Sakit perut adalah merupakan situasi yang sering dialami oleh orang ramai. Ia boleh berpunca daripada pelbagai faktor seperti masuk angin, keracunan makanan, atau boleh jadi ia adalah simptom kepada penyakit lain seperti gastrik.
Namun begitu, ramai yang keliru adakah sakit perut yang dialami merupakan tanda gastrik angin atau bukan.
Mari ketahui tanda gastrik angin, jenis dan puncanya dibawah. Teruskan membaca.
Gastrik Angin
Istilah gastrik angin merujuk kepada masalah perut berangin, namun ia sebenarnya kurang tepat. Sebenarnya ‘gastritis’ adalah perkataan yang tepat, kerana ‘gastrik’ bermaksud perut dalam istilah perubatan.
Disebabkan penggunaan yang luas, maka ia turut digunakan oleh pakar perubatan bagi memudahkan kefahaman pesakit.
Terdapat 3 jenis dan tahap gastritis, iaitu:-
- Gastritis ringan: Keradangan atau pembengkakan disebabkan iritasi pada bahagian lapisan perut yang bersentuhan dengan makanan.
- Gastritis berat: Berlaku kecederaan seperti luka pada bahagian lapisan perut yang bersentuhan dengan makanan, lalu menyebabkan gastritis berat.
- Ulser gastrik (peptic ulcer): Ulser perut. Terdapat darah yang boleh dikesan dalam analisis muntah atau najis.
Tanda Gastrik Angin (Gastritis)
1. Sakit Bahagian Atas Perut
Sakit bahagian atas perut atau senak selepas makan atau minum adalah merupakan antara tanda gastrik angin. Ini terjadi disebabkan oleh asid yang memecahkan lapisan pelindung dinding perut yang membawa kepada kerengsaan dan kesakitan.
Bahkan ia juga boleh menyebabkan pedih ulu hati apabila kandungan asid dalam perut masuk semula ke dalam saluran pemakanan (esofagus) bersama-sama makanan yang dihadam.
2. Sakit Pada Bahagian Dada Atau Tekak
Selain itu, ia juga akan membuatkan anda mengalami rasa sakit pada bahagian dada atau tekak seperti terbakar selepas makan makanan berat.
Masalah refluks gastroesophageal merupakan masalah pencernaan kronik yang berlaku apabila asid perut atau kandungan perut mengalir kembali ke kerongkong anda.
3. Hilang Selera Makan
Gastrik angin juga selalu menyebabkan penghidapnya kehilangan selera makan kerana sakit perut menyucuk yang dialami. Namun begitu, sekiranya anda tidak makan pada waktu yang tepat, ia akan menyebabkan perut anda bertambah sakit.
4. Perut Kembung
Disamping itu, perut kembung juga sering menjadi simptom gastrik angin. Ia terjadi disebabkan oleh perut mengeluarkan asid penghadaman secara berlebihan kerana kerosakan saraf pada bahagian dalaman dinding perut.
Akibatnya, asid berlebihan ini akan melalui usus dan bertindak balas membentuk gas atau angin dalam perut. Ia akhirnya mengakibatkan usus dalam perut menjadi tegang dan kembung.
5. Loya Dan Muntah
Apabila terdapat gas angin di dalam perut, anda akan mudah berasa loya-loya serta mengakibatkan muntah. Muntah akibat gastrik biasanya berwarna jernih, kuning, atau kehijauan. Bukan itu sahaja, muntah anda juga kemungkinan akan mengandungi darah, bergantung pada tahap gastritis yang dihadapi.
6. Lemah Dan Lesu
Secara automatiknya badan anda akan lemah dan lesu apabila sedang menahan sakit yang menyebabkan ketidakselesaan dan penat.
Simptom Gastrik Angin Yang Lain
- Kerap sendawa berulang kali
- Sering membuang angin (kentut) selepas makan
- Najis berwarna hitam, dipercayai akibat gastritis yang kronik
- Tersedu yang teruk
- Sakit dada, sesak nafas
- Sukar menelan makanan atau minuman
- Demam panas
Punca Gastrik
Berikut ialah punca-punca yang seingkali menyebabkan terjadinya gastrik:-
- Makan makanan pedas terlalu kerap
- Tabiat merokok, pengambilan alkohol dan dadah
- Jangkitan bakteria yang teruk pada lapisan lendir perut
- Refluks hempedu
- Pengambilan ubat antiradang non-steroid (NSAID) secara kerap
- Tindak balas autoimun
- Anemia pernisius
- Masalah kesihatan lain seperti HIV/AIDS
- Dan lain-lain yang berkaitan
Kesimpulan
Bagi mengurangkan risiko terkena gastrik angin pastikan anda selalu mengamalkan tahap penjagaan kebersihan yang baik dan makan makanan yang dimasak sepenuhnya untuk mengelakkan jangkitan bakteria di bahagian perut.
Amalkan gaya hidup sihat dan jangan abaikan kesihatan diri anda.
Sumber: https://hellodoktor.com