Kanser Hati, Ketahui Faktor & Punca Utamanya

Hati terletak pada bahagian kanan atas abdomen dan di bawah tulang rusuk kanan. Ia berfungsi untuk menapis ‘bahan-bahan’ daripada darah, meneutralkan toksik di dalam tubuh, regenerasi sel darah, menghasilkan cecair hempedu yang membantu dalam pencernaan lemak, menyimpan gula yang digunakan oleh tubuh untuk tenaga dan pelbagai lagi. 

Ini menunjukkan betapa pentingnya organ hati untuk tubuh badan manusia. Apabila seseorang menghidapi kanser hati, maka fungsi-fungsi hati akan terganggu dan mengakibatkan kesihatan tubuh badan kita terjejas. 

Kanser Hati

Mari ketahui faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko mendapat kanser hati di bawah. 

Faktor Yang Meningkatkan Risiko Kanser Hati 

  • Virus Hepatitis B & C

Antara faktor utama berlakunya kanser hati adalah disebabkan oleh jangkitan kronik (jangka panjang) dengan virus hepatitis B (HBV) atau virus hepatitis C (HCV). 

Individu yang dijangkiti oleh virus ini mempunyai risiko yang tinggi untuk menghidapi hepatitis kronik, sirosis, dan kanser hati. 

HBV dan HCV ini biasanya dapat merebak melalui perkongsian jarum yang tercemar (seperti dalam penggunaan dadah), hubungan seks tanpa perlindungan, atau melalui kelahiran.

Kanak-kanak juga boleh dijangkiti dengan virus ini melalui interaksi hubungan berpanjangan dengan ahli keluarga yang dijangkiti.

Simptom HBV yang boleh diperhatikan antaranya ialah, selesema dan badan kekuningan (mata dan kulit). Walaubagaimanapun, jangkitan virus ini boleh disembuhkan sekiranya mendapat rawatan. 

  • Sirosis

Kajian mendapati ramai penghidap kanser hati berpunca daripada sirosis. Ringkasnya, sirosis adalah penyakit di mana sel-sel hati menjadi rosak dan digantikan oleh tisu parut. 

Apabila hati mengalami kecederaan, sama ada di dalam, atau di luar, sel-selnya yang sihat akan digantikan dengan tisu parut.

Jika kecederaan berpanjangan, pembaikan hati akan diteruskan, dan semakin banyak sel-sel sihat akan digantikan dengan tisu parut, yang menyebabkan sirosis. 

  • Genetik

Kanser hati juga boleh terjadi disebabkan penyakit metabolik keturunan tertentu yang diwarisi. Sebagai contoh, individu yang mempunyai penyakit keturunan hemochromatosis. Penyakit ini menyebabkan penyerapan terlalu banyak zat besi daripada makanan. 

Sehubungan dengan itu, kandungan zat besi yang berlebihan akan mengendap dalam tisu di seluruh badan, termasuk hati lalu menyumbangkan kepada risiko yang menyebabkan sirosis dan barah hati.

Tambahan pula, terdapat juga beberapa penyakit lain yang boleh menyebabkan peningkatan risiko kanser hati seperti, tirosinemia, kekurangan Alpha1-antitrypsin, porphyria cutanea tarda, penyakit simpanan glikogen dan penyakit Wilson.

  • Merokok & Pengambilan Alkohol Berlebihan

Tidak diragukan lagi, merokok dapat meningkatkan risiko kanser hati. Hal ini kerana bahan kimia yang terdapat pada rokok sangat berbahaya untuk tubuh manusia dan boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan. 

Selain itu, pengambilan alkohol secara berlebihan juga menyumbang kepada penyebab sirosis sekaligus peningkatan risiko kanser hati.

  • Makanan Yang Mengandungi Tinggi Aflatoksin

Jangan sesekali memakan makanan yang sudah dijangkiti kulat. Kumpulan mikotoksin (aflatoksin) akan terbentuk secara semulajadi daripada kulat seperti Aspergillus flavus dan Aspergillus parasiticus.

Tahap aflatoksin yang tinggi adalah faktor risiko utama kanser hati. Risiko meningkat lebih tinggi pada orang yang mempunyai jangkitan hepatitis B atau C.

Elakkan memakan makanan yang terdedah kepada kelembapan persekitaran yang tinggi dalam tempoh masa yang panjang dan disimpan dalam keadaan berlonggok atau disimpan dalam kuantiti yang banyak yang menghalang pengaliran udara yang baik. 

  • Terdedah Kepada Bahan Kimia 

Pendedahan kepada bahan kimia berlebihan seperti vinil klorida dan torium dioksida (thorotrast) jua boleh meningkatkan risiko kanser hati. 

Walaubagaimanapun, kedua-dua bahan kimia ini sudah dihadkan penggunaannya kerana membahayakan kesihatan. 

Kesimpulan 

Bagi mengurangkan risiko mendapat kanser hati, anda digalakkan untuk mengambil vaksin hepatitis B dan mendapatkan rawatan bagi penyakit genetik anda dengan segera untuk memudahkan proses penyembuhan. Elakkan bahan kimia yang berbahaya dan amalkanlah gaya hidup sihat sentiasa.

Sumber: 

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Admin (N)
Admin (N)
Articles: 161