Suka Makan Kacang Parang? Ini 5 Kebaikannya Terhadap Kesihatan
Kacang parang, atau turut dikenali sebagai broad beans atau kacang fava merupakan makanan yang sangat digemari di negara kita.
Ia mempunyai rasa yang masin dan manis, serta diperkaya dengan pelbagai vitamin, mineral, serat dan protein.
Malah, ia mempunyai pelbagai khasiat dari segi kesihatan. Kacang parang dikatakan dapat meningkatkan imuniti badan dan memperbaiki keupayaan motor.
Kacang ini boleh dimakan secara mentah atau dimasak. Walau bagaimanapun, kacang ini perlulah melalui proses tertentu terlebih dahulu sebelum ia boleh dimakan.
Secawan kacang parang boleh meningkatkan pengambilan folat, zat besi, mangan dan serat yang boleh memberikan pelbagai manfaat terhadap kesihatan badan.
Ingin tahu apa lagi manfaat kacang ini terhadap kesihatan? Mari ikuti kupasan kami dalam artikel di bawah.
5 Manfaat kacang parang untuk kesihatan
1. Diperkaya dengan pelbagai nutrisi
Walaupun saiznya kecil, kacang parang mengandungi nutrisi yang sangat banyak.
Kacang ini kaya dengan protein, folat dan pelbagai lagi vitamin serta mineral.
Serat yang terkandung didalamnya juga dapat membantu proses pencernaan dan merendahkan tahap kolesterol dalam badan.
Secawan kacang fava mengandungi hampir 1/3 daripada jumlah protein yang diperlukan setiap hari.
Makanan yang mengandungi protein amat penting di dalam diet seharian. Ia dapat membuatkan anda rasa kenyang dalam jangka masa yang lebih panjang.
2. Dapat membantu pesakit Parkinson
Kacang parang kaya dengan sejenis kompaun yang dikenali sebagai levodopa (L-dopa). Badan kita akan menukar levodopa kepada sejenis neurotransmitter iaitu dopamin.
Penyakit Parkinson membuatkan sel otak yang menghasilkan dopamine mati. Ia akan menyebabkan tangan pesakit menggigil serta mengalami kesukaran untuk menggerakkan badan dan berjalan.
Semua simptom ini akan dirawat dengan ubat yang mengandungi levodopa.
Oleh sebab itu, pengambilan kacang parang mungkin dapat membantu pesakit Parkinson untuk mengurangkan simptom yang dialami.
Walau bagaimanapun, lebih banyak kajian yang perlu dijalankan untuk mengenal pasti keupayaan sebenar kacang parang dalam membantu pesakit Parkinson.
3. Dapat mengurangkan kolesterol dalam badan
Serat yang terkandung di dalam kacang ini mungkin dapat mengurangkan tahap kolesterol dalam badan.
Menurut kajian yang dimuatkan di dalam jurnal Diabetes Research and Clinical Practice ke atas 53 orang dewasa, pengambilan 2 gram serat larut air setiap hari dapat mengurangkan kolesterol jahat dalam badan sebanyak 12.8%.
Jika anda ingin mengurangkan kolesterol dalam badan, cuba tambah kacang ini ke dalam diet anda.
Ia mengandungi serat yang dapat menyingkirkan kolesterol daripada badan.
Dalam masa yang sama, serat ini juga dapat mengurangkan kadar kolesterol dalam darah.
4. Kacang parang dapat bantu kurangkan berat badan
Ingin tampil kurus dan bergaya? Cubalah makan kacang parang!
Ia mempunyai kalori yang sedikit, namun mengandungi protein yang boleh membuatkan kita rasa kenyang dengan lebih lama.
Pengambilan protein sudah lama terbukti dapat mengurangkan berat badan seseorang.
Menurut sebuah kajian kecil yang dimuatkan di dalam The American Journal of Clinical Nutrition, diet yang terdiri daripada 30% protein dapat membuatkan kita rasa kenyang lebih lama.
Malah, ia berbeza dengan individu yang mengambil jumlah kalori yang sama, namun hanya 15% daripadanya adalah protein.
5. Mungkin dapat mengurangkan simptom anemia
Makan makanan yang kaya dengan zat besi didapati dapat mengurangkan simptom anemia.
Zat besi diperlukan badan untuk menghasilkan hemoglobin, sejenis protein di dalam sel darah merah yang bertanggungjawab membawa oksigen ke seluruh badan.
Kekurangan zat besi boleh menyebabkan anemia yang akan menyebabkan seseorang rasa lemah, penat, kerap pening kepala dan sesak nafas.
Pengambilan kacang parang mungkin dapat membantu mereka yang menghidap anemia. Ia mengandungi zat besi yang dapat mengurangkan simptom anemia.
Hidap G6PD? Anda tidak boleh makan kacang parang!
Walaupun kacang parang mempunyai pelbagai keistimewaan, ada juga yang perlu berpantang dan tidak boleh mengambilnya langsung.
Sebagai contoh, individu yang menghidap G6PD atau kekurangan enzim glucose-6-phosphate dehydrogenase.
Enzim ini amat penting dan membantu badan menjalankan pelbagai proses biokimia yang berbeza.
Individu yang menghidap G6PD berpotensi mengalami anemia hemolitik jika termakan kacang fava
Anemia hemolitik berlaku apabila sel darah merah musnah lebih cepat daripada apa yang badan mampu hasilkan.
Selain kacang parang, reaksi yang sama juga boleh berlaku disebabkan pengambilan ubat-ubatan tertentu seperti:
- Ubat anti malaria.
- Pengambilan sulphonamides, yang digunakan untuk merawat jangkitan.
- Aspirin, ubat yang digunakan untuk merawat demam, sakit sendi dan bengkak.
- Beberapa jenis NSAID (nonsteroidal anti-inflammatory medication)
Kebanyakan pesakit G6PD tidak mengalami sebarang simptom. Namun, apabila terdedah dengan makanan atau ubat-ubatan tertentu, ia mungkin akan menyebabkan anemia hemolitik.
Oleh sebab itu, penghidap G6PD perlu lebih berhati-hati ketika makan. Elakkan pengambilan kacang ini untuk mencegah sebarang simptom yang tidak diingini.
Kesimpulan
Tidak dinafikan, kacang parang mempunyai pelbagai khasiat yang baik untuk badan.
Dengan kandungan proteinnya yang tinggi, ia sesuai dijadikan snek ringan buat pengalas perut setiap hari.
Walau bagaimanapun, jika anda menghidap G6PD, elakkan mengambil kacang ini kerana ia boleh menyebabkan simptom yang teruk.
Jika anda alami sakit kepala, mual, rasa penat dan sesak nafas selepas makan kacang parang, berjumpalah doktor secepat mungkin.
Rujukan
- Broad bean. (n.d.). BBC Good Food. Retrieved January 12, 2022, from https://www.bbcgoodfood.com/glossary/broad-bean-glossary
- Effect of soluble fiber intake in lipid and glucose levels in healthy subjects: a randomized clinical trial. (n.d.). PubMed. Retrieved January 12, 2022, from https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/15163472/
- Fava Beans Nutrition and Health Benefits. (2021, November 27). WebMD. Retrieved January 12, 2022, from https://www.webmd.com/diet/health-benefits-of-fava-beans#2
- G6PD Deficiency: Causes, Symptoms, Risk Factors, and More. (n.d.). Healthline. Retrieved January 12, 2022, from https://www.healthline.com/health/glucose-6-phosphate-dehydrogenase-deficiency
- A high-protein diet induces sustained reductions in appetite, ad libitum caloric intake, and body weight despite compensatory changes in diurnal plasma leptin and ghrelin concentrations. (n.d.). PubMed. Retrieved January 12, 2022, from https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/16002798/
- Kerns, M. (n.d.). What Are the Health Benefits of Gooseberries? Healthy Eating | SF Gate. Retrieved January 12, 2022, from https://healthyeating.sfgate.com/health-benefits-gooseberries-6707.html
- 10 Impressive Health Benefits of Fava Beans. (2018, December 6). Healthline. Retrieved January 12, 2022, from https://www.healthline.com/nutrition/fava-beans#TOC_TITLE_HDR_7