8 Manfaat Pengambilan Yogurt, Boleh Buatkan Anda Bertambah Langsing!
Yogurt merupakan produk tenusu yang terhasil daripada proses fermentasi susu dan kultur bakteria hidup seperti Lactobacillus bulgaricus dan Streptococcus thermophilus.
Bakteria inilah yang bertindak menukar gula atau laktosa di dalam susu kepada asid laktik, yang membuatkan yogurt mempunyai rasa masamnya yang tersendiri.
Tidak dinafikan, yogurt amat baik untuk kesihatan kita. Ia membekalkan protein dan kalsium kepada badan serta dapat meningkatkan kesihatan perut.
Malah, ia didapati boleh mengurangkan risiko pelbagai penyakit seperti osteoporosis dan penyakit radang usus. Namun, ini bergantung kepada jenis yogurt yang diambil.
Untuk pengetahuan anda, yogurt yang mengandungi gula yang banyak tidak lagi sihat untuk dimakan.
Kini, yogurt boleh dijumpai dalam pelbagai bentuk. Selalunya, ia dijual bersama campuran buah-buahan atau manisan.
8 Kebaikan yogurt yang mungkin anda tidak tahu!
1. Yogurt makanan yang mengenyangkan
Tahukah anda, yogurt kaya dengan protein dan lemak sihat? Oleh sebab itu, ia amat sesuai diambil sebagai sarapan pagi atau snek.
Malah, semua nutrisi yang terkandung di dalam makanan ini boleh membuatkan anda kenyang dalam masa yang lama.
Jadi, jika anda rasa lapar dan perlukan snek pantas yang mengenyangkan, makanlah yogurt!
2. Ia mungkin dapat mengurangkan risiko diabetes jenis 2
Kajian juga menujukkan yogurt mungkin dapat mencegah diabetes jenis 2.
Di samping keupayaannya untuk mengekalkan microflora sihat di dalam perut, ia juga didapati dapat mengawal kadar gula dalam darah.
Walau bagaimanapun, semuanya bergantung kepada keserhanaan. Elakkan membeli yogurt yang mengandungi banyak gula. Jika tidak, khasiat ini akan terbatal.
3. Tidak akan menyebabkan kaviti
Betul tu! Walaupun yogurt mengandungi gula, ia tidak akan menyebabkan kaviti!
Malah, menurut kajian yang dijalankan oleh saintis di Universiti Marmara, Turki, semua jenis yogurt tidak akan menghakis enamel pada permukaan gigi.
Individu yang makan sekurang-kurangnya 2 auns yogurt juga dapat mengurangkan risiko penyakit gigi sebanyak 60% berbanding mereka yang langsung tidak mengambil yogurt.
Walaupun begitu, pastikan yogurt yang diambil tidak mengandungi gula yang terlalu banyak ya!
4. Yogurt bagus untuk kesihatan tulang
Makanan ini turut mengandungi kalsium – 415 mg setiap 8 auns.
Kalsium amat penting untuk tulang yang sihat dan kuat. Malah, pengambilan yogurt juga dapat melindungi kita daripada osteoporosis.
Pada masa yang sama, kalsium juga amat penting untuk fungsi otot, saraf dan juga sel yang lebih baik.
5. Baik untuk kesihatan jantung
Inginkan jantung yang lebih sihat dan kuat? Makanlah yogurt dengan kerap!
Menurut kajian, yogurt dapat mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular dengan cara merendahkan tekanan darah.
Malah, nutrisi yang bagus untuk perut juga selalunya bagus untuk jantung juga tau!
6. Mengandungi banyak vitamin D
Walau sebanyak manapun anda mengambil kalsium, ia akan menjadi sia-sia tanpa vitamin D.
Vitamin D membantu badan menyerap kalsium. Tanpanya, badan tidak dapat membina tulang yang sihat dan kuat.
Sebab itulah, anda perlu mengambil yogurt yang mengandungi kedua-dua vitamin D dan juga kalsium.
Malah, menurut kajian yang dimuatkan di dalam jurnal Sexual Medicine, vitamin D juga dapat membuatkan mood anda lebih baik dan menjauhkan anda daripada depresi.
7. Menguatkan sistem imun badan
Kajian yang dijalankan di University of Vienna mendapati amalan makan yogurt dapat meningkatkan ketahanan badan.
Wanita yang makan 4 auns yogurt sehari didapati lebih sihat dan aktif serta tidak mudah sakit disebabkan jangkitan.
Malah, mereka juga jarang demam dalam satu tempoh masa yang lama. Ini mungkin disebabkan oleh kehadiran probiotik di dalam yogurt.
8. Yogurt dapat melangsingkan badan
Menurut sebuah kajian, mereka yang mengambil 18 auns yogurt sehari kehilangan 22% berat serta 81% lemak di kawasan perut berbanding mereka yang tidak makan yogurt!
Jadi, jika anda ingin perut yang lebih langsing, amalkan makan yogurt. Dalam masa yang sama, jangan lupa bersenam!
Lemak pada kawasan perut menghasilakan sejenis hormon yang dikenali sebagai kortisol.
Kortisol akan menyebabkan perut kita bertambah buncit kerana ia memberi signal kepada badan untuk mengumpul lemak pada kawasan pinggang.
Kalsium yang terkandung dalam yogurt juga akan membuatkan sel lemak merembeskan kurang kortisol. Sebab itulah, mereka yang makan yogurt lebih mudah untuk menurunkan berat badan!
Kesimpulan
Secara amnya, yogurt merupakan makanan yang sihat. Walau bagaimanapun, mungkin ada yang tidak boleh makan yogurt, terutamanya mereka yang mempunyai alahan terhadap susu atau tidak toleran kepada laktosa.
Walau bagaimanapun, ada banyak jenis yogurt yang dijual di pasaran. Pasti ada yang menggunakan susu daripada sumber tumbuhan namun masih mempunyai khasiat dan rasa yang sama.
Selain itu, yogurt juga mungkin akan mengurangkan keberkesanan beberapa jenis ubat-ubatan.
Oleh sebab itu, jika anda sedang mengambil sebarang ubat, pastikan anda mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu. Untuk selamat, periksa terlebih dahulu dengan doktor anda.
Rujukan
- 5 Yogurt Benefits That Make It One of the Healthiest Foods. (2021, November 22). Well+Good. Retrieved January 28, 2022, from https://www.wellandgood.com/yogurt-benefits/
- 7 Impressive Health Benefits of Yogurt. (2017, January 20). Healthline. Retrieved January 28, 2022, from https://www.healthline.com/nutrition/7-benefits-of-yogurt#TOC_TITLE_HDR_9
- Endocrine-related Organs and Hormones. Endocrine Society. Retrieved January 28, 2022, from https://www.endocrine.org/patient-engagement/endocrine-library/hormones-and-endocrine-function/endocrine-related-organs-and-hormones
- he Benefits of Yogurt on Your Body — Eat This Not That. Eat This, Not That. Retrieved January 28, 2022, from https://www.eatthis.com/benefits-of-yogurt/
- Yogurt: Types, health benefits, and risks. (n.d.). Medical News Today. Retrieved January 28, 2022, from https://www.medicalnewstoday.com/articles/295714#nutrition
- Daily intake of probiotic as well as conventional yogurt has a stimulating effect on cellular immunity in young healthy women. Retrieved January 28, 2022, from https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/16508257/.