IUCD: Kaedah Kontraseptif Paling Berkesan Untuk Wanita

IUCD atau intrauterine contraceptive device merupakan sebuah alat yang diperbuat daripada plastik dan tembaga (copper). Ia sebesar duit syiling dan diletakkan di dalam rahim untuk mengelakkan kehamilan.

Di pasaran, terdapat dua jenis IUCD iaitu IUCD tembaga dan IUCD yang melepaskan hormon progestin. Alat ini turut dikenali sebagai IUD atau ‘the coil’.

Bagaimanakah IUCD berfungsi?

IUCD yang diperbuat daripada tembaga berfungsi dengan cara menghalang proses fertilisasi daripada berlaku. Ini merupakan salah satu efek tembaga di dalam alat tersebut.

Tembaga akan menyebabkan mukosa pada serviks dan rahim menjadi ‘tidak mesra’ terhadap sperma dan ovum. Ini akan menyebabkan proses implantasi menjadi sukar.

IUD yang menggunakan hormon progestin juga berfungsi dengan cara yang serupa. Ia akan menebalkan lapisan mukus pada kawasan serviks. Dalam sesetengah kes, ia juga akan menghantikan proses ovulasi.

Malah, IUD hormon juga dapat membantu wanita yang mengalami haid yang teruk (dysmenorrhea). Dalam masa yang sama, pemakaian IUD juga tidak akan menyebabkan keguguran.

IUD mempunyai banyak kelebihan dari segi kesihatan

IUCD sangat efektif. Hanya 1 atau 2 orang daripada 100 wanita yang menggunakan IUCD sebagai kaedah kontraseptif akan hamil dalam masa 5 tahun selepas penggunaan.

Sebagai perbandingan, 80 daripada 100 orang wanita yang aktif secara seksual akan hamil dalam masa setahun.

Dengan keberkesanan lebih daripada 99%, IUD merupakan salah satu cara pencegahan kehamilan yang sangat berkesan. Ia sama efektif dengan proses pensterilan atau pengikatan tiub.

Namun, tidak seperti dua prosedur tersebut, IUD boleh dikeluarkan semula. Jika doktor membuang IUD ini, anda boleh mengandung semula.

Malah, IUD juga mampu bertahan selama bertahun-tahun. Namun, ia bukanlah satu kaedah kontraseptif yang kekal. IUD perlu dipakai semula setelah tempoh tamat.

Ia juga boleh digunakan oleh wanita dari pelbagai peringkat usia, dari remaja hinggalah ke wanita dewasa.

Mengapa saya perlu memilih IUCD?

iucd

Apabila IUCD dipasang, anda tidak perlu lagi memakai alat kontraseptif lain.

Oleh sebab itu, wanita yang mengalami masalah untuk mengambil pil perancang harian disebabkan kekangan masa boleh memakai IUD yang lebih memudahkan.

Malah, pemakaian alat ini juga tidak akan memberikan kesan terhadap libido atau seks wanita.

Ia bukanlah sejenis kaedah perancang yang menggunakan hormon, oleh sebab itu, ia mempunyai tidak mempunyai kesan sampingan kepada badan.

Ini bermaksud, wanita tidak akan mengalami mood swing, penambahan berat badan atau masalah libido setelah memakai IUD. 

Disebabkan faktor inilah, ramai wanita yang beralih kepada penggunaan alat ini.

Malah, pemakaian IUD juga dapat mengurangkan risiko kanser tertentu.

Bagaimana pula dengan cara pemasangannya?

iucd

Selalunya, IUD akan dipasang selepas wanita habis haid kerana ini merupakan tempoh yang paling selesa untuk wanita. 

Selain itu, doktor juga akan membuat pemeriksaan untuk memastikan pemakai tidak mengandung.

Pemasangan IUD tidak memakan masa yang lama. Malah, prosedur boleh selesai dalam masa 10 minit.

Doktor akan memasukkan sejenis alat yang bernama speculum ke dalam vagina. Alat yang sama juga digunakan ketika doktor melakukan ujian pap smear. Kemudian, IUD akan dimasukkan ke dalam rahim.

Tali yang digunakan untuk membuang IUD akan dipotong, meninggalkan sebanyak 3 cm di dalam vagina.

Proses pemasangan IUD mungkin akan mencetuskan ketidakselesaan dalam kalangan wanita. 

Ada yang mengalami simptom seperti sakit perut yang seakan-akan senggugut dalam masa 48 jam pertama pemakaian.

Namun, kesakitan ini boleh dilegakan dengan pengambilan ubat tahan sakit seperti paracetamol atau ibuprofen. Malah, ada juga wanita yang akan mengalami pendarahan ringan sejurus selepas pemasangan.

Komplikasi yang mungkin berlaku

Antara risiko yang paling kerap berlaku selepas pemasangan IUD ialah jangkitan. 

Walau bagaimanapun, jangkitan ini amat jarang berlaku, hanya 1% sahaja yang mengalami jangkitan yang dikenali sebagai penyakit radang pelvis (PID).

Ada juga risiko untuk IUD tersebut untuk terkeluar atau termasuk ke dalam uterus.

Selalunya, wanita tidak akan sedar jika IUD tercabut daripada tempat asalnya. Jika perkara ini berlaku, IUD tidak dapat melindungi wanita daripada kehamilan.

Namun, wanita boleh melakukan pemeriksaan kendiri dengan cara merasa kedudukan tali IUD dengan jari. IUD yang terkeluar perlu dimasukkan kembali oleh doktor.

Kesimpulan

iucd

Jika anda ingin hamil kembali, anda boleh membuang IUCD yang dipasang pada bila-bila masa. Anda juga boleh kembali mengandung hampir serta-merta, sebelum haid pertama datang.

Pemasangan IUD perlu dilakukan oleh pakar. Jika anda berminat untuk memasangnya, berjumpalah doktor untuk sesi konsultasi.

Selain itu, hubungi doktor jika anda mengalami masalah berikut ketika memakai IUD:

  1. Kehamilan.
  2. Rasa tali IUD lebih panjang daripada biasa.
  3. Warna keputihan abnormal.
  4. Sakit perut atau senggugut yang berpanjangan.
  5. Sakit ketika melakukan hubungan seks.
  6. Sakit perut atau pelvis.
  7. Demam atau kerap menggigil.
  8. Pendarahan yang berat dan berpanjangan.

Rujukan

  1. Intrauterine Contraceptive Device (IUCD). Patient.info. Retrieved January 18, 2022, from https://patient.info/sexual-health/long-acting-reversible-contraceptives-larc/intrauterine-contraceptive-device
  2. The IUD (for Teens) – Nemours KidsHealth. KidsHealth. Retrieved January 18, 2022, from https://kidshealth.org/en/teens/contraception-iud.html
  3. Hormonal IUD (Mirena). (2020, February 26). Mayo Clinic. Retrieved January 18, 2022, from https://www.mayoclinic.org/tests-procedures/mirena/about/pac-20391354
  4. Inserting an IUCD | healthdirect. (n.d.). Healthdirect. Retrieved January 18, 2022, from https://www.healthdirect.gov.au/surgery/inserting-an-iucd
  5. IUD Birth Control | Info About Mirena & Paragard IUDs. (n.d.). Planned Parenthood. Retrieved January 18, 2022, from https://www.plannedparenthood.org/learn/birth-control/iud
  6. IUDs: Benefits and Side Effects to Consider. (2020, May 22). Cleveland Clinic Health Essentials. Retrieved January 18, 2022, from https://health.clevelandclinic.org/do-the-benefits-of-iuds-outweigh-the-potential-side-effects/
SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: