Keradangan Tonsil, Bagaimana Cara Merawat & Mencegahnya?

Apa itu Keradangan Tonsil / Tonsilitis?

Tonsilitis atau keradangan tonsil adalah merupakan jangkitan yang berlaku pada bahagian tonsil yang terletak di belakang tekak. Apabila berlakunya jangkitan pada tonsil, ia akan kelihatan bengkak, merah bahkan boleh bernanah. 

Jangkitan ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tidak kiralah orang dewasa mahupun kanak-kanak. Namun, kanak-kanak berisiko lebih tinggi untuk mendapat jangkitan ini.

Gejala Keradangan Tonsil / Tonsilitis

TONSIL

Terdapat beberapa gejala utama yang menunjukkan berlakunya jangkitan atau keradangan pada bahagian tonsil anda. Antaranya ialah:

  • Sakit tekak sehingga menyukarkan untuk menelan walaupun hanya menelan air liur
  • Batuk 
  • Suara menjadi serak
  • Nafas berbau
  • Sakit kepala
  • Sakit di bahagian telinga
  • Lesu dan tidak bermaya
  • Tompokan putih pada bahagian tonsil (menunjukkan adanya nanah)
  • Kurang selera makan kerana tekak sakit
  • Terdapat benjolan di bahagian leher (kelenjar membengkak dan sakit)

Sekiranya anda mengalami gejala di bawah, ia menandakan  jangkitan semakin teruk. Oleh itu, pastikan anda segera berjumpa doktor dan dapatkan rawatan. Gejala-gejala tersebut adalah:-

  • Demam melebihi 38 °C
  • Sakit tekak melebihi 48 jam 
  • Susah bernafas atau sakit dada
  • Kekejangan leher

Biasanya, gejala ini akan semakin membaik dalam 3/4 hari. Dalam sesetengah kes, tonsilitis boleh sembuh sendiri dengan meminum air yang banyak walaupun tidak memakan sebarang ubat. 

Namun begitu, sekiranya jangkitan tersebut berlaku disebabkan oleh bakteria, anda perlu mengambil antibiotik dalam jangka masa yang ditetapkan bagi memastikan jangkitan tersebut tidak akan berulang lagi. 

Apa-apa pun, pastikan anda mendapatkan rawatan sekiranya gejala yang dialami tidak berkurangan melebihi 3 hari untuk mengelakkan jangkitan tersebut merebak ke struktur lain.

Rawatan & Cara Pencegahan

TONSIL

Jangkitan atau keradangan yang berlaku disebabkan oleh jangkitan virus. Namun, ia juga boleh terjadi disebabkan oleh jangkitan bakteria (streptokokus kumpulan A). Virus atau bakteria tersebut dibawa oleh kuman-kuman yang tersebar melalui udara ataupun sentuhan. 

Maka, cara utama mencegah berlakunya tonsillitis adalah dengan menjaga kebersihan, kurangkan risiko terdedah kepada kuman dengan menjauhi persekitaran yang kotor dan sebagainya. 

Langkah yang paling mudah dilakukan ialah, membasuh tangan dengan menggunakan cara yang betul. Kemudian, elakkan menyentuh kawasan rongga mulut dan hidung sebelum membasuh tangan. 

Pastikan juga anda makan dengan tangan yang bersih. Untuk mengelakkan jangkitan ini merebak, anda perlu mengasingkan diri daripada orang lain, berehat di rumah dan pakai topeng muka sekiranya perlu.

Anda boleh cuba kurangkan kesakitan tekak dengan memakan lozenges. Atau, memakan ubat-ubatan yang dibekalkan daripada hospital/klinik. 

Di samping itu, untuk melegakan simptom atau gejala yang anda hadapi, cuba lakukan langkah-langkah dibawah:

  • Hentikan merokok
  • Minum air yang banyak
  • Pilih makanan yang lembut, tidak terlalu panas atau pedas
  • Lakukan senaman ringan 
  • Makan ubat tahan sakit sekiranya perlu
  • Berkumur dengan air garam 

Untuk kanak-kanak pula, anda perlu membawa mereka berjumpa dengan doktor secepat mungkin lebih-lebih lagi apabila suhu badan mula meningkat (demam). 

Selain itu, pastikan kanak-kanak tersebut mendapat makanan sihat yang boleh membantu menguatkan sistem pertahanan tubuh mereka. Pengambilan makanan yang sejuk seperti aiskrim vanila dan yogurt atau, makanan berkuah seperti sup juga disyorkan. 

Jangan sesekali memberikan ubat kepada kanak-kanak tanpa arahan daripada doktor atau pakar perubatan. 

Kesimpulan

Sekiranya jangkitan atau keradangan yang berlaku teruk, tonsil anda berkemungkinan untuk dibuang melalui pembedahan. Apa-apa pun, jangan berlengah untuk dapatkan rawatan sekiranya gejala yang anda alami semakin teruk dari hari ke hari. 

Sumber: https://www.nhs.uk/, https://www.doctoroncall.com.my/ 

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Admin (N)
Admin (N)
Articles: 161