Kebaikan Omega 3, Membantu Melegakan Sakit Sendi?
Apa itu Omega 3?
Untuk makluman anda, omega-3 merupakan sejenis kumpulan asid lemak poli tak tepu yang diperlukan oleh tubuh.
Walaubagaimanapun, ia tidak dapat dihasilkan oleh tubuh kita dan mesti diambil dalam diet harian.
Sumber omega 3 boleh didapati daripada tumbuhan mahupun haiwan. Bahkan, boleh didapati dalam bentuk pil juga.
Antara sumber makanan yang kaya dengan omega 3 adalah sumber ikan laut dalam seperti: ikan tuna, ikan parang, ikan sardin, ikan bilis, dan ikan kembung.
Terdapat 3 jenis asid lemak omega-3 yang utama iaitu:-
- Alpha-linolenic acid (ALA)
- Eicosapentaenoic acid (EPA)
- Docosahexaenoic acid (DHA)
Kebaikan omega 3 untuk kesihatan tubuh badan tidak dapat diragukan lagi.
Dalam satu artikel yang diterbitkan oleh portal rasmi kementerian kesihatan Malaysia (myHealth) menyatakan, Panduan Diet Malaysia menyarankan kita untuk mengambil sekurang-kurangnya satu sajian ikan dalam diet harian.
Saranan ini dapat membantu pengambilan omega-3 yang mencukupi dalam diet harian kita.
Kebaikan Omega 3 & Kepentingannya
1. Baik Untuk Kesihatan Jantung
Omega 3 dapat membantu menurunkan kadar trigliserida serta meningkatkan kolesterol baik (HDL) di dalam tubuh. Ini boleh membantu mengelakkan penyumbatan dalam saluran darah akibat penggumpalan kolesterol.
Pengambilan omega 3 secara konsisten membuatkan aliran darah di dalam tubuh lancar sekaligus mengekalkan kesihatan jantung.
Selain itu, ia juga dapat mengurangkan risiko terjadinya penyakit kardiovaskular, seperti stroke, tekanan darah tinggi, dan serangan jantung.
2. Mengekalkan Fungsi Otak
Untuk kekal berfungsi secara maksima, jaringan saraf dan otak memerlukan nutrisi yang cukup. Salah satu nutrisi yang baik untuk otak dan saraf adalah omega-3.
Antara kebaikan omega 3 untuk otak ialah memelihara fungsi otak, meningkatkan daya ingatan dan fokus, serta mengurangkan risiko demensia dan penyakit Alzheimer.
3. Menjaga Kesihatan Mata
Pengambilan omega 3 dapat membantu memelihara fungsi mata dengan membekalkan nutrisi pada struktur lemak utama yang terdapat pada retina mata iaitu DHA.
Ini dapat membantu untuk mengelakkan gangguan mata dan penyakit mata akibat penuaan, seperti degenerasi makula.
4. Mengawal Darah Tinggi
Masalah tekanan darah tinggi sangat berkait rapat dengan pengambilan garam dan lemak tepu yang berlebihan.
Anda boleh menggantikan hidangan seperti daging dengan hidangan ikan. Hal ini kerana, kandungan omega-3 yang tinggi dalam produk ikan dapat menurunkan tekanan darah tinggi.
5. Mengurangkan Risiko Kanser
Pengambilan omega-3 juga dapat membantu mengurangkan risiko beberapa jenis kanser seperti kanser usus, kanser payudara dan kanser prostat.
6. Perkembangan Kognitif Kanak-Kanak
Omega-3 daripada kelas DHA (Docosahexaenoic acid) dan EPA (Eicosapentaenoic acid) amat penting dalam perkembangan otak kanak-kanak.
Ia terbukti dapat membantu sel otak kanak-kanak untuk berhubung dengan baik serta mempengaruhi fungsi pemikiran dan pembelajaran kanak-kanak. Oleh itu, berikan anak-anak anda omega 3 yang mencukupi untuk perkembangan kognitif yang baik.
7. Membantu Melegakan Sakit Sendi
Pengambilan omega 3 juga sangat baik untuk tulang dan sendi. Ia mempunyai sifat anti radang yang boleh melegakan sakit sendi akibat penyakit autoimun seperti rheumatoid arthritis.
Selain itu, ia juga terbukti berkesan untuk meningkatkan kekuatan tulang dan mengurangkan risiko osteoporosis.
8. Menyokong Pertumbuhan Janin
Mengamalkan pengambilan omega 3 semasa hamil adalah sangat baik untuk perkembangan saraf dan otak janin. Ia juga membantu mengurangkan risiko komplikasi kehamilan, seperti preeklamsia.
Kesimpulan
Omega tiga kini boleh didapati dalam bentuk produk suplemen minyak ikan. Walaubagaimanapun, pastikan anda tidak mengambil omega 3 secara berlebihan kerana ia juga mempunyai keburukan tertentu.
Pastikan anda dapatkan nasihat daripada pakar perubatan terlebih dahulu sekiranya perlu.
Sumber: