Kanser Limfoma: Simptom, Punca, Faktor Risiko Dan Rawatan
Kanser limfoma merupakan sejenis kanser yang menyerang sistem limfatik manusia. Kanser ini merupakan kanser keenam yang paling lazim berlaku di dunia.
Kanser limfoma terdiri daripada pelbagai jenis. Salah satunya ialah limfoma Hodgkin. Yang lain pula dikenali sebagai kanser bukan Hodgkin.
Sistem limfatik manusia terdiri daripada nodus limfa, limpa, kelenjar thymus dan juga sumsum tulang. Limfoma boleh mempengaruhi semua kawasan ini serta organ lain di seluruh badan.
Rawatan kanser limfoma bergantung kepada jenis limfoma yang dihidapi.
Oleh sebab itu, rawatan mungkin akan melibatkan kemoterapi, pemberian ubat-ubatan imunoterapi, terapi radiasi, pemindahan sumsum tulang atau gabungan dua atau lebih rawatan-rawatan ini.
Untuk pengetahuan anda, risiko untuk didiagnos dengan limfoma bukan Hodgkin ketika berusia 85 tahun ialah 1 dalam 39. Untuk limfoma Hodgkin pula, risikonya adalah 1 dalam 424.
Ada 40 jenis limfoma bukan Hodgkin yang berbeza. Semuanya memerlukan rawatan yang berbeza.
Simptom kanser limfoma
Antara simptom lazim kanser limfoma ialah:
- Demam yang tidak dapat dijelaskan.
- Bengkak pada kawasan nodus limfa seperti di leher atau ketiak.
- Perut membengkak.
- Berpeluh lebih-lebih lagi pada waktu malam.
- Rasa letih dan lesu.
- Hilang selera makan.
- Lebam atau mudah berdarah.
- Turun berat badan.
- Kerap terkena jangkitan.
- Batuk, sakit dada atau masalah bernafas.
- Muncul ruam dan sering rasa gatal.
Jika anda mengalami sebarang simptom di atas, berjumpalah doktor untuk pemeriksaan lanjut.
Walau bagaimanapun, simptom di atas bukanlah bermaksud anda menghidap kanser. Ia juga boleh menjadi tanda anda menghidap penyakit lain yang perlukan pemerhatian pakar.
Punca limfoma
Doktor masih belum pasti mengenai punca sebenar kanser limfoma.
Walau bagaimanapun, kanser ini bermula apabila sejenis sel darah putih yang dikenali sebagai limfosit (lymphocyte) mengalami mutasi genetik.
Mutasi ini mengarahkan sel tersebut membahagi secara abnormal.
Akibatnya, terlalu banyak limfosit yang berpenyakit terus membahagi. Bukan itu sahaja, sel yang tidak sihat ini akan terus hidup manakala sel yang sihat pula akan mati.
Akibatnya, sistem limfatik badan akan mula lemah. Nodus limfa, limpa serta hati akan mula membengkak lalu membuatkan badan lemah dan jatuh sakit.
Faktor risiko kanser limfoma
Ada beberapa faktor risiko yang boleh meningkatkan risiko kanser limfoma:
- Umur. Ada beberapa jenis kanser limfoma yang lebih lazim dalam kalangan orang muda. Ada juga beberapa jenis kanser yang lebih lazim dalam kalangan mereka yang berusia 55 tahun ke atas.
- Lelaki. Kaum Adam lebih berisiko menghidap kanser limfoma berbanding wanita.
- Mempunyai sistem imun yang lemah. Limfoma lebih lazim dalam kalangan individu yang mempunyai penyakit sistem imun atau dalam kalangan mereka yang mengambil ubat untuk mengekang sistem imun badan.
- Mempunyai beberapa jenis jangkitan. Ada beberapa jenis jangkitan yang dapat meningkatkan risiko limfoma. Contohnya, jangkitan virus Epstein-Barr dan Helicobacter pylori.
Diagnosis dan rawatan
Menurut Mayo Clinic, terdapat beberapa ujian yang boleh dilakukan untuk mendiagnos kanser limfoma:
- Imbasan PET. Imbasan ini dapat memberikan imej 3D yang boleh menunjukkan sama ada limfoma tersebut telah merebak ke sumsum tulang ataupun tidak.
- Imbasan CT. Imbasan ini dilakukan menggunakan komputer dan x-ray untuk menghasilkan gambaran yang tepat mengenai satu-satu kawasan di dalam badan pesakit.
- MRI. Imbasan ini boleh digunakan untuk memeriksa otak dan juga saraf tunjang pesakit.
- Ujian darah. Ujian darah akan diambil dengan kerap jika pesakit didiagnosis dengan limfoma untuk melihat sama ada kanser atau rawatannya memberikan sebarang kesan terhadap sel darah merah dalam badan.
- Biopsi kelenjar. Biopsi ini dilakukan untuk mengesahkan ketepatan satu-satu diagnosis yang dilakukan.
- Biopsi sumsum tulang. Biopsi sumsum tulang pula dilakukan untuk memeriksa sama ada kanser tersebut telah merebak ke sumsum tulang ataupun tidak.
Rawatan untuk kanser limfoma terdiri daripada kemoterapi, terapi radiasi dan antibodi monoklonal.
Pembedahan yang mungkin berkesan untuk kanser lain seperti kanser payudara atau kanser usus tidak berkesan untuk merawat limfoma.
Limfoma Hodgkin yang dikesan awal boleh dirawat dengan kombinasi kemoterapi dan terapi radiasi.
Untuk mereka yang menghidap limfoma bukan Hodgkin pula, mereka mungkin boleh dirawat dengan terapi radio sahaja.
Walau bagaimanapun, jika kanser ini merebak dengan pantas atau agresif, rawatan kemoterapi akan diberikan secepat mungkin.
Namun, untuk kanser yang masih berada di tahap awal, rawatan yang diberikan akan dilakukan pada kawasan yang terjejas sahaja.
Kesimpulan
Diagnosis kanser merupakan sesuatu yang menakutkan. Walau bagaimanapun, dengan masa, anda boleh mencari jalan untuk menyesuaikan diri dengan stres serta ketidaktentuan yang disebabkan oleh penyakit ini.
Dengan bantuan keluarga dan sahabat, mereka dapat memberikan anda sokongan dari segi fizikal dan mental ketika melawan kanser.
Malah, mereka juga boleh memberikan sokongan dari segi fizikal seperti membantu anda dalam kehidupan seharian.
Jangan mendiamkan diri jika anda menghidap kanser.
Belajarlah mengenai kanser yang anda hidapi dan bercakap dengan ahli keluarga atau pakar mengenai kegusaran anda.
Mereka boleh membantu dalam perjalanan anda menentang kanser.