan dan sunnah yang boleh diikuti seperti doa tidur, berwuduk, membaca surah Al-Mulk, dan sebagainya.

Doa Tidur

Bismikallohumma ahya wa amuutu

Maksudnya: “Dengan nama Mu Ya Allah, aku dihidupkan dan aku dimatikan.” – (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Doa Bangun Tidur

Alhamdu lillahil ladzii ahyaanaa ba’da maa amaa tanaa wa ilahin nusyuuru

Maksudnya: “Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami (dengan bangun tidur) setelah mematikan kami (dengan tidur) dan hanya kepada Nya lah kami akan dibangkitkan.” – (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Doa ketika bermimpi buruk

اَللّٰهُمَّ إِنّىِ أَعُوْذُ بِكَ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ وَسَيِّئاَتِ اْلأَحْلاَمِ

Allaahumma innii a’uudzubika min ‘amalisy syaithaani wa sayyiaatil ahlami

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku mohon perlindungan kepada Engkau dari perbuatan setan dan dari mimpi-mimpi yang buruk.”

Adab-adab ketika hendak tidur

Sebelum kita tidur, sebaik-baiknya kita amalkan beberapaadab ketika tidur ini untuk mendapatkan tidur yang yang lebih berkualiti dan lena. Antara adab tersebut adalah:

1. Berdoa

Walaupun dalam keadaan tidur, kita masih memerlukan pertolongan Allah SWT agar dihindarkan dari sebarang perkara yang buruk. Contohnya seperti mimpi buruk dan gangguan syaitan.

Ini jelas menunjukkan kita memang hamba Nya yang sangat lemah dan tidak mampu mengawal apa yang berlaku dengan kekuatan kita. Hal ini kerana ia diluar batasan kemampuan kita.

Berdoa juga dapat melatih diri untuk sentiasa mengingati Allah SWT. Bukan sahaja tiap kali solat kita berdoa, tetapi setiap masa. Hal ini kerana, perjalanan hidup seseorang di luar solat lebih panjang seperti perlu bekerja dan sebagainya.

Firman Allah SWT mengenai anjuran berzikir kepada-Nya (mengingati-Nya) yang bermaksud: “Maka apabila kamu telah menyelesaikan solatmu, ingatlah Allah diwaktu berdiri, diwaktu duduk dan diwaktu berbaring.” – (Surah An-Nisa, ayat 103)

2. Berwuduk

Amalan berwudhu sebelum tidur adalah salah satu sunnah yan diamalkan oleh Rasulullah SAW. Rasulullah SAW ada bersabda dalam Bukhari dan Muslim bahawa:

“Apabila kamu mahu tidur ambil wuduk dulu seperti kamu mahu sembahyang, kemudian baringlah di sebelah kanan.”

3. Tidur awal waktu

Tidur yang cukup mampu memberikan manfaat kepada manusia seperti meningkatkan memori dan kebolehan untuk belajar, mengawal selera makan, meningkatkan kualiti kesihatan kulit, meningkatkan daya fokus seseorang, dan meningkatan daya kerja yang lebih efektif dan efisien.

4. Menggosok gigi

Anda mesti tidak menyangka bahawa sikap malas menggosok gigi selepas makan dan sebelum tidur boleh menyumbang kepada pelbagai penyakit yang membawa maut seperti penyakit jantung, strok, pneumonia, gangguan pernafasan, dan radang pada rahang.

Fakta ini memang telah disahkan oleh Perunding Pergigian Restoratif. Hal ini kerana, bakteria yang terkumpul dalam mulut dan tidak dibersihkan akan masuk ke dalam salur darah dan melekat pada organ yang penting dalam badan seperti jantung dan sebagainya.

5. Membaca surah-surah pilihan

Dari Aisyah RA berkata: “Rasulullah SAW apabila hendak berangkat ke tempat tidurnya setiap malam, baginda mengambl kedua-dua belah telapak tangan tangannya lalu meniupkan keduanya dan membacakan surah Al-Ikhlas, Al-Falaq, dan An-Naas. Kemudian baginda mengusap dan tercapai kedua tangannya. Dimulai dari atas kepala, muka serta bahagian belakangnya sebanyak tiga kali.” – (Hadis Riwayat Muslim)

Sebagaimana diriwayatkan oleh Jabir RA bahawa sudah menjadi kebiasaan Rasulullah SAW tidak akan tidur selagi tidak membaca Tabarakallazi biyadihil Mulk dan Alim Lam Miim Sajadah (surah As Sajdah dan surah Al Mulk).

Daripada Jabir beliau berkata:

أَنَّ النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- كَانَ لاَ يَنَامُ حَتَّى يَقْرَأَ الم تَنْزِيلُ وَ تَبَارَكَ الَّذِى بِيَدِهِ الْمُلْكُ

“Sesungguhnya Nabi Saw. tidak tidur hingga beliau membaca surah تَنزِيلُ الٓمٓ (Surah al-Sajdah) dan تَبَارَكَ الَّذِى بِيَدِهِ الْمُلْكُ” – (Hadis Riwayat Tirmizi)

Dengan membaca Al-Quran sebelum tidur, dapat menghindarkan diri kita dari mimpi buruk, terhindar dari gangguan syaitan, dapat bangun kembali keesokan harinya dengan keadaan yang baik, dan membentuk rasa syukur seorang hamba kepada Tuhannya.

6. Berbaring pada sisi kanan

Menurut Ibn Qayyim, “Tidur berbaring pada sisi kanan dianjurkan dalam Islam agar seseorang tidak susah untuk bangun solat malam. Tidur pada sisi kanan lebih bermanfaat untuk jantung. Manakala, tidur pada sisi kiri juga bagus untuk badan tetapi membuat seseorag semakin malas.”

Berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW, “Berbaringlah di atas rusuk kananmu.” – (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Ini jelas menunjukkan bahawa adab tidur yang dianjurkan mengiring ke sebelah kanan mempunyai banyak manfaatnya dari segi sains dan kesihatan manusia seperti mengurangkan tekanan jantung, meningkatkan waktu penyerapan zat makanan, dan sebagainya.

Kesimpulan

Masih mampu untuk bangun setiap pagi setelah tidur, adalah satu nikmat yang sangat besar dari Allah SWT kepada kita. Oleh itu, kita haruslah sentiasa bersyukur kerana diberikan nafas lagi untuk menjalani kehidupan ini dan bertaubat kepada Allah SWT.

Rujukan

  1. Rasa Takut Nak Tidur, Bacalah Doa Ini & Kita Tak Akan Alami Mimpi Buruk Lagi (Ogos, 2021). Kashoorga dari https://www.kashoorga.com/rasa-takut-nak-tidur-bacalah-doa-ini-kita-tak-akan-alami-mimpi-buruk-lagi/
  2. Doa Tidur, Doa Bangun Tidur dan Adab Tidur (Bacaan Rumi) (March, 2022). Aku Muslim Asia dari, https://akumuslim.asia/doa-sebelum-tidur-dan-doa-bangun-tidur-kelebihan-nya/
  3. Al-Khafi Li Al-Fatawim: Soalam 158 (Januari, 2016). Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1720-adab-berbaring
SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Hannani Juhari
Hannani Juhari

Seorang Digital Nomad yang mempunyai passion dalam dunia penulisan kreatif. Pernah menulis untuk website theAsianparent Malaysia, Cari Destinasi, Bidadari dan Direct Lending. Menjadikan buku dan muzik sebagai terapi.

Articles: 113