Memahami Istihadah: Cara Membezakan, Hukum & Penjelasannya

Kaum hawa memang sangat istimewa kerana mereka dijadikan cukup unik oleh Allah SWT. Para ibu boleh melalui proses mengandung, melahirkan dan menyusukan anak. Manakala para wanita pada umumnya boleh melalui proses menstruasi pada setiap bulan serta nifas dan istihadah juga.

Apakah maksud istihadah?

Istihadah adalah darah yang keluar secara berterusan bagi seorang wanita. Ia keluar tanpa terputus-putus atau mungkin terputus sekejap seperti sehari-dua dalam sebulan.

Istihadah menurut syarak ialah darah penyakit wanita yang keluar daripada hujung urat yang berada di bawah rahim yang dikenali sebagai ( العاذل) selepas tempoh sebanyak-banyak haid atau selepas tempoh sebanyak-banyak nifas atau darah keluar berterusan selepas hari kebiasaan haid.

Dalil bagi kes pertama, yakni darah keluar tanpa terputus-putus ialah sebagaimana aduan Fathimah binti Abi Hubaisy RA kepada Rasulullah SAW sebagaimana di dalam Shahih al-Bukhari“Ya Rasulullah! Sesungguhnya aku tidak suci” manakala dalam satu riwayat yang lain: “Aku didatangi istihadah maka aku tidak suci.”

Dalil bagi kes kedua, yakni darah keluar dengan terputus sekejap ialah kisah Himnah binti Jahsy RA yang datang menemui Rasulullah SAW lalu berkata: “Ya Rasulullah, sesungguhnya aku didatangi darah istihadah yang banyak.” [Musnad Ahmad, Sunan Abu Daud dan Sunan al-Tirmizi dan beliau (al-Tirmizi) mensahihkannya.]

Hukum darah istihadah

Hukum bagi istihadah agak berbeza dengan haid dan nifas. Wanita istihadah dihukumkan seperti wanita suci yang membolehkan dia melakukan solat, puasa, dan semua ibadah.

Berkata  Imam al-Nawawi:

الْمُسْتَحَاضَةَ كَالطَّاهِرِ فِي الصَّلَاةِ وَالصَّوْمِ وَالِاعْتِكَافِ وَالْقِرَاءَةِ وَغَيْرِهَا

“Orang yang sedang istihadah seperti (mengambil hukum) orang yang suci dalam (hukum) solat, puasa, iktikaf, membaca al-quran dan lain-lain.

Perintah kewajipan melakukan solat bagi perempuan yang sedang beristihadah  berdasarkan riwayat Aisyah RA, Fatimah binti Abu Hubaish menemui Rasulullah SAW  kemudian dia bertanya:

Maksudnya: “Wahai Rasulullah! Aku perempuan yang mengalami darah istihadah dan masih belum bersuci, adakah aku perlu meninggalkan solat? Jawab Baginda SAW: Tidak,, kerana darah itu daripada urat ( darah penyakit)  bukannya darah haid. Maka ketika kedatangan haid tinggalkanlah solat dan apabila tempohnya habis haid  ( kadar adatnya).   Maka kamu mandilah , dan dirikanlah solat.” – (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sebab berlaku darah istihadah

Banyak sebab yang boleh membawa kepada seseorang wanita itu mengeluarkan darah istihadah. Namun masalah yang kerap berlaku adalah disebabkan oleh:

1. Mengandung

Kandungan yang bermasalah akan berlaku pendarahan berpanjangan sehingga 12 minggu berturut-turut. Ini juga dikenali dengan darah istihadah

2. Ovulasi

Ovulasi boleh mengeluarkan pendarahan tidak normal dari faraj.

3. Kanser

Kanser pada bahagian faraj khususnya seperti cervix, uterus dan sebagainya.

4. Pil perancang kehamilan

Wanita yang ingin merancang kehamilan akan mengambil pil perancang kehamilan untuk elak dari mengandung. Sebenarnya, ada sesetengah kes di mana pengambilan ubat-ubatan ini akan menyebabkan pendarahan tidak normal pada faraj.

5. Polycystic ovary syndrome (PCOS)

PCOS adalah masalah kesihatan yang berlaku disebabkan hormon yang tidak stabil. Ianya akan menganggu proses ovulasi seseorang menjadi tidak normal.

Ciri-ciri darah istihadah

Sifat darah istihadah agak berbeza dengan haid dari segi masa, warna dan teksturnya.

  • Berwarna sama ada merah, merah muda, kuning, atau keruh
  • Tekstur darah cair dan kurang baunya
  • Berlaku kurang dari tempoh haid iaitu sehari semalan atau lebih dari 15 hari
  • Boleh berlaku dalam tempoh nifas atau sedang mengandung
  • Berlaku ketika datang haid (belum baligh) atau sudah menopaus

Cara mengira darah istihadah

Sebelum mengira darah istihadah ada dua perkara yang perlu kita tahu iaitu pegangan mazhab yang diguna dan juga tempoh kiraan haid yang berlaku setiap bulan.

Bagi mazhab Syafie tempoh minimum bagi haid adalah sehari semalam (24 jam). Manakala tempoh maksimum bagi haid adalah selama 15 hari. Jika darah yang keluar selepas daripada itu, maka ia dihukum sebagai darah istihadah atau darah yang berpenyakit.

Darah haid ialah darah yang normal bagi seorang wanita kalau ia keluar ikut tempohnya. Contohnya, 25 hari atau kurang daripada 24 jam itu adalah darah istihadah.

Perkara-perkara harus dilakukan ketika istihadah

  • Bersolat fardhu atau sunat
  • Berpuasa wajib atau sunat
  • Tawaf
  • Baca Al-Quran
  • Menyentuh mashaf
  • Masuk ke dalam masjid
  • Beriktikaf dalam masjid

Kesimpulan

Kaum hawa seharusnya peka dan arif berkenaan dengan isu fekah kewanitan seperti ini. Hal ini kerana, untuk mengelakkan kita dari was-was dalam menentukan waktu suci untuk beribadah kepada Allah SWT.

Rujukan

  1. Petunjuk Al-Quran dan Al-Sunnah Berkenaan Haid, Istihadah dan Nifas oleh Syaikh Muhammad Al-Shalih Al-‘Utsaimin
  2. Saharah Ahmad Mahadi & Wan Yusof Wan Chik. (2018). Pengurusan istihadah menurut fiqh Islam dan perubatan.
  3. Ismail Kamus & Azrul Azren. (2009). Indahnya hidup bersyariat. Telaga Biru.
SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Hannani Juhari
Hannani Juhari

Seorang Digital Nomad yang mempunyai passion dalam dunia penulisan kreatif. Pernah menulis untuk website theAsianparent Malaysia, Cari Destinasi, Bidadari dan Direct Lending. Menjadikan buku dan muzik sebagai terapi.

Articles: 113