Aduh, Jeragat! Macam Mana Nak Hilangkannya?

Semua orang inginkan wajah yang bebas daripada sebarang jerawat dan jeragat. Walau bagaimanapun, bukan semua orang bertuah untuk memiliki kulit yang sihat dan bebas dari sebarang cela.

Semua orang mempunyai parut jerawat, jeragat, ruam dan macam-macam lagi pada kawasan kulit wajah walaupun kita bertindak membersihkan muka setiap hari.

Jeragat merupakan satu masalah wajah yang normal. Walau bagaimanapun, sama seperti jerawat, ia sukar untuk dihilangkan. 

Tetapi, masalah ini tidak merbahaya dan terbentuk disebabkan radiasi ultraungu yang dipancarkan matahari.

Ingin tahu lebih lanjut mengenai jeragat dan cara untuk mengatasinya? Jom ikuti penjelasan kami di bawah.

Sebenarnya, apa itu jeragat?

jeragat

Jeragat merupakan bintik-bintik kecoklatan pada kawasan kulit wajah yang terbentuk disebabkan pendedahan terhadap sinaran matahari.

Bintik-bintik hitam ini terbentuk disebabkan lokasi sel yang mengandungi melanin yang berdekatan antara satu sama lain.

Jeragat tidak membahayakan kesihatan dan selalunya berlaku disebabkan pendedahan berlebihan terhadap cahaya matahari.

Masalah jeragat sebenarnya amat lazim dalam kalangan individu yang mempunyai tona kulit yang cerah.

Ia merupakan masalah kosmetik dan bukanlah masalah perubatan.

Jeragat baik atau buruk?

Sebenarnya, tidak ada yang baik atau buruk mengenai jeragat. Malah, ia merupakan sesuatu yang berlaku secara semula jadi.

Tidak seperti tahi lalat, jeragat tidak akan membawa sebarang masalah kesihatan.

Malah, ia juga tidak akan mendatangkan sebarang kebaikan kepada kulit wajah kita.

Ada orang yang sukakan jeragat pada wajah mereka kerana ia membina ‘karakter’. 

Walaupun begitu, ada juga yang ingin mengurangkan atau membuang jeragat daripada kulit wajah mereka.

Antaranya ialah dengan menggunakan rawatan seperti rawatan laser, chemical peel, penggunaan krim retinoid dan sebagainya.

Namun, kesemua rawatan ini agak mahal dan boleh mencecah ratusan ringgit.

Bolehkah kita mencegah jeragat?

Mungkin sukar untuk kita menghilangkannya secara 100%.

Walaupun begitu, ada beberapa langkah yang anda boleh lakukan untuk memudarkannya pada kulit wajah.

Antara langkah yang mungkin berkesan ialah:

1.  Pakai pelindung matahari

Pelindung matahari atau sunscreen mungkin tidak dapat membantu menghilangkan jeragat, namun ia terbukti dapat menghalang sebarang pembentukan baharu.

Menurut American Academy of Dermatology, kita haruslah memakai sunscreen setiap hari, walaupun ketika hari mendung.

Malah, mereka juga menggalakkan agar semua orang:

  1. Memilih pelindung matahari dengan SPF 30 atau lebih tinggi.
  2. Pakai sunscreen sekurang-kurangnya 15 minit sebelum keluar rumah.
  3. Pakai semula sunscreen setiap 2 jam atau selepas membasahkan muka dan bersenam.

2.  Lakukan rawatan laser

jeragat

Kepada individu yang ingin menghilangkan jerawat secara kekal, anda mungkin perlu melakukan rawatan laser.

Ada beberapa jenis rawatan laser yang berbeza. Oleh sebab itu, dapatkan nasihat daripada pakar sebelum melakukannya.

Sebelum rawatan, anda mungkin akan dibekalkan dengan beberapa jenis ubat atau krim yang perlu digunakan sebelum prosedur.

Anda mungkin perlukan masa 2 minggu untuk benar-benar sembuh daripada rawatan laser.

Bukan itu sahaja, anda juga mungkin perlukan beberapa melakukan beberapa sesi rawatan untuk mendapatkan keputusan yang diingini.

3.  Rawatan chemical peel

Chemical peel merupakan sejenis rawatan yang melibatkan penggunaan bahan kimia pada kawasan kulit.

Rawatan ini akan menggalakkan pengelupasan kulit lama dan rosak.

Chemical peel dapat mengurangkan jeragat dan membuatkan wajah nampak lebih muda dan segar.

Sebelum melakukan rawatan, berbincang dahulu dengan doktor ataupun pakar kecantikan yang bertugas.

Mereka dapat memberikan konsultasi selaras dengan keputusan yang anda inginkan.

4.  Gunakan krim retinol

Retinol merupakan sejenis serum vitamin A. Ia boleh memudarkan jeragat dan sesuai untuk digunakan oleh semua jenis kulit.

Penggunaan krim retinol bukan sahaja dapat menambahbaik tona dan tekstur kulit wajah, ia juga boleh melawan sebarang tanda-tanda penuaan.

5.  Bolehkah kita menggunakan kombinasi rawatan?

Selalunya, doktor dan pakar kecantikan akan memberi nasihat mengenai kombinasi penggunaan rawatan dan ubat tertentu yang sesuai untuk masalah ini.

Walau bagaimanapun, pastikan anda mengikut nasihat pakar dan bukannya melakukan rawatan sendiri! Buruk padahnya nanti.

Penggunaan bahan-bahan semula jadi

jeragat

Ada beberapa jenis bahan-bahan semula jadi yang mungkin dapat menghilangkan jeragat. Antaranya adalah:

1.  Madu: Campurkan madu dan gula untuk menghasilkan skrub. Madu mempunyai bahan-bahan yang boleh memudarkan jeragat memperbaiki tona wajah.

2.  Yogurt: Gunakan yogurt sebagai masker pada waktu malam. Ia mengandungi asid laktik yang boleh memudarkan jeragat.

3.  Buttermilk: Cuba sapukan buttermilk pada wajah anda. Kemudian, biarkan selama 10 minit. Buttermilk juga mengandungi asid laktik yang dapat memutihkan wajah anda.

4.  Bawang: Bawang boleh bertindak sebagai yang baik untuk kulit. Sapukannya pada wajah dan kemudian basuh dengan air suam.

Berhenti menggunakan bahan-bahan ini jika anda mengalami sebarang tindak balas negatif.

Ia mungkin boleh merosakkan kulit wajah anda jika digunakan secara berlebihan.

Rujukan

  1. https://www.india.com/lifestyle/how-to-remove-freckles-permanently-and-get-spotless-skin-4080777/
  2. https://www.healthline.com/health/beauty-skin-care/how-to-get-rid-of-freckles#causes
SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: