Kayap : Punca, Gejala Berperingkat dan Kaedah Rawatan

 Anda pernah dengar tentang penyakit kayap?

Sehingga ke hari ini, ada juga sebilangan masyarakat yang masih menganggap yang kayap yang bertemu pada badan boleh membawa maut.

Namun, ia hanyalah mitos semata-mata dan ia boleh diubati dengan rawatan segera.

Baca Juga : Kurap : Punca, Simptom, Rawatan dan Kaedah Pencegahan

Apa itu Kayap ?

Kredit Foto : coreem.net

Dalam istilah perubatan, kayap lebih dikenali sebagai herpes zoster.

Penyakit ini tercetus akibat aktiviti virus yang bernama Varicella Zoster yang dorman dalam tubuh.

Virus ini merupakan virus yang sama menjadi punca bagi penyakit chicken pox atau cacar air.

Bagi yang mula-mula terkena penyakit ini, pesakit akan berasa sakit pada anggota badan tertentu.

Ruam jenis gelembung air juga akan mula tumbuh mengikut dermatom (topografi saraf kulit).

kayap
Kredit Foto : medicalnewstoday.com

Kebiasaannya ia hanya akan terjadi pada satu dermatom sahaja yang terlibat dan akan pulih sendiri.

Golongan Berisiko Mengalami Kayap

Sekiranya anda pernah alami penyakit cacar air dan memiliki sistem imun tubuh yang lemah, anda juga berisiko untuk menghidap kayap.

Selain golongan dengan sistem imun lemah, warga tua juga didapati mudah terkena penyakit ini.  

Gejala Berperingkat Penyakit Kayap

Individu yang terdedah kepada penyakit ini akan mengalami gejala tiga peringkat iaitu :

  1. Rasa Sakit Pada Kulit

Pada fasa awal, pesakit akan berasa kesakitan seakan mencucuk atau terbakar.

Selepas beberapa hari sakit, ruam pada kulit akan timbul.

Ada juga sebilangan kecil pesakit yang sakit kepala, demam dan badan lesu.

2. Timbul Ruam Pada Kulit

Ruam akan mula muncul pada satu dermatom kulit dalam bentuk gelung separuh atau lingkaran penuh.

Serangan kayap jarang berlaku pada beberapa dermatom kulit namun ia tidak mustahil terjadi bagi pesakit dengan sistem pertahanan badan yang lemah.

Pada peringkat awal, ruam berwarna merah akan muncul.

Selepas satu atau dua hari, gelembung air pula akan timbul pada ruam.

Ketika ruam bergelembung, ia merupakan waktu yang sangat kritikal untuk virus mudah merebak dan boleh menjangkiti orang lain yang tidak pernah kena cacar air atau kayap.

Kredit Foto : hellodoktor.com

3. Penyembuhan Ruam

Biasanya dalam tempoh 10 hari, ruam akan mula kering dan berkuping.

Peringkat akhir ini tidak menyebabkan jangkitan pada orang sekeliling.

Pesakit mungkin memerlukan 2 hingga 4 minggu lagi untuk sembuh sepenuhnya.

Pesakit yang lebih berumur mungkin akan memakan masa lebih lama untuk pulih.

Komplikasi Kayap

  1. Jangkitan kuman dan pendarahan pada gelembung kayap
  2. Kayap merebak di bahagian tubuh lain terutamanya bagi pesakit dengan sistem imun lemah.
  3. Jika penyakit ini merebak ke bahagian muka, ia boleh menyebabkan paralisis otot-otot muka (facial palsy).
  4. Keradangan organ dalaman seperti otak (meningoencephalitis), jantung (carditis), paru-paru (pneumomitis) dan usus (enterocolitis).
  5. Jika penyakit ini merebak ke bahagian mata, pesakit juga berisiko untuk hilang penglihatan atau buta.
  6. Pesakit yang lebih tua iaitu berusia 65 tahun ke atas berisiko untuk alami komplikasi yang lebih kronik iaitu post herpetic neuralgia iaitu kesakitan pada bahagian urat saraf untuk jangka masa yang panjang.

Kaedah Rawatan

Tujuan utama bagi rawatan kayap ialah :

  1. Melegakan kesakitan
  2. Mengurangkan tempoh penyakit
  3. Mencegah komplikasi penyakit terutamanya post herpetic neuralgia

Antara kaedah rawatan yang boleh dijalankan ialah :

  1. Penggunaan ubat antiviral dengan segera iaitu beberapa jam selepas gelembung air pada kulit timbul.

Ubat-ubatan antiviral seperti acylclovir, valacyclovir dan famciclovir perlu diambil secepat mungkin bagi mengelakkan komplikasi, mengurangkan jangka masa jangkitan dan mengelakkan kayap daripada merebak.

2. Sapuan ubat untuk mengeringkan gelembung-gelembung air seperti potassium permanganate.

3. Pengambilan ubat tahan sakit seperti non-steroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDs) seperti diclofenac.

4. Pengambilan ubat neuroaktif seperti amitryptiline.

 Penyakit kayap perlulah diberikan perhatian segera bagi mengelakkan sebarang komplikasi yang tidak diingini.

Pesakit juga dinasihatkan untuk tidak bergaul rapat bagi mengelakkan jangkitan kepada orang lain ketika gelembung air sedang timbul pada kulit.

Ikuti panduan daripada doktor dan elakkan menggaru supaya kulit terlindung daripada parut.

Sumber :

Kayap: Virus yang Bangkit dari Tidur!

mmgazette.com

Kayap

myhealth.gov.my

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Nazirah Hassan
Nazirah Hassan
Articles: 85