Kelebihan Malam Lailatul Qadar: Doa, Waktu Berlaku & Ibadah 10 Malam Terakhir

Ramadan adalah bulan yang penuh dengan keberkahannya. Dalam bulan ini terdapat sebuah hari yang digelar sebagai malam lailatul qadar, malam yang lebih baik dari seribu bulan. Semua umat Islam menanti-nanti tibanya malam ini kerana kemuliaan dan kelebihannya.

Apakah malam lailatul qadar?

Perkataan malam lailatul qadar ini boleh dipecahkan kepada beberapa bahagian. Lailah bermaksud apabila tenggelamnya matahari sehingga terbitnya fajar. Al-Qadar pula adalah kemuliaan atau hukum dan ketetapan.

Apabila dicantumkan perkataan lailatul qadar itu maka ia memberi erti sebuah malam yang istimewa di bulan Ramadan. Ibn Qudamah berpendapat malam tersebut sangat mulia, diberkati, diagungkan, dan mempunyai banyak kelebihan.

Dalil tentang malam lailatul qadar

Allah SWT ada berfirman dalam Al-Quran tentang malam lailatul qadar,

Maksudnya: “Sesungguhnya kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. ” – (Surah Al-Qadr, ayat 1 hingga 3)

Bilakah malam lailatul qadar?

Sebenarnya, tiada waktu yang tepat diberitahu dalam Al-Quran atau hadis tentang bila berlakunya malam lailatul qadar. Tetapi Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud:

“Carilah lailatul qadar pada sepuluh akhir bulan Ramadan dalam malam ganjil.”

Imam Ahmad dan Muslim juga ada meriwayatkan dalam hadis yang bermaksud:

“Rasulullah SAW berusaha sedaya upaya dalam malam-malam sepuluh akhir Ramadan melebihi usahanya daripada malam-malam lain.”

Tujuan tidak disebutkan secara khusus malam ke berapa peristiwa ini berlaku untuk menjadikan kita ikhlas beramal kerana Allah SWT bukan kerana sesuatu kelebihan yang ada. Ini juga dapat melatih manusia untuk sentiasa bersedia seperti mana kita bersedia menyiapkan bekalan untuk menuju kepada kematian yang tidak tahu bila akan datang dalam hidup.

Kelebihan malam lailatul qadar

Banyak kelebihan malam lailatul qadar yang boleh kita pelajari. Antara kelebihan itu adalah seperti:

1. Lebih baik dari seribu bulan

Seperti mana yang kita tahu, malam lailatul qadar ini adalah lebih baik dari seribu bulan. Ini bertepatan dengan sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda,

Maksudnya: “Sesugguhnya bulan ini (Ramadan) telah datang kepada kamu, di dalamnya terdapat malam di mana amalan ibadah yang dilakukan pada malam tersebut lebih baik dan lebih besar ganjarannya daripada amalan selama seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam tersebut sesungguhnya dia telah kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara tersebut kecuali orang-orang yang telah diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah ta’ala.” – (Hadis Riwayat Ibnu Majah) 

2. Turunnya malaikat pada malam itu

Malam itu para malaikat termasuk malaikat Jibrail akan turun beramai-ramai ke bumi seperti mana yang difirmankan oleh Allah SWT dalam Surah Al-Qadr, ayat 4,

تَنَزَّلُ ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةُ وَٱلرُّوحُ فِيہَا بِإِذنِ رَبِّہِم مِّن كُلِّ أَمرٍ

Maksudnya: “Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara.”

Imam Qurtubi menjelaskan tentang peristiwa ini,

Maksudnya: “Mereka turun daripada setiap langit dan juga Sidratul Muntaha ke langit dunia untuk mengaminkan doa orang yang memohon pada malam tersebut hingga waktu fajar.”

3. Keselamatan dan kebaikan sehingga terbit fajar

Dari malam sehingga terbit fajar nanti manusia akan diberikan dua nikmat iaitu keselamatan dan kebaikan untuk dirinya sendiri.

Allah SWT berfirman:

سَلَـٰمٌ هِىَ حَتَّىٰ مَطلَعِ ٱلفَجرِ

Maksudnya: “Sejahteralah malam (yang berkat) tersebut hingga terbit fajar.”

Bahkan Al-Dahhaq turut menjelaskan bahawa, “Allah tidak takdirkan pada malam tersebut kecuali keselamatan. Sedangkan Mujahid berpendapat: “Ia merupakan malam selamat di mana syaitan tidak mampu untuk melakukan sebarang kejahatan pada malam tersebut.”

4. Catitan takdir tahunan

Malam lailatul qadar adalah malam yang dicatitkan segala takdir hidup manusia untuk setahun. Ia adalah tugas malaikat yang diperintahkan oleh Allah SWT. Ibnu Katsir dalam kitabnya ada menerangkan maksudnya,

“Pada lailatul qadar akan diperhalusi di lauhul mahfuzh mengenai penulisan takdir dalam setahun, juga akan dicatat ajal maut dan rezeki. Dan turut juga akan dicatat segala sesuatu hingga akhir dalam setahun.”

5. Dosa diampunkan

Setiap orang tidak terlepas melakukan dosa dan maksiat. Dengan menghidupkan malam lailatul qadar ini, semoga dengan izinnya segala dosa dan kesalahan kita boleh diampunkan oleh Allah SWT.

Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda,

مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Sesiapa melaksanakan solat pada malam lailatul qadar kerana iman dan mengharap pahala dari Allah, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampunkan.” – (Hadis Riwayat Bukhari)

Doa malam lailatul qadar

“Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘annii

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Zat Yang Maha Pemaaf dan Pemurah maka maafkanlah diriku.”

Doa untuk bertemu dengan malam lailatul qadar

Allahummar zuqna lailatul qodri fii hazihis sanati wa fii kulli sanati. Wa a ‘in naa ‘alaa ihyaa ihaa qi yaa mihaa. Birahmatika yaa arhamarrohimin

Maksudnya: “Ya Allah, rezekikan kami Lailatul Qadar pada tahun ini dan juga pada setiap tahun. Dan bantulah kami untuk menghidupkan dan membangunkan malamnya Dengan RahmatMu, Wahai yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.”

Ibadah yang boleh dilakukan untuk 10 malam terakhir

Menuju ke pengakhiran malam-malam terakhir bulan Ramadan inilah masanya untuk kita menambah segala amalan yang mampu dilakukan. Antara amalan 10 malam terakhir yang boleh kita buat adalah seperti:

  • Menghidupkan setiap malam
  • Melakukan ibadah dengan bersungguh-sungguh
  • Mengejutkan kaum keluarga untuk beribadah
  • Beriktikaf
  • Makan sedikit waktu iftar
  • Solat rawatib dan nawafil
  • Bersedekah
  • Baca Al-Quran sebanyak-banyaknya
  • Banyakkan berdoa
  • Qiamullail

Kesimpulan

Diharapkan dengan panduan menjemput malam lailatul qadar ini dapat menambah lagi semangat untuk anda melakukan segala amalan yang baik demi memperoleh segala keberkatan dan kemuliaan pada malam tersebut dan di sepanjang bulan Ramadan.

Rujukan

  1. Irsyad Al-Hadith Siri ke-96: Memburu Lailatul Qadar (Malam Al-Qadar). Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Menggapai Malam Lailatul Qadar (18 April, 2022). Harakah Daily
  3. Malam Lailatul Qadar: Kelebihan, Tanda, Amalan & Doa. Aku Muslim Asia
SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Hannani Juhari
Hannani Juhari

Seorang Digital Nomad yang mempunyai passion dalam dunia penulisan kreatif. Pernah menulis untuk website theAsianparent Malaysia, Cari Destinasi, Bidadari dan Direct Lending. Menjadikan buku dan muzik sebagai terapi.

Articles: 113