Hernia (Angin Pasang) : Gejala, Jenis dan Kaedah Rawatan

Hernia juga lebih dikenali sebagai angin pasang. Walaupun sering dialami oleh lelaki, sebenarnya ia boleh berlaku pada sesiapa sahaja tanpa mengira jantina dan usia.

Hernia berlaku apabila kandungan dalam satu kawasan badan terbonjol keluar daripada kedudukan yang sepatutnya.

Kandungan ini biasanya adalah sebahagian usus atau lemak tisu abdomen yang diselaputi oleh lapisan yang juga membentuk kantung hernia.

Ia juga boleh berlaku di beberapa bahagian badan seperti :

  • Umbilical hernia : Angin pasang yang berlaku pada bahagian pusat.
  • Epigastric hernia : Angin pasang yang berlaku pada bahagian atas abdomen
  • Lumbar hernia : Angin pasang yang berlaku pada bahagian belakang badan
  • Incisional hernia : Angin pasang yang berlaku pada kawasan pembedahan sebelum ini.
Kredit Foto : nigeriagalleria.com

Baca Juga : Gastrik : Punca, Simptom dan Kaedah Rawatan

Punca Hernia

Beberapa faktor boleh menyumbang kepada berlakunya angin pasang seperti :

  • Berat badan berlebihan
  • Batuk yang serius
  • Meneran semasa membuang air besar atau kecil
  • Mengangkat objek berat
  • Penyakit paru-paru kronik
  • Ascites iaitu pengumpulan air dalam abdomen akibat masalah kesihatan seperti kegagalan buah pinggang dan masalah hati
  • Penyakit Chronic Obstructive Airway Disease (COAD) akibat tabiat merokok
  • Mempunyai sejarah keluarga yang pernah mengalami hernia
hernia

Gejala

Gejala bagi angin pasang adalah berbeza bergantung kepada jenis dan tahap kesakitan.

Sesetengah pesakit hanya mengadu tentang bonjolan yang timbul tetapi boleh ditolak semula.

 Ada juga kes hernia yang melibatkan bonjolan yang sangat sakit dan tidak boleh disentuh.  

Terdapat beberapa jenis gejala yang boleh dialami pesakit iaitu :

1. Angin Pasang Surut

  • Bonjolan baru ini boleh ditemui di bahagian kelangkang atau kawasan abdomen lain
  • Biasanya bonjolan tidak sakit namun pesakit boleh rasa senak atau sedikit sakit bila disentuh
  • Apabila abdomen mengalami tekanan seperti berdiri atau batuk, bonjolan akan timbul atau semakin membesar
  • Hernia pada peringkat ini boleh di tolak masuk balik ke dalam abdomen (reducible).

2. Angin Pasang Tidak Surut

  • Mungkin sebelum ini bonjolan tersebut boleh ditolak semula, namun pada tahap ini ia tidak boleh ditolak masuk dengan tangan.
  • Ia sering berlaku pada pesakit yang tidak mendapatkan rawatan awal. Kesannya, ia boleh menjadi lebih kronik sehingga menyebabkan angin pasang terbelit.

3. Angin Pasang Terbelit

  • Ia bermula apabila angin pasang tidak surut dan mengalami belitan pada bukaan hernia.
  • Ia berlaku apabila kandungan bonjolan seperti usus tidak mendapat bekalan darah secukupnya akibat himpitan salur darah di lubang bukaan hernia.
  • Bonjolan yang timbul sakit, tidak boleh disentuh dan ditekan masuk balik ke abdomen.
  • Kulit yang berbonjol kelihatan merah atau kehitaman
  • Pesakit boleh menjadi lesu dan demam.
  • Rawatan kecemasan dan pembedahan segera perlu dilakukan bergantung kepada keadaan.

Jenis-Jenis Angin Pasang

1. Inguinal Hernia

Angin pasang jenis ini sering terjadi pada lelaki berbanding wanita.

Ia berlaku di bahagian kelangkang dan boleh dibahagikan kepada 2 jenis iaitu langsung dan tidak langsung.

Kedua-dua jenis ini pula dibezakan berdasarkan kepada puncanya. Pemeriksaan klinikal adalah amat penting bagi membezakan kedua-duanya.

hernia
Kredit Foto : gordonsurgical.com

Angin Pasang Tidak Langsung

Keadaan ini berlaku apabila kandungan bonjolan terkeluar melalui jalan yang pernah dilalui testes semasa perkembangan di peringkat janin dahulu.

Pada peringkat awal janin, testes berada di dalam abdomen dan semasa janin membesar, ia turun ke bawah sehingga masuk ke dalam buah zakar.

Sebelum bayi lahir, jalan ini biasanya tertutup tetapi boleh menjadi tempat berlakunya hernia pada masa akan datang.

Dalam sesetengah kes, kantung hernia boleh membonjol sehingga ke dalam buah zakar.

Hernia jenis ini juga boleh berlaku pada semua peringkat umur.

Angin Pasang Langsung  

Hernia ini berlaku pada kawasan dinding abdomen yang agak kurang tebal.

Ia biasanya tidak menonjol ke dalam skrotum.

Berbanding angin pasang tidak langsung yang boleh berlaku di semua peringkat usia, hernia ini sering berlaku pada golongan pertengahan usia dan warga tua akibat dinding abdomen yang semakin lemah apabila umur meningkat.

2. Hernia Femoral

Saluran femoral merupakan laluan salur darah arteri, vena dan saraf femoral mengunjur dari abdomen untuk memasuki kawasan peha.

 Kebiasaannya saluran ini padat dan ketat, namun ia boleh menjadi besar untuk membolehkan kandungan abdomen menonjol ke dalam saluran tersebut.

Hernia femoral boleh menyebabkan bonjolan di bahagian bawah pelipat kelangkang dan di kawasan tengah peha.

Jenis angin pasang ini pula sering dialami oleh para wanita dan lebih berisiko untuk tidak bersifat pasang surut (irreductible).

Dengan erti kata lain, ia tidak boleh ditolak masuk.

hernia
Kredit Foto : torranceherniacenter.com

3. Hernia hirisan

Apabila seseorang melalui pembedahan abdomen, dinding abdomen mereka boleh berubah dari segi  struktur terutamanya pada bahagian yang dihiris.

Ini menjadikan kawasan bekas hirisan menjadi lemah dan terdedah kepada angin pasang.

Namun peratusan untuk hernia ini berlaku selepas pembedahan abdomen hanyalah 2 % ke 10 % sahaja.

Kaedah Rawatan

Umumnya, semua jenis angin pasang perlulah dibedah melainkan pesakit tidak boleh lakukannya atas faktor kesihatan lain.

Rawatan disasarkan bergantung kepada jenis hernia seperti berikut

Rawatan Bagi Angin Pasang Boleh Surut

Jika tiada masalah kesihatan, doktor akan mengesyorkan pembedahan bagi mengelakkan risiko angin pasang terbelit.

Namun doktor tidak akan mencadangkan pembedahan sekiranya bukaan hernia adalah besar dan risiko untuk terbelit adalah sangat rendah.

Di samping itu, pembedahan untuk menutup bukaan yang besar juga adalah rumit.

Pemeriksaan berkala perlulah dijalankan bagi melihat progres hernia agar tidak menyebabkan komplikasi pada masa akan datang.

Rawatan Angin Pasang Tidak Surut

Semua kes angin pasang tidak surut perlulah diberikan rawatan kecemasan kerana boleh menyebabkan risiko angin pasang terbelit.

Bagi menyurutkan atau memasukkan semula angin pasang, doktor boleh memberikan ubat tahan sakit dan ubat peregang otot (muscle relaxant).

Sekiranya berjaya, rawatan susulan adalah bergantung kepada keadaan angin pasang tersebut dalam keadaan surut.

Sekiranya gagal, pembedahan kecemasan perlu dilakukan.

Tips Elakkan Angin Pasang

Bagi mengelakkan masalah ini, anda boleh amalkan beberapa tips seperti berikut :

1. Dapatkan Berat Badan Ideal

Berat badan berlebihan boleh menyebabkan otot bahagian abdomen lemah dan boleh mengundang risiko angin pasang.

hernia

2. Banyakkan Pengambilan Makanan Berserat

Makanan tinggi kandungan serat boleh mengelakkan masalah sembelit dan buasir yang boleh menjadi punca berlakunya hernia.

3. Bersenam dan Angkat Berat Dengan Kaedah Betul

Bagi senaman latihan angkat berat, ia perlulah dilakukan dengan cara yang betul.

Ini bagi mengelakkan kemalangan dan kecederaan pada abdomen sehingga mengakibatkan angin pasang.

4. Berhenti Merokok

Perokok boleh menyebabkan batuk hingga dinding abdomen menjadi lemah.

Tabiat merokok juga tidak mendatangkan sebarang kebaikan pada kesihatan.

Bagi pesakit yang sudah terkena hernia, anda dinasihatkan untuk tidak berlengah berjumpa doktor. Rawatan segera adalah penting bagi mengelakkan komplikasi angin pasang terbelit. Pesakit juga perlu elakkan meneran dan mengangkat objek berat.

Sumber :

Hernia (Angin Pasang)

Portal MyHEALTH – Kementerian Kesihatan Malaysia

Angin Pasang : Punca, Simptom dan Rawatan

https://thediagnosa.com/

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Nazirah Hassan
Nazirah Hassan
Articles: 85