5 Kebaikan Omega 3 Terhadap Kesihatan, Sebab Itulah Anda Perlu Ambil Minyak Ikan!

Badan manusia boleh menghasilkan banyak jenis lemak mengikut keperluan badan. Walau bagaimanapun, ada satu jenis lemak yang dikenali sebagai asid lemak omega-3 yang tidak dapat dihasilkan oleh badan secara semula jadi. Ada banyak kebaikan omega 3 untuk kesihatan, salah satunya adalah kesan positifnya terhadap kesihatan jantung.

Lemak penting ini boleh didapati dalam pelbagai jenis makanan seperti ikan, minyak sayuran, kekacang (terutamanya kacang walnut) dan sayur-sayuran hijau. Namun, ikan seperti ikan salmon, kembung, dan tuna adalah sumber terbaik asid lemak omega-3.

Ada tiga jenis asid lemak omega-3 yang perlu anda tahu iaitu asid eikosapentaenoik (EPA), asid dokosaheksaenoik (DHA) dan asid alpha-linolenik (ALA). EPA dan DHA boleh didapati di dalam haiwan manakala ALA pula di dalam sayur-sayuran hijau.

Tetapi, apa yang membuatkan asid lemak omega-3 sangat istimewa?

Asid lemak omega-3 merupakan bahan penting yang membina sel badan kita. Malah, disebabkan fungsinya yang pelbagai, omega-3 juga mungkin dapat mengurangkan risiko penyakit jantung dan strok serta dapat mengawal simptom lupus, ekzema dan arthritis.

Ingin tahu apa lagi kebaikan omega 3 terhadap kesihatan? Mari ikuti penjelasan kami dalam artikel di bawah.

5 Kebaikan omega 3 terhadap kesihatan

Omega-3 mempunyai banyak manfaat terhadap kesihatan kita. Ia amat penting untuk kesihatan jantung, sendi dan juga kulit.

Malah, omega-3 juga boleh dijumpai dalam otak, retina dan juga sel sperma manusia. Walau bagaimanapun, nutrien ini tidak boleh dihasilkan oleh badan. Oleh sebab itu, kita perlu mengambilnya dari makanan.

Antara kebaikan omega 3 terhadap kesihatan ialah:

1. Dapat meningkatkan kesihatan jantung

kebaikan omega 3

Omega-3 amat bermanfaat terhadap kesihatan jantung. Malah, ia terbukti dapat menurunkan kadar degupan jantung dan mencegah sebarang masalah degupan yang abnormal (aritmia).

Bukan itu sahaja, DHA dan EPA juga boleh mengurangkan trigliserida dalam darah. Tahap trigliserida dalam badan berkait rapat dengan kesihatan jantung. Jadi, mereka yang mendapatkan omega-3 yang mencukupi dari pemakanan kurang berisiko menghidap penyakit jantung.

2. Mempunyai sifat anti radang antara kebaikan omega 3

Omega-3 mempunyai sifat anti radang yang boleh mengurangkan inflamasi pada kawasan saluran darah. Ia dapat mengurangkan risiko aterosklerosis yang dapat membuatkan salur darah menjadi keras.

Malah, sifat anti radang ini juga dapat mengurangkan risiko sakit jantung dan dipercayai boleh membantu mengurangkan simptom kanak-kanak yang menghidap asma.

3. Dapat melawan depresi

Omega-3 juga dipercayai dapat mengurangkan masalah depresi. Kajian menunjukkan, individu yang mengambil banyak asid lemak omega-3 kurang tertekan berbanding mereka yang tidak mengambilnya.

Malah, pengambilan minyak ikan juga didapati dapat membuatkan ubat anti depresi menjadi lebih berkesan.

4. Kebaikan omega 3 untuk kulit

kebaikan omega 3

Asid lemak omega-3 juga sangat bermanfaat untuk kesihatan kulit. DHA bagus untuk memastikan kulit sentiasa kuat dan sihat manakala EPA pula membantu mengawal penghasilan minyak serta memastikan kulit kekal hidrat.

5. Meningkatkan kesihatan mata

DHA merupakan komponen utama retina, lapisan paling dalam pada mata kita. Kajian menunjukkan, DHA dapat mengurangkan risiko degenerasi makula yang dapat membuatkan penglihatan kita menjadi semakin kabur apabila usia makin lanjut.

Bolehkah saya mengambil suplemen minyak ikan?

Ada banyak kajian yang telah dijalankan mengenai pengambilan suplemen yang mengandungi asid lemak omega-3. Jika anda mempunyai tahap trigliserida yang tinggi dalam badan atau menghidap arthritis, suplemen minyak ikan mungkin dapat membantu.

Walau bagaimanapun, cuba dapatkan nutrien ini melalui diet yang sihat terlebih dahulu. Banyakkan pengambilan ikan yang kaya dengan asid lemak omega-3.

Disebabkan kebaikan omega-3 terhadap kesihatan, American Heart Association menggalakkan pengambilan 2 hidangan ikan setiap minggu. Hidangan ini perlulah meliputi pelbagai jenis ikan, antaranya ikan kembung, tuna atau salmon yang kaya dengan asid lemak omega-3.

kebaikan omega 3

Menurut laman sesawang Mayo Clinic, antara kebaikan omega 3 ialah:

  1. Suplemen omega-3 tidak dapat mengurangkan risiko serangan jantung. Namun, mereka yang mengambil lebih banyak makanan laut dalam diet harian kurang berisiko menghidap sebarang penyakit jantung.
  2. Pengambilan asid lemak omega-3 mungkin dapat membantu mengurangkan tahap trigliserida badan.
  3. Ia juga dapat membantu mengurangkan simptom arthritis.

Omega-3 juga adalah selamat untuk dimakan:

  1. Kajian menunjukkan, suplemen omega-3 jarang sekali mendatangkan sebarang kesan sampingan.
  2. Jika anda mempunyai alahan terhadap makanan laut atau mengambil ubat pencair darah, dapatkan nasihat doktor sebelum mengambil sebarang suplemen.

Jika anda ingin mengambil suplemen minyak ikan, dapatkan konsultasi daripada doktor atau ahli farmasi yang bertugas. Untuk pesakit yang mempunyai tahap trigliserida yang tinggi dalam badan, doktor juga boleh memberikan minyak ikan dalam bentuk preskripsi.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: