Kegunaan Dan Manfaat Daun Kunyit Untuk Kesihatan

Daun kunyit sering digunakan sebagai pelengkap dalam pelbagai jenis masakan bagi menaikkan lagi aroma masakan tersebut terutamanya dalam masakan Melayu dan juga India. Selain itu, ia juga sering dijadikan sebagai minyak pati yang mempunyai pelbagai kegunaan. 

Nak tahu lebih lanjut kegunaan dan manfaatnya? Mari teruskan membaca. 

Kegunaan Dan Manfaat Daun Kunyit

Daun kunyit

1. Boleh Menggantikan Kunyit 

Tahukah anda sebenarnya daun kunyit juga boleh digunakan untuk menggantikan kunyit biasa?

Rendam ekstrak daun tersebut yang telah dikeringkan ke dalam air selama beberapa minit. Daun ini juga boleh mengeluarkan warna kuning yang sama seperti warna kunyit biasa!

2. Melegakan Keradangan (Osteoarthritis & Rheumatoid Arthritis)

Daun kunyit juga terkenal dengan sifat anti radangnya. Sehubungan dengan itu, ia sangat bermanfaat untuk individu yang mempunyai penyakit osteoarthritis, rheumatoid arthritis dan sebagainya.

Penggunaan minyak pati berasaskan daun ini didapati dapat membantu melegakan keradangan dan juga mengurangkan kesakitan. Sapukan minyak pati tersebut ke kawasan yang menghadapi keradangan. 

3.  Menghalang Pertumbuhan Kulat 

Seterusnya, minyak pati daun kunyit juga didapati mempunyai sifat anti-kulat, iaitu menghalang pertumbuhan kulat dan juga penghasilan toksin disebabkan oleh kulat.

4. Melancarkan Penghadaman

Daun kunyit juga baik untuk sistem penghadaman tubuh. Terdapat komponen di dalam daun ini yang boleh membantu untuk meningkatkan rembesan jus hempedu. Jus hempedu ialah salah satu komponen yang berfungsi untuk melancarkan penghadaman. 

5. Menyihatkan Kulit

Selain kunyit, daunnya juga mempunyai potensi besar dalam bidang kecantikan. Ia boleh digunakan sebagai pes untuk dijadikan topeng muka.

Kebaikan topeng muka daripada pes daun ini adalah membantu mengurangkan jerawat, melembutkan kulit wajah, memudarkan bintik hitam dan sebagainya. Terdapat banyak produk kecantikan menggunakan ekstrak daun ini sebagai salah satu bahan utamanya. 

6. Merawat Luka

Di samping itu, pes daun kunyit juga kaya dengan sifat anti-radang, anti-bakteria serta anti-virus yang berupaya untuk mempercepatkan kesembuhan luka di kulit. 

Caranya mudah sahaja, ambil beberapa helai daun tersebut kemudian hancurkan. Letak sedikit air sehingga ia menjadi pes.

Anda boleh gunakan pes ini untuk disapu pada luka melecur, luka ringan dan sebagainya. Walaubagaimanapun, pastikan anda mendapat rawatan terlebih dahulu. Elakkan meletakkan pes tersebut di kawasan luka yang masih berdarah, bernanah atau terbuka. 

7. Membunuh Lalat

Minyak pati berasaskan ekstrak daun kunyit didapati boleh membunuh larva lalat sekaligus mengurangkan pembiakan lalat. Ia boleh digunakan sebagai salah satu bahan utama dalam produk menghalau lalat. 

8. Melawan Penyakit

Daun kunyit juga kaya dengan kandungan antioksidan yang berupaya untuk melawan radikal bebas sekaligus melindungi diri daripada penyakit. Kandungan antioksidannya  juga berpotensi untuk melambatkan penuaan dengan menghalang kerosakan sel-sel di wajah. 

Cara Menyimpan Agar Tahan lama

  • Cuci daun tersebut dengan bersih terlebih dahulu, kemudian biarkan kering dengan sendirinya. 
  • Letakkan tisu di dalam bekas yang hendak digunakan untuk menyimpan daun kunyit. 
  • Kemudian, simpan di dalam peti sejuk. 

Kesimpulan 

daun kunyit

Daun kunyit terbukti mempunyai pelbagai kegunaan serta manfaat untuk tubuh manusia. Namun begitu, kajian mengenai daun ini masih banyak dijalankan.

Elakkan penggunaan secara berlebihan dan pastikan anda dapatkan nasihat pakar perubatan sekiranya perlu. 

Sumber: https://food.ndtv.com/ 

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Admin (N)
Admin (N)
Articles: 161