Gastrik : Punca, Simptom dan Kaedah Rawatan

Gastrik ialah keradangan yang berlaku di dinding perut akibat kecederaan daripada hakisan asid perut.

Badan akan bertindak balas dengan mengeluarkan cecair mukus bagi melindungi dinding perut daripada asid perut.

Namun, pengeluaran asid secara berlebihan boleh menyebabkan lapisan perut terhakis teruk.

Gastrik akut boleh menyerang pada bila-bila manakala gastrik kronik menyebabkan keradangan jangka masa panjang jika tidak dirawat segera.

Bagi kes yang lebih teruk, ia boleh mengakibatkan keradangan sehingga berlakunya pendarahan dan ulser pada lapisan dinding perut.

Pada kebanyakan masa, gastrik normal boleh dirawat segera dan tidak membahayakan.

Baca Juga : Punca Sakit Perut Belah Kiri Yang Anda Perlu Tahu

Simptom Gastrik

Biasanya simptom bagi masalah ini tidak ketara. Namun, ia boleh menunjukkan beberapa gejala seperti :

  • Muntah dah loya
  • Perut terasa penuh di bahagian atas abdomen terutamanya selepas makan
  • Ketidakhadaman

Sekiranya anda mengalami gastrik yang lebih teruk, gejala lain juga berlaku seperti :

  • keluar tinja berwarna kehitaman
  • muntah darah
gastrik
Kredit Foto : siraplimau.com

Punca Gastrik

Penyakit ini boleh berpunca daripada gaya hidup seseorang atau jangkitan kuman. Antara punca yang dapat dikenalpasti ialah :

1.       Jangkitan kuman Helicobacter pylori

Jangkitan kuman H. pylori merupakan punca gastrik yang sering dikenalpasti.

Apabila bakteria ini menyerang, ia akan menghakis lapisan perut sehingga membuatkan bahagian perut mudah cedera akibat asid perut.

Jangkitan ini boleh berpindah dari seorang individu kepada individu lain melalui makanan dan air yang tercemar.

2.       Pengambilan Ubat Tahan Sakit

Penyakit ini juga boleh berlaku akibat pengambilan ubat tahan sakit seperti aspirin dan ibuprofen secara kerap.

Ubat ini bertindak dengan mengurangkan rembesan hormon prostaglandin bagi mengurangkan rasa sakit.

Namun, prostaglandin juga penting bagi penghasilan mukus perut untuk melindungi dinding perut.

Kekurangan hormon ini boleh menyebabkan lapisan perut mudah terdedah kepada asid perut. 

gastrik
Kredit Foto : indianexpress.com

3. Tabiat Merokok dan Minum Alkohol

Kedua-dua tabiat ini tidak mendatangkan manfaat buat kesihatan serta boleh menyebabkan iritasi pada lapisan perut. 

4. Stres

Stres boleh berlaku dalam pelbagai tahap namun kemurungan dan keresahan yang teruk boleh memberikan kesan buruk kepada kesihatan.

Ia juga boleh menyebabkan orang mengalami pelbagai gejala termasuklah gastrik. 

5. Peningkatan Usia 

Menjelang usia semakin meningkat lapisan perut lebih cenderung untuk menjadi semakin nipis. Ini membuatkan mereka lebih berisiko untuk mengalami gastrik. 

gastrik

6. Penyakit Autoimun

Bagi pesakit autoimun, radang gastrik boleh berlaku apabila badan menyerang sel-sel yang membentuk lapisan perut.

Antara penyakit autoimun yang dikenalpasti boleh menyebabkan gastrik ialah penyakit Hashimoto, diabetes jenis 1 (type 1 diabetes) dan kekurangan zat vitamin B-12.  

Rawatan Gastrik

Bergantung kepada punca, ia perlu dirawat dengan pendekatan yang berbeza. Contoh rawatan yang boleh dilakukan ialah :

  • Kurangkan kadar asid perut dengan pengambilan antasid seperti Gaviscon atau omeprazole. 
  • Elakkan makanan panas dan pedas secara berlebihan. 
  • Untuk gastrik yang berlaku akibat jangkitan H. pylori, doktor akan memberikan antibiotik serta ubat penghalang asid. 

Komplikasi Gastrik

Sekiranya penyakit ini tidak dirawat, ia boleh menyebabkan penipisan sel perut sehingga berlakunya masalah yang lebih serius seperti ulser perut serta pendarahan. 

Oleh itu, anda perlulah dapatkan rawatan segera jika simptom masih tidak reda selepas mendapatkan rawatan awal. 

Tips Pencegahan Gastrik

Masalah ini boleh dicegah dengan perubahan diet yang lebih baik untuk kesihatan badan terutamanya perut.

Antara tips yang anda boleh cuba adalah seperti berikut : 

  • Makanan dalam sukatan kecil dengan lebih kerap. 
  • Kurangkan pengambilan makanan yang boleh menyebabkan iritasi perut seperti makanan pedas, berasid, bergoreng dan berminyak. 
  • Berhenti merokok dan kurangkan pengambilan minuman keras. 
  • Elakkan stres dengan bersenam dan carilah hobi yang menenangkan minda. 

Penyakit ini tidak boleh dipandang ringan dan perlu dirawat secepat mungkin bagi mengelakkan komplikasi yang tidak diingini. 

Dapatkan nasihat daripada doktor jika masalah ini berlarutan. 

Sumber :

https://rootofscience.com/blog/2020/kesihatan/perubatan/

https://www.healthline.com/health/gastritis#diagnosis

Leave a Reply

Your email address will not be published.