Melangsingkan Atau Memudaratkan? Ini Kesan Penggunaan Bengkung Pada Kesihatan

Dalam masyarakat Melayu, bengkung sering dipakai semasa tempoh berpantang kerana ia dikatakan dapat menbantu mengecutkan rahim serta mengembalikan bentuk badan yang cantik selepas bersalin. 

Tidak hanya selepas bersalin, sesetengah wanita juga memilih untuk memakai bengkung secara harian bagi menyembunyikan lemak berlebihan.

Terdapat banyak iklan jualan bengkung di luar sana yang turut menjaja bahawa bengkung juga boleh membantu seseorang untuk menurunkan berat badan dan membaiki postur tubuh. 

kesan penggunaan bengkung
Kredit Foto : ibuayurveda.com.au

Baca Juga : Nak Kekal Slim? Ini 8 Cara Kempiskan Perut Yang PASTI Berkesan!

Sebelum kita pergi lebih jauh lagi, mari kita kenali bengkung dengan lebih mendalam.

Bengkung juga dikenali dengan nama lain seperti corset, girdle dan waist trainer

Bagaimana Bengkung Berfungsi ?

Bolehkah bengkung membantu turunkan berat badan? Sebenarnya tidak, malah ketika anda memakai bengkung, tiga perkara akan berlaku pada badan anda iaitu :

1. Badan Terhimpit 

Bengkung yang ketat memaksa badan anda untuk kelihatan langsing dengan menyembunyikan lemak berlebihan. Namun, kesan penggunaan bengkung ini akan hilang sebaik sahaja ia dibuka. 

2. Berpeluh 

Sesetengah orang termakan dengan taktik pemasaran jualan bengkung yang dikatakan menyihatkan kerana membuatkan badan mudah berpeluh.

Kesan penggunaan bengkung hanya boleh dilihat buat sementara waktu sahaja dan ia adalah disebabkan material bengkung itu sendiri yang ketat dan tidak menyerap peluh. 

3. Badan Kelihatan Kecil

Jika bengkung dipakai dalam jangka masa yang lama, ia boleh memberikan kesan ramping.

Namun, ia adalah disebabkan pengecutan otot abdomen yang jarang digunakan ketika fasa pemakaian bengkung.

Memandangkan perut dihimpit ketika memakai bengkung, ia juga membuatkan pemakai untuk kurang makan. 

Semua perubahan ini mungkin boleh membuatkan anda nampak dan rasa lebih kurus, namun ia tidak membantu anda untuk dapatkan berat badan yang diingini. 

Jenis-Jenis Bengkung

Secara umumnya terdapat dua jenis bengkung yang boleh didapati di pasaran iaitu :

Bengkung abdomen – bengkung yang membaluti bahagian perut.

Bengkung penuh – bengkung yang membaluti dari paras dada hingga pinggul sepenuhnya. 

kesan penggunaan bengkung
Kredit Foto : shopee.com.my

Sejauh manakah kesan penggunaan bengkung pada kesihatan dan benarkah pembalut badan yang tidak selesa ini mampu membantu seseorang menurunkan berat badan? 

Berdasarkan perkongsian dari Dr Yazeed Hair Johari, Sebenarnya terdapat lebih banyak keburukan pemakaian bengkung berbanding kelebihan yang sering diperkatakan dalam iklan-iklan. 

Kesan Penggunaan Bengkung Secara Kerap

1. GERD (Gastrophageal Reflux Disease)

Bengkung yang bersifat ketat akan menyebabkan organ seperti perut dan paru-paru untuk tertolal ke atas akibat tekanan yang tinggi. 

Apabila perut di paksa bergerak ke atas, injap penutup perut akan terbuka. Ini akan menyebabkan jus asid perut cenderung untuk bergerak ke esofagus dan menyebabkan GERD. Penyakit ini juga mempunyai simptom yang sama seperti pedih ulu hati. 

2. Melemahkan Otot Abdomen

Jika anda memakai bengkung tetapi tidak mengamalkan senaman menguatkan abdomen, ia boleh melemahkan lagi otot abdomen. 

Seperti yang sudah dibincangkan tadi, pemakaian bengkung bukan sahaja melemahkan kekuatan abdomen malah ia juga boleh menjejaskan postur serta menjadi punca kepada sakit belakang. 

3. Kesukaran Untuk Bernafas

Memang tidak dinafikan penggunaan bengkung yang diikat atau disarung ketat boleh menyebabkan kesukaran untuk bernafas.

Manusia menggunakan otot diafragma untuk bernafas. Namun, jika perut dipakaikan dengan bengkung, ruang diafragma akan menjadi semakin sempit.

Ini boleh mewujudkan peningkatan tekanan pada abdomen dan menghalang paru-paru untuk berkembang dengan baik ketika bernafas. 

4. Kekurangan Oksigen

Disebabkan kesukaran bernafas semasa memakai bengkung, oksigen di dalam badan juga semakin berkurangan.

Ini juga boleh mengundang kepada kekurangan oksigen sampai ke otak sehingga menyebabkan seseorang mudah letih serta boleh menjejaskan produktiviti. 

Bengkung juga tidak sesuai dipakai ketika bersenam kerana ia boleh menyebabkan seseorang pening dan rasa nak pitam kerana kekurangan oksigen. 

5. Tekanan Jantung (Cardiac Pressure) 

Pemakaian bengkung juga boleh menolak paru-paru ke atas sehingga menghimpit jantung.

Ini boleh menyebabkan tekanan yang tidak normal buat jantung untuk berfungsi dengan baik.

Keadaan jantung terhimpit akibat tekanan ini juga boleh menyebabkan salur darah menjadi sempit dan boleh tersekat sehingga mengundang masalah darah beku pada salur darah paru-paru yang boleh mengancam nyawa. 

6. Ruam dan Jangkitan Kulit

Material fabrik sintetik bengkung yang tidak mesra pada kulit boleh menyebabkan peluh terperangkap pada permukaan kulit.

Kulit yang sering terdedah kepada peluh tanpa pengudaraan yang baik boleh mengakibatkan keradangan kulit, kegatalan dan jangkitan kulat serta bakteria. 

kesan penggunaan bengkung
Kredit Foto : halodoc.com

Sememangnya semua orang inginkan kecantikan luaran. Namun, kesihatan dalaman juga perlulah dititikberatkan.

Organ dalaman seperti paru-paru, jantung, dan perut memerlukan ruang untuk berfungsi dengan lancar.

Jika ia dihimpit dengan penggunaan bengkung secara harian dalam tempoh jangka masa yang lama, ia dikhuatiri boleh menjejaskan kesihatan. 

Sebenarnya, tiada jalan pintas untuk turunkan berat badan serta dapatkan bentuk badan yang diingini melainkan pemakanan yang sihat serta kerap bersenam. 

Bengkung boleh dipakai untuk anda hadiri majlis untuk kenakan kebaya dan sebagainya. Namun, elakkan penggunaan bengkung secara kerap dalam masa yang lama.

Sumber :

Bengkung Perosak Organ Dalaman

https://dryazeedhairi.com

Are Waist Trainers Dangerous?

https://www.healthline.com/health/are-waist-trainers-dangerous

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:
Nazirah Hassan
Nazirah Hassan
Articles: 85