HFMD: Langkah Pencegahan Penyakit Tangan, Kaki & Mulut

Tahukah anda tentang apa itu HFMD — hand, foot, and mouth disease?

HFMD atau penyakit tangan, kaki dan mulut mula menjadi perhatian rakyat apabila banyak sekolah ditutup ekoran penularan penyakit ini.

Terkini di Selangor HFMD melepasi paras bahaya apabila lebih 300 kanak-kanak telah dijangkiti wabak penyakit terbabit (1).

Apa Itu Penyakit HFMD?

Mengikut maklumat dari portal rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia, HFMD disebabkan oleh virus enterovirus meliputi Coxsackie Virus A16 (Cox A16) dan Enterovirus 71 (EV 71) yang biasanya mengjangkiti kanak-kanak berumur bawah 5 tahun (2).

HFMD mudah berjangkit terutama apabila berlaku sentuhan langsung dengan cecair hidung, air liur, lepuh (blister) dan najis kanak-kanak yang dijangkiti serta sentuhan pada permukaan dan alatan permainan yang tercemar dengan virus HFMD.

Antara simptom dijangkiti penyakit tangan, kaki dan mulut ini ialah demam, sakit kepala, hilang selera makan, luka (ulcer) di mulut, ruam atau lepuh di tapak tangan dan kaki.

HFMD selalunya menyebabkan jangkitan ringan dan sembuh dengan sendiri.

Namun begitu, segelintir jangkitan HFMD yang disebabkan oleh jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi seperti radang otak dan jantung.

Langkah-Langkah Pencegahan

Apakah langkah pencegahan penularan penyakit HFMD?

Langkah pencegahan terbaik adalah menjaga kebersihan diri dan persekitaran. Ini kerana penularan jangkitan HFMD sangat berkait rapat dengan amalan kebersihan diri dan persekitaran di mana ia mudah berlaku di tempat sesak serta mutu kebersihan yang rendah.

Selain itu, ibu bapa juga boleh mengamalkan langkah pencegahan di bawah:

  • Cuci tangan dengan sabun dan air bersih sebelum menyediakan makanan, selepas ke tandas, selepas menukar lampin anak dan selepas mencuci najis anak
  • Tutup mulut dan hidung dengan tisu apabila bersin atau batuk
  • Jangan berkongsi barang-barang peribadi seperti berus gigi, sapu tangan, tuala, cadar, cawan, sudu dan garpu
  • Mandi dan tukar pakaian selepas pulang dari tempat kerja sebelum bermesra dengan bayi atau anak kecil
  • Cuci alat mainan, permukaan meja, kerusi dan lantai yang dicemari air liur anak
  • Elakkan membawa anak kecil ke tempat umum yang sesak seperti pusat membeli belah, pawagam, kolam renang, pasar dan stesyen bas

Sekiranya anak anda mempunyai tanda-tanda dan gelaja penyakit tangan, kaki dan mulut sila bawa anak anda dengan segera ke hospital atau klinik berhampiran.

Dan pastikan jangan hantar anak anda ke rumah pengasuh, tadika atau sekolah supaya orang lain tidak dijangkiti sama penyakit HFMD.

Dan akhir sekali lap lelehan dari mulut dan hidung menggunakan tisu.

Leave a Comment