Rendah Lemak dan Tinggi Protein, Ini Manfaat Ikan Siakap Untuk Kesihatan

Ikan siakap mula menjadi sebutan masyarakat apabila timbul kes harga hidangan ikan ini yang tidak masuk akal apabila dinikmati di Langkawi.

Seperti yang kita tahu, siakap merupakan spesis ikan yang sangat popular di kalangan rakyat Malaysia.

Isi putihnya yang lazat, padat serta lembut menjadikan ikan siakap sering dipilih untuk diolah kepada pelbagai hidangan seperti sup, lauk tiga rasa dan digoreng.

Ikan dengan nama saintifiknya Lates calcarifer sering dijumpai di perairan Asia Tenggara, Papua New Guinea serta Utara Australia.

Baca juga : Protein Lebih Tinggi Dari Salmon, Ini Khasiat Ikan Keli Yang Anda Perlu Tahu

Kredit Foto : clairatlantic.com

Pada masa kini, ikan ini biasanya diternak bagi memenuhi permintaan tinggi pasaran makanan laut.

Sebenarnya, ikan siakap yang pernah viral beberapa bulan dahulu ini tidak kurang hebatnya dalam membekalkan khasiat kepada tubuh badan.

Bukan sekadar sumber protein yang baik, ikan siakap juga menawarkan pelbagai vitamin serta mineral penting seperti selenium, fosforus dan kalium.

Pengambilan ikan ini turut disyorkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia berdasarkan infografik di bawah.

ikan siakap
Kredit : Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia

Mari kita kenali khasiat ikan siakap dengan lebih mendalam !

Khasiat Ikan Siakap Pada kesihatan

1. Tinggi Khasiat Protein

Ikan siakap seberat 170 gram dapat membekalkan sehingga 35 gram protein. Jumlah ini sudah merangkumi 76% keperluan protein bagi wanita serta 62% keperluan protein bagi lelaki dewasa.

Pengambilan sumber protein yang mencukupi dalam diet juga amat penting bagi mencegah badan daripada pelbagai penyakit kronik seperti diabetes,kanser dan penyakit jantung.

2. Sumber Vitamin B1 Yang Baik

Tidak seperti kebanyakan ikan lain, ikan siakap dapat membekalkan vitamin B1 yang penting untuk sistem saraf.

 Di samping itu, vitamin B1 juga penting bagi memastikan jantung dapat berfungsi dengan baik.

3. Membantu Mengawal Tekanan Darah

Kandungan asid lemak omega-3 yang tinggi dalam ikan ini iaitu 0.93 gram dalam setiap 100 gram menjadikan ia cukup baik untuk diambil bagi menurunkan tekanan darah tinggi serta mengawal paras kolesterol.

Satu kajian juga membuktikan bahawa pengambilan 1 hingga 1.5 gram asid lemak omega-3 daripada sumber ikan setiap hari selama 3 bulan juga dilihat membantu dalam mengawal tekanan darah secara berkesan.

ikan siakap

4. Sumber Kalsium Yang Baik

Mungkin ramai yang tidak tahu,sebenarnya ikan boleh menjadi alternatif bagi produk tenusu untuk anda dapatkan sumber kalsium harian.

Ikan siakap mampu menawarkan kebaikan kalsium yang agak tinggi iaitu 16.2 miligram bagi setiap 100 gram berat ikan.

 Di samping menguatkan tulang, kalsium juga sangat baik dalam membantu mengepam darah masuk dan keluar daripada jantung.

Selain kalsium, ikan siakap juga padat dengan mineral penting lain yang baik untuk kesihatan tulang seperti selenium, zink, dan magnesium.

5. Melindungi Kesihatan Sistem Saraf

Selain vitamin B1, ikan siakap juga sangat baik untuk dimakan sebagai sumber protein kerana kaya dengan vitamin B6 dan B 12.

Vitamin B6 memberikan kebaikan pada sistem saraf, menguatkan sistem pertahanan badan bagi melawan penyakit serta menggalakan proses metabolisma dalam badan.

Seperti vitamin B6, vitamin B 12 juga menyokong fungsi sel saraf. Ia turut memainkan peranan dalam menghasilkan sel darah merah serta DNA secara optimum.

6. Membantu Mengawal Berat Badan

Ikan yang turut dikenali dengan nama barramundi ini mengandungi separuh jumlah lemak dan kalori  berbanding ikan salmon di samping membekalkan nutrient serta protein yang tinggi.

Ini menjadikan ikan siakap baik untuk diambil bagi individu yang sedang mencari alternatif yang lebih baik bagi sumber protein.

Protein yang berasal dari makanan laut juga merupakan pilihan yang baik berbanding daging merah serta baik untuk perkembangan tisu, otot, tulang serta fizikal secara keseluruhannya.

ikan siakap

7. Baik Untuk Kesihatan Mata

Ikan ini juga kaya dengan manfaat vitamin A iaitu antioksida yang memainkan peranan dalam melindungi kesihatan mata serta penglihatan.

Ia bertindak dengan mencegah aktiviti radikal bebas yang boleh menyebabkan degenerasi makular dan katarak.

Pengambilan vitamin A yang mencukupi setiap hari juga penting bagi memastikan kesihatan mata terjaga menjelang usia semakin meningkat.

Kebaikan yang ditawarkan ikan siakap menjadikannya sumber protein yang sesuai diamalkan.

Ia juga padat dengan khasiat vitamin dan mineral penting untuk badan seperti vitamin A, B1, B6, B12 serta mineral seperti kalsium, selenium dan magnesium.

Bagi memaksimakan khasiatnya, anda perlulah masak ikan ini dengan cara yang sihat sama ada secara kukus, panggang atau gunakan air fryer.

Jika mahu goreng, kawal penggunaan minyak dan pilihlah minyak sayuran seperti minyak jagung atau minyak sawit sebagai alternatif yang lebih baik.

Sumber :

Barramundi Nutrition Information

https://www.livestrong.com/article/180156-barramundi-nutrition-information/

7 Incredible Benefits Of Barramundi

https://www.organicfacts.net/health-benefits/animal-product/barramundi.html

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Nazirah Hassan
Nazirah Hassan
Articles: 85